Thursday, July 23, 2009

Satu Rasa Dua Hati...

Tiada apa-apa cerita pada entri kali ini... hanya sekadar mahu berkongsi keseronokan membaca.

Andai anda penggemar bahan-bahan bacaan berbetuk motivasi... saya ingin mencadangkan kepada anda buku ini:

Buku (lebih kepada untuk mengemudi rumahtangga) ini adalah hasil tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi setebal 213 halaman terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Saya memang telah memiliki buku ini sejak tahun lalu dan telah lama mengkhatamnya, tapi rasanya masih belum terlewat untuk saya meyampaikan rasa seronok membacanya...

Dengan penguasaan bahasa yang santai dan lincah di tambah dengan rencah-rencah naratif yang menyentuh hati dan ada kala menguris rasa, buku comel ini (yang sekarang dengan wajah baru cover berwarna pink pulak) dapat memukau minat dan perhatian pembaca (ok! saya merujuk kepada diri saya). Proses pembacaan terus mempesonakan dengan garis panduan penuh hikmah dalam mengemudi rumahtangga di samudera pancaroba.

Dua puluh episod dipaparkan dalam buku ini merangkumi pelbagai bentuk masalah yang sering muncul dalam gelora berumahtangga. Episod ini bermula dengan langkah pertama membina istana rumahtangga, iaitu masalah mencari jodoh yang sesuai dijadikan pasangan sepanjang hayat.

Rata-rata semua kita idamkan pasangan yang unggul, atau lebih tepat pasangan yang 'soleh' dan 'solehah'. Dalam alam sebenar, kreteria mencari jodoh ditumpukan kepada calon isteri dan suami. Baik buruk calon akan menjadi kayu ukur untuk diputuskan sama ada berjaya menjadi pilihan atau tidak.
Namun dalam buku ini, Ustaz Pahrol mengajak pembaca dan bakal pencari calon berumahtangga, supaya kriteria pencarian jodoh itu bermula dengan diri sendiri. Saranan begini mungkin menjadi satu kejutan kerana selama ini hanya calon suami atau isteri yang diteliti cantik/hodohnya rupa, sopan/kasarnya budi bahasa, kaya/miskinnya harta, warak/jahilnya beragama.

Bagaimanakah akan didapati calon isteri yang solehan atau suami yang soleh jika diri sendiri tidak mengendahkan ketertiban berpakaian dan tidak memuliakan kesantunan pergaulan?

Semolek-molek sebuah rumahtangga itu didirikan atas struktur cinta yang saling berbalas antara suami isteri. Namun terdapat juga cinta yang pernah bergelora pada awal perkahwinan mula merosot auranya dalam perjalanan perkahwinan. Di mana salahnya. Di mana silapnya. Siapakah punya angkara maka terjadi yang demikian itu?

Dalam hal ini, Ustaz Pahrol menterjemahkan cinta dari sudut pandangan falsafah yang begitu mengasyikkan. Huraian yang kemas dan dikendalikan dengan bahasa yang mudah agar segala isinya mudah pula difahami. Penjelasannya menuntut kita (saya) sebagai pembaca untuk memuhasabah diri dan bertanya pada diri sama ada pernah mengamalkan falsafah cinta seperti yang digarap ustaz Pahrol?

Keindahan cinta terletak pada sikap yang tidak mementingkan diri sendiri. Keutamaan diberikan kepada pasangan tanpa mengharapkan balasan.

Kata orang cinta itu buta. Sejauh manakan benarnya tanggapan ini? Lihat pada episod 18 dan hayati apa yang berkisah di episod itu. Rumahtangga tidak terbina atas tapak cinta semata-mata. Sekiranya tapak cinta itu wujud, maka penyokong cinta itu adalah tanggungjawab dimantapkan bersama. Bahawa cinta itu sesuatu yang konkrit penuh hikmah jelas dibuktikan dalam buku ini.

Kesejahteraan rumahtangga tidak hanya tertakluk pada aspek fizikal - makanan berzat, pakaian serba cukup, hiasan dalm rumah indah-indah... Pengisian rohani memainkan peranan yang jelas menentukan kesejahteraan rumahtangga. Sejauh ini, rumahtangga ialah rumah yang dihuni suami, isteri dan anak-anak. Namun ustaz Pahrol melukiskan sebuah rumahtangga sebagai medan paling sesuai untuk seluruh anggota keluarga beribadat kepada Allah.

Buku ini mencungkil juga punca rumah tangga terumbang ambing. Pasangan yang tidak mematuhi peraturan Allah akan mendapati rumahtangga mereka tidak stabil lantaran masing-masing galak mengikut kehendak diri sendiri. Sebaliknya pasangan suami isteri yang merendah diri dan teguh memegang panduan jalan Allah akan dapat melayarkan bahtera rumahtangga dalam kesejahteraan, walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan.


Petua yang menjadi asas kepada kebahagiaan rumahtangga ialah kembalilah kepada syariat Allah. Hanya Allah tahu apa yang sebaiknya untuk kita. Masa masih ada untuk membaiki keadaan jika kita akur dengan kelemahan diri dan mula mengikut landasan Allah.

Buku Satu Rasa Dua Hati amat dalam penaakulan falsafahnya yang intim dengan tauhid. Kenali Allah dan kenali diri sendiri, maka barulah mengenali orang lain. Sesuai dibaca oleh semua lapisan umur tak kira sudah berumahtangga atau bakal berumahtangga atau masih belum mahu berumahtangga...

Kisah, sketsa dialog dan monolog tentang cinta dan kasih... Adunan pengalaman dan gelombang rasa di gerbang perkahwinan dan di alam rumahtangga. Bagaimana mencipta cinta sepanjang perkahwinan? buku ini punya jawapannya...


Selamat membaca...

************************


Dan sebelum saya tamatkan, ada satu perkara nak saya sampaikan... esok adalah hari lahir kepada seorang lagi adik saya di sini....


Kenal ke jejaka hensem ni??...

Ok!! Selamat Hari Lahir ADDY!!!... (saje je cepatkan ucapan ni sebab nak jadi orang pertama yang wish... heheheh.. aci ke gitu).. Semoga sihat-sihat selalu dan semoga segala kegembiraan dan keceriaan terus mengiringi Addy di sepanjang-panjang jalan hidup mu....

Selamat Hari lahir (di esok hari)



*****

Monday, July 20, 2009

Orang kecil berjiwa besar

Perjalanan sepanjang turun dari kawasan tinggi Cameron melalui jalannya yang berliku melingkar-lingkar terasa sangat memeningkan. Sebagai jalan penyelesaian, saya (dan kumpulan saya) singgah berhenti di hentian sebelah Tapah untuk mendapatkan sedikit rehat dan melegakan mana yang patut dilegakan memandangkan kami akan melalui perjalanan pulang yang masih jauh.

Kami terpisah-pisah di situ apabila semuanya punya tujuan berbeza. Ada yang ke tandas dahulu, ada yang bersolat Asar diutamakan, dan ada yang terus mencari bahan makanan untuk memenuhi kehendak perut yang lapar.

Selesai solat saya memilih untuk ke food court untuk mengisi perut yang kosong. Setelah mengambil makanan, saya memilih untuk duduk berkongsi meja dengan seorang anak muda yang kelihatan sebaya saya tapi pada perkiraan saya lebih muda dari saya. Berpakaian agak lusuh dan berwajah penat yang sedang asyik menikmati segelas fresh orange. Saya menghulurkan tangan dan kami bersalaman.

Kami berbual ringkas... namanya Azhar dan kerjanya pula sebagai pemandu lori yang berasal dari Utara tanah air.

"Cantik Handphone baru"... saya menegurnya dalam bualan ringkas itu dengan menegur pada telefon bimbitnya dari jenis baru (yang saya idamkan juga) dengan pemudah 3G dan masih di dalam kotak di hadapannya. Model ini kelihatan agak janggal untuknya kerana model canggih seperti itu biasanya digunakan untuk seorang eksekutif... begitu fikiran saya.

Sambil tersenyum dia menjawab, "Kotak kosong je ni. Tak ada isi pun.."

Jawapan ringkas itu mengundang rasa ingin tahu saya. Reaksi ingin tahu itu sudah cukup untuk membuatkan dia bercerita terus tanpa perlu saya bertanya.

"Sebenarnya macam ni, beberapa hari lepas saya ke Kuantan.. masa rehat makan kat satu gerai tu saya nampak satu bungkusan di sebuah hentian bas yang berhampiran, saya pergi periksa tengok dan mendapati kat dalam bungkusan tu ada sebuah telefon bimbit canggih!" Bicara dimulakan dengan penuh minat.

"Saya pun ambillah dengan harapan tuannya akan hubungi ke talian telefon tersebut dengan segera." dia kemudiannya berhenti sambil menjeling untuk menilai minat saya pada ceritanya.

"Akhirnya telefon tu berdering, dan kat hujung talian telefon tersebut tuan empunya telefon tu berulang kali ucapkan terima kasih." Dia berhenti dan menyedut lagi fresh oren di gelas yang semakin ke dasar gelas kuantitinya.

"Lepas tu.." tanya saya agak mendesak.

"Dia meminta saya menghantar telefon tersebut ke Kuala Lumpur sebab menurutnya telefon tersebut berharga hampir RM3000.00"

Sambil tersenyum sinis dia menyambung, "Semata-mata balik semula ke Kuala Lumpur untuk menghantar telefon tersebut bukanlah idea yang bagus.." Nampak agak berkira. Tapi bila memikirkan kerjanya sebagai pemandu lori yang terpaksa bergerak merata-rata, tiba-tiba kena berpatah balik ke Kuala Lumpur tentunya akan melanggar jadual tugasnya, apatah lagi perbelanjaan untuk ke Kuala Lumpur dari Kuantan memang besar juga.

"Pada akhir perbincangan dia memberi jalan penyelesaian akan menghubungi rakannya yang berada di Kuantan untuk bertemu saya di tempat yang akan dijanjikan semula bersama rakan tersebut." ujarnya.

saya masih mendengar dengan penuh minat.

"Kemudian pada hari tersebut, rakannya menghubungi saya, dan untuk memudahkan urusan kami berjanji bertemu di Masjid Kuantan. Kemudian pada waktu-waktu yang dijanjikan dan setelah menghubungi saya sekali lagi, kami bertemu. Dia bersalam dengan saya dan memperkanalkan diri. Seperti yang saya bincangkan dengan tuan telefon itu tadinya, saya terus sahaja menyerahkan handphone tersebut." Dia berhenti sekadar menarik nafas.

"Sebaik je dia dapat telefon tu, dia terus berlalu pergi. Ucap terima kasih pun tak sempat. Dia nak cepat barangkali. Tapi bukanlah masalah sangat, tapi dia berlalu pergi padahal saya tak sempat nak serahkan kotak ni yang pada masa tu berada dalam lori." Ceritanya panjang lebar.

"Ni yang tinggal kotak saja ni saya bawak ke sana ke mari" Ia membuat penjelasan mengakhiri cerita.

Saya yang menjadi pendengar cuba menguji dengan bertanya "Kenapa tak ambik je. Buang sim card dalam tu isi simcard baru, lepas tu boleh lah bergaya dengan handphone canggih mahal".

Masa tu saya lihat pandangannya serius. Gelas di tangannya diletakkan.
"Abang! saya boleh ambik hak orang lain tu, dan memang tak ada siapa akan tahu. Harganya mugkin macam yang disebut oleh tuan handphone, hampir RM3000.00. Tapi, nanti apa pulak akan jadi pada saya? Pasti Allah akan ambik pulak dari saya sebagai ganti dengan satu jumlah saya sendiri tak akan tahu nilainya. Mungkin lori saya kena langgar, harta saya musnah, keluarga saya ditimpa sakit atau apa sajelah, tapi yang pastinya akan ada balasan dari perbuatan saya tu."

Matanya bercahaya... Ada sinar yang mengagumkan.

"Apatah lagi balasan yang kita sama sekali tak boleh elaknya bila kita pulang ke Akhirat. Jadi, ada baiknya kalau saya pulangkan benda yang bukan milik saya. Saya tak rugi apa-apa. UJarnya bersunguh-sungguh sebagai mengakhiri bicara petang itu di hadapan gelas fresh orangenya yang telah kosong dan bersama sejambak contoh yang sangat indah.

Demi Allah saya kagum. Pemuda (yang masih muda) itu benar-benar telah mendapat didikan sempurna. Petang itu saya melihat seorang kecil yang mangagumkan (setelah sekian lama melihat orang-orang besar yang menjengkelkan).. Orang kecil berjiwa besar... Tanpa menuturkan dengan lidah, saya berkata dalam hati... Hebatnya anda! Kalau lah saya boleh menjadi sehebat anda....

Kami berpisah bila dia meminta diri untuk meneruskan perjalanan pulang terus ke kampung halamannya.

***
Apakah yang membentuk kelakuan pemuda tersebut walaupun tak ada CCTV yang memantau?
Ya!!! Kepercayaan yang ada dalam hatinya. Imannya menyelamatkan dia dari melakukan perkara yang salah. Benar, manusia yang punya arah akan mengawal nasib dan gaya hidupnya. Dan akhiratlah menjadi kompas kehidupannya.

Semoga Allah memberi rahmat di sepanjang-panjang jalan kehidupannya.....





Salam Israk - Mikraj



*******