Saturday, May 23, 2009

Selamat Hari Ibu

Apakah sudah terlewat untuk saya ucapkan ucapan itu kepada ibu saya dan ibu-ibu semua??? Tidak!!! Kerana setiap hari adalah hari ibu....


Gambar hiasan : Flickr.com


Petang semalam... Sufian - seorang sahabat - yang bertugas sebagai bomba di Johor - dan memang telah lama tak di temui - tiba-tiba menjengahkan wajah di hadapan pintu rumah... Gembira saya bukan sedikit. Dia antara sabahat yang saya rindui.

Macam-macam cerita yang dibawa... suka, duka... sedih, gembira... cemas, lega... - tugas sebagai bomba memang menjanjikan pelbagai pengalaman hebat yang tak akan semua antara kita dapat rasainya...

Sambil-sambil berbual ketawa... tiba-tiba dia terdiam sebelum membawa satu kisah. Pilu dan menyayat hati sekali... Keajaiban kisah dari rasa kasih seorang ibu.

Cerita dari Sufian - mengingatkan saya pada kisah "ibu monyet" yang saya tulis sempena hari ibu yang lalu yang saya salin semula dari buku "U-Turn Ke jalan Lurus" hasil tulisan ustaz Zul Ramli... Cerita tentang 'Kuasa Fitrah' ibu yang mahu dikongsi bersama oleh seorang pemilik dusun durian yang menembak seekor ibu monyet. Diceritakan bagaimana monyet itu ketika meraung kesakitan, darah sedang mencucur deras, kesakitan merayap di segenap saraf dan sendi, pada luka yang dalam dari bekas peluru pula berbuih terbaur darah pekat bercampur lendir kesakitan yang tidak mampu dibayangkan, namun pada saat itu ketika anaknya yang bergayut pada tengkoknya meruang katakutan si ibu telah menarik anaknya dan diberikan susuan, Hanyir darah dan gempita kesakitan tidak dapat memisahkan antara kasih ibu dan anaknya.. Sungguh tragis itu yang datang dalam sebak rasa saya bila mula-mula membaca kisah ini.

Kisah yang dibawa Sufian hampir sama tapi versi yang berbeza - Dia kongsikan pengalamannya sebagai anggota bomba yang sering berhadapan dengan keadaan gawat lewat kemalangan ngeri dan bunyi geruh nafas akhir serta wajah-wajah kematian.

Saya kongsikan cerita beliau:
Pada sebuah kemalangan dahsyat di satu lebuh raya yang melibatkan sebuah kereta dan sepasang suami isteri dan seorang bayi, kereta hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan dengan hentaman maksima. Kereta remuk sepenuhnya, di tempat duduk pemandu, si suami telah terkulai, badannya pada stering terlungkup dia mati dengan kecederaan teruk pada tubuh dan kepalanya.

Di sebelahnya pula si isteri sedang bergelut dengan kematian, tubuhnya yang tersepit di situ terkapit antara tempat duduknya dan keluli pejal kemek seperti ragum maut yang menggigit rapat. Alangkah sukarnya saat itu, pada pipinya tercucuk-cucuk dalam kaca cermin hadapan yang pecah, sedang kulit dahinya terkoyak sehingga menampakkan putih tulang tengkoraknya kesan tujahan keras dan hantukan kuat semasa titik hentaman berlaku. Tulang bahunya pula patah , tulang itu tercungkil keluar mengoyakkan daging dan kulit bahunya.

Pada saat ini ketika darah merah pekat mencucur keluar dari tubuhnya dan kesakitan tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai dia meminta pada bomba untuk diberikan padanya anaknya yang terselamat (dan yang membawa bayi tersebut kepada si ibu adalah Sufian sendiri) bayi itu masih dalam bedungan sedang menangis kuat. Si Ibu dengan lelehan air mata bercampur darah, dalam tangisan pilu penuh sayu mendakap anaknya seakan tidak mahu berpisah dengan jantung hatinya. Dalam seribu kepayahan si ibu pada saat itu menyingkap bajunya dan menyusukan anaknya. Dalam saki baki nafasnya itu ia memeluk anaknya, merangkul erat dan diberikan lautan kasih sayang dalam aliran air susunya. Kasihnya seputih susu seorang ibu dan dalam nafas samar dan dada berombak si ibu berangkat pergi buat selama-lamanya… meninggalkan anaknya bersama secebis kisah ajaib tentang kasih seorang ibu pada anaknya.

Pastinya kisah tersebut sangat mengugah perasaan kerana sepanjang penceritaannya saya perasan ada butir-butir jernih di tubir mata yang ditahan dari terus tumpah - tentunya, kerana dia menyaksikan sendiri setiap bait-bait kisah yang berlangsung.

Tragisnya kisah ini. Ia begitu menyayat rasa, dalam nafas yang dalam saya berfikir tentang harga kasih seorang ibu.

Begitulah seorang ibu, Allah memberikan mereka ‘rahim’ kerana mereka kaya dengan kasih sayang. Dalam belaian mereka kita bernafas, dalam kasih mereka kita bernadi dan dalam pengorbanan mereka kita ada pada hari ini.

Namun hukum alam bagai telah tertulis, ketika kita sedang berada di puncak putaran hidup sedang mereka pula meratah usia kian merangkak tua. Mereka tidak lagi bernafsu untuk makan seperti kita dan kegembiraan begitu tercatu buat mereka pada usia begini.

Namun mereka punya memori indah dengan kita. Kita yang digomol sewaktu kecil sehingga dengannya kita tidak merasa kesunyian. Ketika demam mereka juga tidak tidur sepanjang malam menjaga. Ketika ketakutan mereka memeluk erat menenangkan kita sehingga boleh melelapkan mata. Ketika membesar, kita meminta itu dan ini, kita mungkin mendapat semua atau sebahagiannya, tetapi kita tidak pernah tahu cerita di sebalik semua itu mungkin ada kesukaran yang tak diceritakan. (Saya pernah terjumpa seorang ibu yang saya kenal sedang menangis tersesak-esak di sebuah masjid kerana tidak punya wang yang cukup untuk membayar yuran yang diminta oleh anaknya sedang dia tidak punyai jumlah wang itu dan dia tidak memberitahukan ini kepada anaknya...) Itulah yang mereka ada, memori dengan kita.

Tetapi malangnya memori itu hanya di pihak mereka sedangkan kita tidak mengingatinya lagi kerana kita sedang sibuk dengan urusan semasa yang tak pernah habis habis.

Di titik perselisihan inilah menjadikan mereka terabai. Mereka melalui hari-hari yang kosong tanpa ingatan anak-anak, melalui malam malam sepi tanpa sinar belaian cahaya mata dan mereka berada di penjuru terasing dunia yang tidak meriah membilang baki-baki hari dengan butir tasbih sunyi sebelum berangkat pergi ke daerah barzakh di alam lain pula buat selama-lamanya.

Peritnya mereka di penghujung hidup sedang warna hidup kita meriah sekali, dengan tawa ria rakan-rakan dan limpahan kesenangan yang gemerlapan.

Marilah bertanya, bilakah kali terakhir kita menghubungi mereka?

Bilakah kali akhir kita mendoakan mereka setulus hati?

Bilakah kali akhir kita menuturkan sayang dan rindu pada mereka ?

Bilakah kali akhir kita ambil berat tentang masalah mereka ?

Bilakah kali akhir kita berjenaka dan mereka ketawa ?

Bilakah kali akhir mereka bercerita sedang kita mendengar dengan tekun dan mereka seperti tidak mahu mengakhirinya kerana pendengar itu sangat berminat untuk mendengar ?

Bilakah kali terakhir kita bersalaman untuk pulang dan mereka memeluk dan di dalam hati mereka ada getar begitu sukar melepaskan kita pergi?

Carilah jawapan dalam selaut rasa, bukan sesiapa memaksa semoga kita menghargai sesuatu yang paling bernilai... hati seorang ibu!

Apakata... Selepas membaca artikel ini kita hubungi mereka dan tuturkan sayang dan rindu, ketika kita masih punya peluang untuk itu....



Dan sama-sama kita pastikan... setiap hari adalah hari ibu...

Salam kasih sayang untuk semua ibu di seluruh dunia.



Gambar hiasan : Flickr.com

Thursday, May 21, 2009

sebuah teka-teki


"Cuba teka... apakah bendanya..." Suara ustaz dalam radio itu jelas kedengaran. Sejak tadi hati dan fikiran saya tertumpu kepada buah bicaranya. Mudah, lunak dan menyentuh.

"Orang buat tak mahu pakai, orang yang beli pun tak mahu pakai, tapi orang yang pakai... tak sedar dia memakainya." Sambung ustaz itu tenang. Azmi - rakan saya ligat tangannya memutar stereng, kepala saya pula ligat berfikir mencari jawapan kepada teka-teki diajukan oleh ustaz tersebut. Secara outomatik, saya kuatkan volume radio kereta. Puas saya fikirkan... tapi tak ketemu sebarang jawapan.

"Haa! senang je... KERANDA!!" Ustaz itu menjawab sendiri setelah memberi masa beberapa lama kepada pendengar untuk memikirkan jawapan. Saya terdiam.

"Pembuat keranda tidak mahu memakainya. Begitu juga yang membelinya, manakala si mati tidak sedar dia telah memakainya."

Saya termenung... itulah ajaibnya kematian. Sesuatu yang pasti dan hampir tapi sering dilupakan.

Semua kita akan merasai mati. Anehnya majoriti manusia merasakan bahawa yang akan mati ialah orang lain. Ya! rata-rata kita seolah-olah hanya ingin menjadi 'pembuat' dan 'pembeli' keranda, bukan 'pemakainya'...

saya menyedari Azmi memperlahankan kelajuan kereta. Entah terkesan dengan teka-teki tersebut... Yang pastinya pada saya memang meninggalkan kesan (kesan sementara - yang memberi keinsafan sementara... hadoiiiiii).

**tapi sekarang, ramai jugak orang yang mula ingatkan kematian... bila putus cinta, bila gagal periksa, bila dibuang kerja... haaa... bila dilanda dukacita - sampai ada yang nak bunuh diri - atau paling tidak pun, merungut "kalau macam nilah nasib aku, baik aku mati je"... hmmmm.. apa-apalah.***

Bebas Jenayah - Tanggung jawab kita bersama

Satu ketika saya pernah siarkan satu cerita mengenai Andrew, seorang pemuda Cina (yang hensem)… Ya!.. bukan Andrew lagi. Kini dia adalah Adnan… Selepas memeluk Islam beberapa ketika yang lalu…

Ada ketika saya berjumpa dengannya, pernah satu soalan dikemukakan pada saya “Kenapa Malaysia tak nak jalankan undang-undang Islam ha… Hukum hudud?.. sistem undang-undang yang kita ada sekarang ni, satu apa pun tak jalan. Nama je negara Islam, tapi takut nak laksanakan undang-undang Islam.”

Saya terdiam. Apa yang boleh saya kata. Kuasa penentu hukum di Negara ini bukan terletak pada tangan kita… walaupun hakikatnya tangan kitalah yang mementukan siapa yang akan berkuasa menentukan hukum…

Kata Andrew… Opssss!! kata Adnan… – dia pernah diherdik oleh seoarang yang dikira sebagai ‘Ulamak’ bila mengemukakan cadangan itu sebagai satu cara terbaik mencegah jenayah dalam Negara…

“Eh… masuk Islam tak sampai setahun pun lagi dah pandai-pandai nak cerita pasal undang-undang Islam” – begitu lebih kurang sindiran diterima… kenyataan itu membuatkan saya sendiri jadi malu. Ulamak = Ular dalam semak… di mana-mana pun tetap ada ruang untuk kepentingan diri sendiri…



Jenayah Membawa padah…

Alfatihah – Kita sedekahkan kepada 3 mangsa yang menjadi korban jenayah ragut yang mencetuskan kemarahan satu Negara baru-baru ini… Takziah untuk seluruh ahli keluarga mangsa. Mereka bertiga menjadi mangsa peragut bermotosikal yang kejam dan tidak mempunyai pertimbangan perikemanusiaan. Apa yang lebih menyayatkan hati, Dua dari mereka didapati sedang hamil. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Ilahi, sementara keluarga terbabit didoakan terus tabah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi pemergian bonda mereka yang selama ini menjadi tonggak kasih sayang keluarga.


Daripada kewujudan jenayah yang semakin melampau sekarang, maka diwujudkanlah “Program Generasi Bebas Jenayah”… yang tak lain tak bukan bertujuan mencegah jenayah yang kadarnya semakin meningkat dari hari ke hari…

Ya! Mungkin juga program ini merupakan satu jalan yang saya kira – agak baik lahh dalam memberi titik kesedaran, pendidikan dan maklumat yang tepat kepada golongan belia mengenai perlakuan jenayah. Di samping boleh meningkatkan kesedaran mengenai bahaya perlakuan jenayah dan kesan-kesannya. Membebaskan pemikiran dan penglibatan belia dalam perlakuan jenayah. Juga dengan tujuan melahirkan generasi muda yang mempunyai tanggungjawab sosial bagi membanteras jenayah dalam masyarakat. Menggerakan tindakan pencegahan jenayah oleh belia di peringkat komuniti.


Dalam menangani gejala sosial semua pihak harus bertindak secara kolektif dan berterusan. Pendekatan baru yang sedikit radikal mungkin amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang disegani oleh semua bangsa di dunia ini. Selain itu, Generasi muda adalah tunas dan tenaga baru amat penting kepada pembangunan negara memandangkan mereka adalah pewaris kepada apa yang ditinggalkan generasi lama.

Menjadi harapan kita bersama, dengan penganjuran program seumpama ini, semoga dapat memberikan pendidikan dan maklumat yang tepat kepada masyarakat khususnya golongan belia mengenai perlakuan jenayah di kawasan masing-masing. Dengan memupuk semangat kerjasama dan kemasyarakatan di kalangan penduduk yang merupakan ejen pencegah jenayah.

Semoga penganjuran program ini dapat mengukuhkan jati diri, semangat patriotisme, sikap bertanggungjawab dan bekerjasama di kalangan masyarakat untuk melahirkan generasi muda bebas jenayah.

Bila berlaku satu-satu jenayah di kalangan remaja… mahu atau tak mahu, suka atau tak suka, ribuan para ibu di Malaysia hari ini, sebenarnya telah, sedang dan akan terus menumpahkan airmata kesedihan, menangisi anak-anak kesayangan mereka yang terbabit secara langsung dalam jenayah dan gejala sosial yang melambangkan keruntuhan akhlak, nilai dan moral segelintir generasi muda hari ini. Kita amnya lebih cenderung menuding jari menyalahkan ibu dan bapa yang dikatakan gagal mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. (tanpa mahu bertanya apa pula peranan kita) Para ibu yang malang ini juga sentiasa tertanya-tanya, di manakah kesilapan mereka mendidik anak-anak ini, yang asalnya ibarat kain yang putih bersih. Entah bila dan bagaimana anak yang dibesarkan itu berubah menjadi agen perosak masyarakat yang mengancam ketenteraman dan kesejahteraan orang lain!

Memang tiada penyelesaian jawapan yang mudah kepada permasalahan yang kompleks ini, yang dicetuskan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Namun hakikatnya, Semuanya bermula dari institusi keluarga itu sendiri… Kebahagian bermula di rumah dari keluarga yang bahagia. Perubahan struktur keluarga moden dan pegangan nilai yang menjadi batu asas institusi kekeluargaan hari ini, sememangnya mempunyai kesan yang amat ketara kepada perkembangan anak-anak generasi muda Malaysia. Pembabitan ibu ke dalam sektor kerjaya di luar rumah sebenarnya mengurangkan peruntukan masa, tenaga dan emosi para ibu untuk menguruskan keluarga dan rumahtangganya. Dari menjadi ibu yang sepenuh masa berada di rumah memberikan tumpuan kepada keluarga, ibu bekerjaya kini perlu pintar mencari ruangan masa berkualiti untuk dihabiskan bersama keluarga. Walaupun kebanyakan ibu bekerjaya begitu komited terhadap keperluan dan tuntutan keluarganya, mahu tidak mahu tanggungjawab memikul amanah di tempat kerja sering men`curi’ tumpuan dan me`misah’kan ibu dari keluarganya. Anak-anak di pelbagai peringkat usia pula sentiasa memerlukan bimbingan yang khusus untuk menjamin pertumbuhan jasmani, minda, emosi dan spiritual yang sihat.

Justeru… Sebagai ibu – insan pemegang tanggung jawab paling besar perlu punya kekuatan yang lebih besar dalam menghadapi hal-hal sebegini…

Bukan mahu ditujukan kepada ibu semata-mata… kerana semua kita memang memengang peranan tersendiri – tapi saya tetap mengkhususkan kepada ‘ibu’… iaitu, mereka yang terpaksa menjadi mangsa tohmahan bila anak-anak remaja melakukan jeayah.
- Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

- Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

- Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

- Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.

- Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Ayuh!! segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.

Dan saya tetap bersetuju dengan Adnan yang menyesorkan agar dilaksanakan undang-undang Islam...


Satu ketika negara tersentak dengan kematian seorang pelajar akibat dipukul oleh beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Selangor.Di manakah silapnya. Adakah sistem pendidikan kita cukup lemah untuk menangani gejala ini?. Adakah sistem kekeluargaan kita rapuh sehingga anak-anak gagal dididik menjadi sekurang-kurangnya menjadi manusia dan bukan BINATANG. Terlalu tinggi harapan meletakkan mereka menjadi INSAN. Menjadi MANUSIA pun belum tentu.....

Persoalan yang nak di utarakan juga ialah di mana WARDEN sekolah? Adakah mereka tidur, makan gaji buta, tidak berada di asrama untuk mengawal, tidak bertugas mengikut jadual... bermacam-macam andaian.... walaubagaimanapun semua ini tidak harus dibebankan pada sebelah pihak sahaja. Sekarang SEMUA pihak harus bertanggungjawab agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Jangan sehingga ada yang MATI....


************************

Orang baik yang jahat, orang jahat yang baik dan orang yang hanya menjalankan tanggungjawab!! Hanya Tuhan juga yang mampu membalas jasa baik semua orang...

Kadang-kadang kita ada pola-pola tertentu untuk cop seseorang itu baik atau jahat. Muka hensem, pakai kot dan tali leher sambil bawa brifecase kita cop sebagai orang baik. Sebaliknya yang muka macam tak siap, seluar koyak rabak dan berambut panjang dicop sebagai jahat. Tetapi kadang-kadang yang muka hensem, berbaju kot dan bertali leher itulah yang menyonglap berjuta-juta duit syarikat. Manakala yang muka tak siap, seluar koyak rabak dan berambut panjang itulah yang tolong pasang lampu, pasang wayar, pasang pendingin hawa di pejabat.


Juga kita ada pola-pola tertentu untuk cop seseorang yang buat kerja melaksanakan undang-undang. Kalau mereka ini berlaku kasar atau bertindak tegas semasa melaksanakan tugas, kita kata mereka ini tidak bertimbang rasa, tidak berhati perut dan menjadi anjing golongan tertentu. Tapi kalau mereka duduk diam kita kata mereka makan gaji buta. Kalau mereka bertimbang rasa, orang jahat naik kepala.

Microsoft, Adobe, Macromedia dan mana-mana syarikat gergasi perisian komputer melakukan perkara yang baik dengan menghasilkan perisian-perisian yang senang dipelajari dan membantu dalam kehidupan kita seharian. Mereka habiskan banyak duit untuk hasilkan antaramuka yang ramah pengguna dan buat penyelidikan dan pembangunan untuk hasilkan kod-kod yang kompleks untuk menyelesaikan masalah manusia yang kompleks.

Malangnya, mereka melakukan perkara yang jahat dengan tidak mahu berkongsi apa yang mereka tahu dengan orang lain. Perisian yang mereka buat disembunyikan kod sumbernya lalu dijual. Oleh kerana kod ini tersembunyi, mereka boleh buat apa yang mereka suka. Tambah sedikit fungsi, jual semula sebagai versi baru. Dapat lagi duit. Tukar sedikit antaramuka, jual semula sebagai versi lain. Dapat lagi duit. Kita yang tak tahu macammana buat kod yang sama terpaksa la beli ~ beli pulak dengan harga yang mahal!!

Sebab itu dari beberapa sudut ~ "perisian lanun/cetak rompak" adalah perkara yang baik. Kadang-kadang kita nak juga belajar dan guna perisian yang canggih-canggih.... tapi takdak duit nak beli. Kadang-kadang bukan kita taknak beli perisian yang asli tapi banyak sangat songehnya ~ kena mintak peruntukan dari pihak pengurusan, perisian tu hanya sesetengah syarikat aje yang jual, kadang-kadang kita hanya perlukan perisian tu untuk satu projek sahaja.

"Perisian lanun" baik sebab murah, senang dibeli sebab dijual di supermarket atau pasar malam dan boleh "dipakai-buang".

Hmmm.... tak payah dinasihat, kita tahu perisian lanun ini adalah sama seperti lanun sebenar. Ia merompak harta yang orang lain punya. orang lain buat perisian tu penat-penat, mereka hanya salin dan jual. Duit yang mereka dapat langsung tiada royalti untuk syarikat yang keluarkan perisian...

Seperti juga lanun, "perisian lanun" boleh membunuh. Ia membunuh kreativiti dan dedikasi pengaturcara perisian. Orang yang mengaturcara perisian dapat duit bila perisian yang mereka buat dibeli orang ramai. Kalau perisian yang mereka buat orang lain pula yang dapat untung, mereka ini hendak makan apa?
Lalu syarikat gergasi perisian ini mengarahkan orang yang berkuasa untuk melaksanakan undang-undang. Siapa yang "lanun"kan perisian mereka mesti disaman dan dimalukan di dalam suratkhabar.

Oleh kerana kita banyak buat kerja guna perisian lanun, kita menjadi anti-penghapus cetak rompak. Kita mempersoalkan kenapa baru sekarang mereka nak ambik tindakan sedangkan perisian lanun ni dah berleluasa sekian lama. Kita marah sebab lepas ni kita tidak lagi boleh membeli perisian dengan harga yang murah.

.... kebanyakan kita lahir sebagai manusia biasa - manusia yang dilahirkan tanpa sebarang kelebihan. Kebanyakan kita lahir tanpa bateri energizer di belakang badan ~ jadi kita tidak boleh selamanya buat kerja. Kebanyakan kita lahir tanpa lapan tangan ~ jadi kita hanya boleh buat bilangan kerja yang terhad pada satu-satu masa. Kesemua kita lahir tanpa otak yang "berpentium 4, 256 DDRAM dan 200GB cakera keras" - jadi kita lambat sedikit nak berfikir dan payah nak ingat banyak benda.

..jadi bertindaklah dengan keupayaan sebagai manusia biasa


Entri ini adalah sebagai jawapan kepada saolan bagi cabaran minggu ke tiga Yoyooh.com

Monday, May 18, 2009

Mengingat Lupa...


Terkadang kita ~ mungkin secara tak sedar ~ kerap cuba menghindar dari sepenggal ingatan tertentu. Melupa. Menafikan segala yang membangkitkan kenangan atas serentang masa yang ingin dilupa. Meletakkan sebuah album foto di bagian lemari yang sukar dijangkau dan membiarkannya berdebu. Menghilangkan nama sebuah kota dari peta kehidupan. Menutup telinga atas sebuah topik percakapan. Memalingkan wajah atas episode tertentu pada sebuah filem. Melompati dua atau tiga paragraf dari sebuah novel yang sedang dibaca.

Atau... menekan tombol 'stop' secara reflek, setiap kali rakaman fragmen tertentu dari masa lalu berputar. ‘Berhentilah, cukup sampai di situ saja.’

---

Mengenang desa itu, 20 tahun silam, awalnya membawa rasa hangat di hatinya. Teman-teman kecil, bangunan sekolah yang hanya punya dua block sahaja, dan di bahagian belakangnya terdapat deretan pohon jambu batu... bila mana waktu rehat, akan berhimpun di situ, cikgu disiplin yang garang dan ketua kelas berkulit legam yang bersahaja, guru baru yang membuka mata, permainan di hijau tanah lapang, perkemahan sabtu minggu, sungai kecil berjambatan kayu di belakang sekolah, kebunan tebu di pinggir pagar, pohonan saga yang rimbun menaung bila tiba musimnya berkumpul pula di situ memungut biji-biji merah tidak tahu untuk tujuan apa, sepokok bambu di sudut jalan, rumput jarum menusuk kaus kaki, lubang luas pada pagar guna untu membolosi diri.. heheh

Lalu ia akan terkenang rumahnya dulu. Rumah besar itu, pekarangan yang sungguh lapang, segala pohon mempelam di halaman belakang, reban ayam, telaga tak terpakai - kemudian menjadi lubang sampah, kucing siam, bermain monopoli dan menang, kamar-kamar kosong, ruang tidur luas untuk dirinya sendiri…. Anak tunggal... yang kemudian yatim... piatu..

Lalu...

STOP! Sampai di situ saja. Kerana melarut bererti... rasa getir di kerongkongan, butir bening di sudut mata, dan rasa bersalah yang ~ ia tahu ~ semestinya tak ada.

---

Sekitar sepuluh tahun yang lalu, di atas pintu keluar sebuah supermaket di suatu pekan kecil, ada sebilah papan (biru?) bertuliskan kata mutiara. Hiasan yang tak menjolok mata, tak menuntut perhatian khalayak, namun tetap ganjil untuk sebuah supermarket. Aku sendiri bagai tak kan pernah memerhatikannya, sehinggalah seseorang telah menunjukkannya padaku.

Kalau tak salah begini, bunyinya:

Happiness, it's nothing more than a good health and a poor memory.

Hmm… begitukah? Dan sekarang, masih adakah tulisan itu di sana?