Tuesday, August 25, 2009

RAMADAN dan KEMATIAN (kematian & ramadan)


Alhamdulillah... kita masih dipanjangkan usia diberi kesempatan menyapa dan mendakap RAMADAN ini penuh erat... Ia kurniaan Allah yang hebat. Cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah. Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan hujungnya bebas dari api neraka.

Namun, sama ada kita sedar atau tidak (atau buat-buat tidak sedar) ini mugkin juga Ramadan terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah, berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman-teman yang bersama kita Ramadan yang lalu, kini telah tiada, tidak sempat sekali lagi untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam kehidupan penuh pengorbanan ini.

Justeru jangan leka. Peluklah dengan penuh kecintaan setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah (mudah-mudahan begitu) - Ramadan penuh keberkatan ini.
Pintu-pintu Syurga terbuka, pintu-pintu neraka terkunci kemas, syaitan terbelenggu. Hamparan ketakwaan dibentang seluas-luas.

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi yang bertadarus, menyantuni anak yatim, meyempurnakan silaturrahim, membela yang tertindas, bersedekah, memuliakan orang tua, membantu yang tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, berdoa dan memanjangkan sujud serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti ketibaan malam seribu bulan.

Ketibaan bulan mulia Ramadan kerapkali mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba seorang teman bergurau senda, teman tangis dan ketawa pada Ramadan tahun-tahun yang lalu. Tanpa sebarang sakit tanpa sebarang tanda... Kematiannya benar-benar meremukkan hati saya, dan mencampakkan seisi keluarganya terutama ibu ayahnya ke penjuru satu dunia yang berbeza... dia itu anak yang taat... anak yang bijak... warak... ramah... mesra... - Orang kata yang patah kan tumbuh, yang hilang akan berganti - Tapi bolehkan yang tumbuh itu menyamai keteguhan yang telah patah - Benar!! Sehingga kini pemergian teman itu masih tidak berganti (sungguh, bila mengenang dia, terasa mata ini mula mahu berkaca).

Betapa pun saya menyanyangi sahabat itu... manakan sama kasih sayang ayah ibu terhadap darah daging sendiri - tentunya dugaannya terasa lebih luar biasa, tertanam di dalam kalbu. Menyelinap setiap denyut nadi - pun begitu, ayahndanya sering berpesan kepada saya "
Betapa kuat rasa sayang kita pada dia... Allah lebih menyayangi..." ... ... ...
ketika itu saya sentiasa berdoa, "Ya Allah, Kau teguhkanlah semangat Ayah itu..."

Ya! pada saya kini... Ramadan dan kematian ibarat teman yang intim. Saling mengingatkan, walau selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya deras sekali. Hentakkannya memutus angan. Sayang, insan selalu alpa....

Kematian seorang sahabat baik sejati - apatah lagi kematian seorang anak tersayang tanpa didahului dengan sakit memanjang memang menyesakkan nafas. Membuntukan kotak fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Allah bisa datang secara tiba-tiba, tanpa mempedulikan kita sihat atau tidak, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan.

Benar sekali sabda nabi...
Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati. Nabi Junjungan Mulia pernah ditanya tentang orang Mukmin yang paling mulia, maka jawab baginda, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempuyai bekal yang cukup untuk menghadapi kematian....

Ramadan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan.

"Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadan yang sangat istimewa ini" - Pesan saya buat diri saya yang sangat mudah terleka ini, walaupun kematian sahabat baik sejati saya kerap mengingatkan...

Selamat Berpuasa untuk hari berikutnya...






***********