Friday, October 2, 2009

Pusara Atas Bukit...

"Memberi bukan untuk menerima..."

Rakan saya sampai dengan keretanya... saya sudah bersiap di muka pintu menunggu.. tidaklah terlalu lama saya menunggu, kerana jarak rumah saya dengan rumahnya tidaklah jauh mana sangat...

Acara kali ini bukanlah untuk beraya... tapi menziarahi pusara... sebenarnya saya tidak menziarahi sangat pusara ketika raya... maklum tiada siapa orang-orang terdekat dengan saya yang perlu saya ziarahi... Pusara Tok Ki dangan Tok Wan pula letaknya di Terengganu. (tapi, masanya tetap akan sampai jugak... mungkin tahun depan pusara saya pula yang akan diziarahi... siapa tahu!!!!)... tapi kali ini rakan saya tersebut mengajak saya menemaninya menzirahi pusara ibunya...

**********

Saya pandang pusara Mak Teh... Rakan saya tadi mencabut rumput-rumput halus disekitar pusara ibunya sebelum membentangkan tikar...
Terbayang satu persatu episod kenangan bersama Mak Teh selama dia masih hidup. Dia meninggal atas sebab penyakit kencing manis yang dihidapinya. Saya tidak pasti umur Mak Teh ketika dia mengakhiri hidupnya... mungkin sekitar 50an..

Mak Teh suka mengajar ilmu rumahtangga... (tak tahu sebab apa, sama ada untuk sebagai panduan untuk saya sesudah berumahtangga nanti atau sengaja nak 'perli' saya - yang dah telajak ni)...

Satu kata azimat dari Mak Teh yang sentiasa saya pegang hingga kini adalah tentang 'Layang-layang'... "hidup biarlah umpama layang-layang. semakin kuat angin bertiup, semakin tinggi dia terbang..."

**********

"Mak Teh ada gaduh-gaduh tak dengan Pak Teh?" Tanya saya pada satu hari.

"Ish! kau ni... mestilah ada. perkara biasalah tu. Pak Teh kamu tu, panas jugak orangnya. Tapi tak adalah selalu sangat bergaduh." jawab Mak teh dgn wajah selamba...

"Kalau gaduh, Mak Teh selalu buat apa?"

"Hmmm.. Pak Teh kau tu cepat reda marahnya... bila reda, dia datanglah memujuk"

"Oit! romantik rupanya Pak Teh tu ya?" Usik saya... "abis tu apa di cakap masa memujuk tu.." sambung saya lagi...

Mak Teh kerutkan kening... mungkin pelik dengan soalan saya..
"Hmm. Dia tak cakap apa-apa. Dia tengok apa Mak Teh buat, dia tolong... Ha, kalau macam tu Mak Teh tahulah, dia tengah memujuk. Atau pun dia pergi kedai beli bahan masakan makanan kegemaran Mak Teh. Pastu dia kata... Jom, masak sama-sama."
....

"Kau ni tanya-tanya menda macam tu kenapa? Mak Teh bukannya pandai. Orang Kampung... Kau tu yang belajar tinggi.." Mak Teh mungkin keanehan atas pertanyaan saya.

"Tak ada apalah... Saya cuma nak dengar kisah Mak Teh je. Nak tanya Pak Teh, saya takut. Dia tu garang.." Saya berterus terang.

"Garang-garang pun dia suami Mak Teh.. Mak Teh tak pernah harap apa-apa pun masa mula-mula dijodohkan dengan Pak Teh."

"Maksud Mak Teh.." saya keliru...

"Mak Teh tak pernah bayangkan suami Mak Teh mesti begini, begitu... Hati Mak Teh terima bulat-bulat Pak Teh kamu sejak diakad nikah. Yang Mak Teh fikir, macamana nak Mak Teh buat bila dah kawin nanti... Kena masak, kena jaga rumah, layan suami, didik anak... Mak Teh sedia itu saje. Mak Teh fikir singkat je. Tak pandai pasang angan-angan." Jawab Mak Teh yakin.

Singkat tapi tepat. Mudah tapi berhikmah. Mak Teh tidak tahu falsafah ilmu rumahtangga. Tetapi hati, perlakuan dan kata-katanya menepati ilmu yang dihuraikan oleh buku-buku besar ahli falsafah. Ilmu itu pada tindakan.

"Mak Teh ada belajar urut-urut tak?" saya tersengih sendiri dengan soalan saya...

"Mana adalah,"

"Habis... kata Pak Teh, Mak Teh pandai urut??"

"Dia gurau tu. Ceritanya, dia jatuh masa kerja kat ladang. Terhincut-hincut balik rumah. Tak sampai hati mak Teh tengok. Lepas tu Mak Teh urut. Ikut sedap tangan je. Tak sangka pulak baik. Lepas tu, apa-apa sakit pun dia cari Mak Teh."

"Errr... mesti ada petua dalam urut mengurut ni kan..." saya cuba korek lagi.
Mak Teh senyum...
"Urut dengan hati kita... sebab sayang, kesian, kasihkan dia... Bukan setakat nak ambik hati."

"Sebab nak beri kasih sayang... bukan nak dapat kasih sayang?" tanya saya lagi.

"Kau lebih pandai... Mak Teh tak pandai cakap-cakap macam tu." Mak Teh merendah diri.

"Apa yg Mak Teh suka sekali pada Pak Teh?" Saya dah macam wartawan pulak bertanya. Untungnya Mak Teh masih juga mahu melayan...

"Sembang-sembang Pak Teh kamu..." Ringkas jawapan Mak Teh.

"Sembang-sembang je ke?" Ujar saya sedikit hairan.

"Ha'ah... Sembang-sembang Pak Tehlah penawar hati Mak Teh. Sambil sembang dia memujuk, bagi ilmu, sampaikan panduan. Dia pandai bercerita -Tapi ada makna. Kadang-kadang dengan gurauan... dia boleh tahu kalau Mak Teh tengah sedih." Agak panjang penerangan dari Mak Teh.

"Bila Pak Teh suka sembang?" Saya tanya lagi.

"Bila ada kesempatan. Kadang-kadang sambli kami lipat baju. Masa anak-anak kecik dulu, kami sembang sambil Mak Teh buaikan anak... dia lipatkan kain. Sesekali waktu memasak, kalau dia tak ke ladang. Tapi dia tak pernah tinggalkan sembang malam... sembang-sembang sebelum tidur"

Saya seyum je. Dengan pemikiran yang simple, bahasa dan istilah yang mudah, Mak Teh berkisah - praktik ilmu-ilmu motivasi terkini. Yang ditulis dalam buku-buku yang mahal dan tebal. Tapi Mak Teh dan Pak Teh hanya orang kampung. Mereka hanya 'menulis' dalam kehidupan. 'Berceramah' dengan amalan harian....

"Mak Teh ajar anak-anak mengajikan?"

"Mak Teh dah tekad. Anak-anak mesti khatam Quran di tangan Mak Teh sendiri. Soal wuduk, solat, taharah dah pun diajar kat sekolah. Pak Teh pulak cuma tengok perbuatan kat rumah. Dia garang... anak-anak tak berani tinggal solat... dirotannya." Memang Pak Teh sangat tegas dalam hal pelajaran anak-anaknya... Anak sulong mereka (yang merupakan kawan kawan baik saya) seorang Jurutera. Yang kedua cikgu, yang ketiga Inspektor polis... dan yang bongsu sedang study bidang perubatan di sebuah Universiti tempatan...

Saya terus juga bertanya... mancari ilmu berdasarkan pengalaman yang Mak Teh lalui.
"Apa falsafah hidup Mak Teh?"

"Falsafah tu benda apa pulak?" Mak Teh kerut kening.

"Errrrr... panduan... pegangan.. lebih kurang gitulah" saya sendiri tak bijak nak jelaskan apa itu falsafah. Tapi mujur juga Mak teh faham.

"Mak Teh tak pandai... Mak Teh hanya buat apa yang Mak Teh patut buat. Rasanya Pak Teh pun macam tu. Rasa kami sama, sebab selalu bersama"

"Tapi ada orang selalu bersama, tapi rasa mereka tetap tak sama... kenapa Mak Teh?"

"Tak tahulah pulak... Mak Teh ni, dulu selalu buat macam ni... Mak Teh selalu fikir apa yang Pak Teh rasa. Bukan yang Mak Teh rasa. Kalau macam ni, apa Pak Teh kamu buat... kalau macam tu, macamana pulak Pak Teh bertindak, Mak Teh rasa dalam diri Mak Teh, Mak Teh tak ada... yang ada cuma Pak Teh." begitu Mak Teh jelaskan... saya kagum...
Ini lebih tinggi dari prinsip 7 habits, Steven Covey - Seek to understand than to be understood."

"Pak Teh pun rasa macam tu jugak ke? Yang ada hanya Mak Teh.." saya cuba mengumpan

"Hmmm, kekadang tu terfikir jugak macam tu. Tapi cepat Mak Teh tepis. Kita buat apa yang patut kita buat. Isteri kena sayang suami tanpa harap balasan dan sebarang alasan..."

Huh! ini lebih hebat, prinsip teras dalam cinta rumah tangga - Unconditional love.

**********
Saya renung sejenak untuk kesekian kalinya pusara Mak Teh. Yassin tamat di baca, rumput2 halus habis sudah dicabut. Air di dalam kendi yang di bawa juga telah di curahkan... Hmmm, sudah lama jugak saya tidak ziarahi kubur untuk ambil ibrah... Mak Teh - terbayang satu persatu kata-kata bersahajanya - (pedoman untuk saya ke alam rumah tangga satu hari nanti - InsyaAllah)..
Mak Teh bukanlah wira yang perlukan tugu kenangan. Atau negarawan besar yang perlu di berikan pangkat atau kebesaran. Mereka hanya manusia biasa, yang menjadi 'luar biasa' dengan sikap biasanya - jujur, telus dan tulus. Memberi bukan untuk menerima...

Urusan kami selesai di situ... Lalu taman sunyi pohonan kemboja tersebut kami tinggalkan...
Moga Mak Teh sentiasa aman di sana...


******

Monday, September 28, 2009

Nasi Dagang Ma...

Memberi lebih mengembirakan dari menerima... Begitu selalu ditegaskan pakar-pakar motivasi. Dalam Islam kita memang digalakkan menjadi tangan di atas berbanding yang di bawah... Sebuah hadis nabi juga ada menyebut begitu...

Tapi hal begitu mudah pada teori sahaja. Praktiknya memang sangat sukar...

Seperti tahun lalu, juga tahun yang sebelum itu, selepas solat raya seperti tradisinya kami bermaaf-maafan dengan Ma dan Ayah... juga dengan adik beradik yang lain, juga dengan ipar duai dan anak-anak saudara... Meriah melihat seisi keluarga (walau tak semuanya ada) berkumpul bersama. Lebih menyeronokkan bila melihat si kembar Hakimi & Azhari dah mula belajar untuk merangkak...

Hari masih pagi lagi ketika kawan-kawan saya datang berkunjung. Kemudian mereka beria-ia mengajak saya ke rumah mereka. Saya tidak menolak. Tidak patut menolak. Hari raya aktivitinya tentulah untuk kunjung berkunjungan (rancangan untuk ke rumah 'orang belah sana' adalah pada waktu petang atau hari raya ke dua).

Dari berkunjung itu, terus melarat-larat ke rumah kawan-kawan yang lain. Lepas satu, satu... tanpa disedari entah berapa buah rumah sudah saya kunjungi... Hampir Zohor baru pulang ke rumah semula. Letih. Kenyang...

Adik saya datang menegur... "Abang, dah lupa ke..."
Saya tersentak, lantas bertanya...
"Ma mana?"
"Dalam bilik... nak sembahyang zohor." jawab adik saya itu..
"Nasik dagang?" tanya saya lagi...
"Ada kat dapur belah belakang..." Jawabnya pendek. Memang dapur rumah saya terbahagi dua, dapur depan dan dapur belakang.

Saya segera berwuduk kerana waktu Zohor telah masuk... Selesai solat, Ma sudah siap di meja makan..
Saya bergegas ke arah Ma...
"Ma! Nasi dagang ada lagi tak?"

Seperti biasa Ma senyum lantas bangun dari duduknya. Tangkas...

"Hmmm, ingatkan Mu dah lupa. Manalah tahu, dah jumpa kawan-kawan"

Kami bersama duduk di meja makan. Sesudah Zohor begitu, tidak ada tetamu yang datang. Ayah bersama adik-beradik yang lain tentunya ada program yang lain. Tinggal saya dengan Ma. Abang saya ada.. tapi tidur di biliknya (Huh!!)

Kami berbual sambil makan nasik dagang... Itulah saat paling intim antara saya dengan Ma sejak dulu. Bukan sekadar makan nasi dagang bersama gulai ikan aya (tongkol), tapi lebih dari itu. Semua itu membawa seribu satu rasa di sebalik pelbagai peristiwa. Suka duka kami bagai terjalin segalanya di sebalik basuhan beras pertama, suapan, kunyahan...

"Dulu kita susah" Ma berbicara sambil tangannya menyendokkan nasi dagang ke pinggan saya yang telah tinggal kurang sesuku isinya.

"Tapi, Ma tetap buatkan nasi dagang untuk kami setiap kali raya." Balas saya...

"Hmmm, kekadang sikit je... cukup untuk mu adik-beradik.."

Dulu memang hidup kami agak susah. Kami menyambut raya di bawah aras sederhana tetapi tetap meriah..

Selalunya bila nak raya Ma akan menurut kemahuan saya untuk memasak apa untuk raya... Kekadang, adik-adik saya meminta Ma buatkan nasi himpit, atau ketupat... tetapi saya tetap berkehendakkan nasi dagang untuk raya - Dan keputusan Ma juga bergantung kepada kemahuan saya... Maka, setiap tahun nasi dagang adalah hidangan istimewa ma untuk kami seisi keluarga dan untuk tetamu yg berkunjung.

Dan setiap lewat malam raya, saya akan membantu Ma... Mengupas kelapa, membelah, mengukur... mengacau nasi (campuran beras dan beras pulut) yang hampir masak kemudian ma akan mengukus semula sehingga masak...

Nasi Dagang Ma, memang tiada tandingan... Serius, kawan-kawan saya yang berada di kejauhan berkunjung ke rumah saya semata-mata untuk menikmati nasi dagang Ma... Chef Wan juga tidak mampu melawan kehebatan nasi dagang Ma...

"Ma makan la sekali..."
Dari tadi Ma hanya mencuit sedikit, untuk memulakannya. Padahal saya tahu Ma telah kekenyangan. Dia tahu saya tidak akan memulakan sebelum dia mulakan...

"Makan, makan... Ma puas tengok kamu makan. Dari kecil, sampai ke tua (tua?) ma bersyukur sangat sebab boleh buatkan nasi dagang untuk mu.." Suara ma sedikit sayu...

"Susah atau senang tetap ada nasi dagang..." kata saya pula.

"Selagi ada kasih sayang... selagi Ma masih hidup... selagi mu masih mahu nikmatinya.. InsyaAllah.." Suara ma semakin perlahan...

Ma telah tua. Walaupun masih kelihatan bertenaga, saya tahu Ma kepenatan untuk membuat nasi dagang kerana memerlukan tenaga yang banyak juga untuk mengacau nasi untuk disekatakan degan santan, apatah lagi, disediakan dalam kuantiti yang banyak. Malam itu... Ma tertidur di sofa ketika berehat kepenatan. Saya tidak mahu kejutkan. Lantas tidurnya terus di bawa hingga ke subuh, dan sesudah solat subuh Ma menyambung menyudahkan juadan istimewa itu... Kerana itu saya menegur Ma..

"Ma tak payahlah susah-susah sediakan nasi dagang lagi... lepas ni nanti kita upah katering je..." walaupun saya tahu tiada siapa boleh tandingi kehebatan nasi dagang ma... tapi demi melihat kepenatan yang Ma alami... tidak mengapa kalau saya beralah... (sesekali)

"Mu ingat ma susah?.. Tak, ma tak susah... ma gembira. Dari Mu masih kecil, dari abang-abang mu masih kecil. Dari rumah kita rumah papan lagi hinggalah rumah kita dah besar macam sekarang... Hati Ma tetap gembira setiap kali buat nasi dagang untuk anak-anak Ma untuk raya." Kata Ma sambil mata tuanya merenung jauh. Saya yakin dia merenung masa silam kehidupan kami..

"InsyaAllah... Anak-anak Ma pun begitu. Kami akan sentiasa doakan Ma. Kesihatan Ma, kesejahteraan Ma.." Suara saya juga mula searus dengan nada suara Ma.

"Ma pun begitu... Selain takbir dan solat raya, Ma paling gembira bila semua anak-anak Ma dan cucu berkumpul bersama. Jangan cakap pada adik-beradik Mu yang lain.... Satu lagi buat Ma gembira ialah bila dapat makan Nasi Dagang bersama mu, anak bujang tua (tua?) Ma ni" Kata
Ma seakan berbisik... (memang saya anak bujang tua Ma... Dua orang adik saya *seorang lelaki dan seorang perempuan* telah pun mempunyia keluarga sendiri - langkah bendul)...

Begitulah Ma... Pandai ambil hati saya. Tapi untuk adik-beradik yang lain tentunya Ma ada kata-kata 'Istimewanya' tersendiri untuk menghargai mereka. Masing-masing rasa 'dilebihkan'...

Sebagai anak bujang 'tua' yang tinggal bersama Ma juga - memangnya saya melihat kesusahan dan kesungguhan Ma sediakan nasi dagang istimewanya... Tetapi percayalah, setiap kali kami duduk bersama mengupas kelapa, mengukur, memerah santan, menyiang bawang, menyukat beras, mencuci beras, mengukus, menggaul sebatikan, mengukus lagi... ketika menjelang raya, kami gembira. Nasi dagang Ma bukan sekadar nasi dagang... Ia cerita suka duka kami. Ia lambang jalinan kasih sayang kami... antara saya dgn Ma... juga seisi keluarga.

Ya! Saya memahami rasa gembira Ma. Rasa gembira hasil memberi. Justeru Ma memberi dengan kasih sayang. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri. Allah memberi untuk kita memberi.

Mulianya Ma kerana tangannya di atas, manakala tangan kita anak-anaknya selalu di bawah. Hidup akan kelam, duka dan kecewa bila kita hanya menerima... Ceriakanlah dengan memberi.


Satu perkataan pendek yang menggambarkan seluruh pengajaran dari puasa dan hari raya ialah: MEMBERI. Dan itulah ganjaran dari Nasi Dagang Ma.... Hidup mesti memberi...


**********