Friday, December 19, 2008

Yang Berkat jadi Mudarat..... (cerita kahwin muda)

Majlis akad nikah sahabat saya itu baru sahaja selesai... tidak terlalu ramai orang walau pun agak sesak juga di halaman rumah... kenduri akan berlangsung siang esok... saya dan beberapa teman juga saudara-saudara terdekat pengantin lelaki menikmati minuman ringan yang disediakan pihak tuan rumah pengantin perempuan.

Tiba-tiba seorang lelaki tua yang memang saya kenal (Datuk kepada pengantin lelaki) menarik tangan saya dan bertanya...
"Kenapa orang sekarang ni kahwin lambat sangat..?" huh! saya agak terperanjat juga... dia ni dan perli aku ke hape?... tapi mungkin juga soalan itu dia merujuk kepada cucunya yang seusia dgn saya (awal 30an) yang selamat diijabkabulkan malam itu... (atau memang dia tujukan kepada saya)..

Saya lantas bertanya kepadanya "Tuk dulu kawin cepat?"

"Umur 15 tahun, nenek kau tu dah anak sorang..." dia menjawab agak bangga.
huh! saya agak terperanjat juga... lantas terbayang adik perempuan saya yang bongsu sedang menuntut di tingkatan 4 sekarang. Sukar nak dibayangkan. Betapalah di usia itu sudah mempunyai anak.

"Tuk bahagia tak?" saya tanya ringkas - tak ada modal

"Tak bahagia apanya, anak tuk ada 12 orang!"

terhibur saya berbual dengannya. semuanya diukur dengan angka.

"Ada kawan saya tuk, kawin masa umur 21 tahun... masa tu dok belajar lagi. semua kawan-kawan heboh kata dia tak sabar." saya terbayang wajah kawan saya tersebut. memang telah lama benar saya tak menemuinya. dengar ceritanya dia telah punya 4 anak... Alhamdulillah... (dan terkenang juga pada kenalan kita kat sini **cik chika** yang akan menamatkan zaman bujangnya pada usia muda pada jangka waktu terdekat ini... - semoga semuanya berjalan lancar)

"Tak sabar? Huh! pelik! Zaman tuk dulu, tu dah kira terlajak dah tu! Kalau nak buat baik, eloklah cepat-cepat. Selamat dari maksiat. Kalau betul tak sabar, Tuk ni lagilah tak sabar... umur 17 tahun dah kawin... heh heh heh..." Dia tersengih mempamerkan giginya yang putih kemas tersusun - gigi palsu...

"Setuju tak Tuk, kalau orang kata soal kawin ni bukan soal cepat atau lambat, tapi soal sedia atau tak..?" Saya bertanya lagi.

"Setuju... Tapi kena huraikan maksud persediaan tu..." tajam Tuk membalas.

"Kalau ikut pandangan tuk, apa agak-agaknya persediaan tu?" saya tanya lagi.

"Hish! soal ni mana boleh main agak-agak je... mesti nak tepat." agak tegas jawapan tuk.
terkedu saya dibuatnya. Tuk bukan sebarangan orang.
"Maksud sedia bukan sahaja dari segi umur... asal akil baligh je dah boleh kahwin. Bukan je diukur pada badan yang sihat, pendapatan yang cukup... tapi yang penting sekali kematangan diri... maksudnya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang.." Agak jelas penerangan dari Tuk.

Saya menung panjang. Tertikam juga di sudut hati pertanyaan... errrr... aku ni dah matang ke kalau aku nak kahwin - jiwa pun tengah dok kacau.

"Jangan termenung panjang. Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul... Nanti tak kawin pula!" Usik Tuk dapat membaca fikiran saya. Tuk sedang mendidik (pada perkiraan saya) walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumahtangga yang kadang kala tidak dapat ditimba dari mana-mana menara gading.

"Macamana cara nak matang?" Tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan demikian di usia 30-an ni. Terasa dah terlambat.

"Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dengan kawan-kawan... umur 11 tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar ilmu Fardhu Ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah ok. Bila dah baligh belajar bab yang lebih tinggi pulak. Baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggungjawab suami isteri dan asas-asas kerukunan rumahtangga."

"Tu aje ke? Ilmu lain?" soal saya pendek.

"Eh! perlu jugak. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan... ikut keadaan zaman tu lah. Tuk ni tak nasib baik sangat. Kerja kampung je. Guna tulang empat kerat, buka tanah. Itulah dusun yang tuk kutip hasilnya sampai sekarang ni"...

"Tapi sekarang Tuk dah senangkan. Dengarnya dah dua kali naik haji."

"Tak senang... tapi mudah-mudahan... tenang. Tulah doa tuk, biar hidup kita tenang." perlahan Tuk menjawab.

"Agaknya sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?" cuit saya, kembali ke tajuk asal.

"Abis tu engko tak kawin-kawin lagi ni tak matang lah agaknya ya..." sindiran Tuk agak keras juga. sentap. macam senjata makan tuan pulak rasanya... saya hanya tersengih heh heh heh...
"Ni agak Tuklah. Budak sekarang ni tak macam dulu. Mereka ni bukan tak matang. Tapi semacam lambat matang. Kalau dulu umur 13 dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan baca berzanji tu lancar... Tapi sekarang lain, umur 23 pun masih bergantung pada mak bapak. Nak jadi Imam??? Jauh sekali." Terbayang kekesalan di wajah Tuk. Kemudian dia menyambung lagi..
"Sekali tu, Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala Tuk ni macam mana seorang bakal pengantin tu tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan Tuk Kadi. Bila ditanya rukun sembahyang, geleng kepala... Yang dihafalnya rukun nikah je..." Suara Tuk bernada kesal.

"Kalau macam tu macamana Tuk?"

"Huh! baik tok sah kahwin. Macamana dia nak pimpin isteri dan anak-anaknya nanti? Tu baru ilmu yang paling asas, belum lagi ilmu... apa kata orang... parenting skill."
saya agak terperanjat.
"Hah!! Tuk tahu parenting skill?"

"Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Kat radio, tv, ceramah, astro, buku-buku... macam-macamlah. Tinggal lagi kita ni nak manfaatkannya atau tak.. ini tak, bukak tv tgk bola... tengok akademi fantasia..."
hahah... saya tergelak juga. Tuk tahu jugak perkembangan hiburan kat tv.

"Tapi Tuk, Kalau tak kawin pun susah jugak... nanti terjebak dengan maksiat." kilas saya.

"Tulah, ajaran Islam ni macam mata rantai, lepas satu disambung satu. Bermula dengan yang paling utama, diikuti dengan yang ke dua, ketiga dan keseterusnya... Ilmu tauhid, fekah, akhlak, mesti diasak dari awal usia. Pastu baru ilmu akademik. Jadi bila engko dah nak kawin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada. Persediaan material ada."

"Macamana kalau ada yang lambat-lambatkan kahwin keranan katanya belum sedia, dari segi material dan agama.?" --soalan ni merujuk pada diri saya sendiri sebenarnya.

"Apa-apa pun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama... sampai mati pun takkan habis dituntut. Cukuplah sekadar keperluan dulu dan tambah lagi selepas kahwin. Macam tu jugak soal harta benda, soal kerja, kerjaya... ni pun tak akan habis jugak. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri. Jangan sampai terlanjut usia sudah. Jangan nanti, ilmu ada, matang ada, duit ada... calon pulak tak ada..." Tuk cuba berjenaka.
Terbayang saya wajah 'orang belah sana'....

"Tuk tengok macamana keadaan anak muda masa sekarang?" terluncur soalan berbau akademik tanpa saya sedari.

"Akibat tak ikut tertib dalam menghayati Islam, keadaan dah jadi lintang pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak kahwinkan, buat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab."

"Antara dua keadaan ni... yang mana patut kita pilih..." tanya saya lagi dengan soalan terakhir...

"Perlukah kita buat pilihan? Pada Tuk... Pilihlah keadaan yang tak memaksa kita membuat pilihan!"

Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana..."



errr... aku ni... bila nak kawin niiii....





Tuesday, December 16, 2008

Penulisan dan Saya

gambar hiasan : flickr.com

ADA BENAR KATA ORANG...
Ramai yang sedia tahu bahawa penulisan membawa suatu makna yang abstrak. Biar dinilai pada pembacanya mahupun diterima oleh penulisnya. Ia mampu menyinar cahaya tumpul dan boleh juga mencetak terus isihati tuan empunya cerita.


Ramai juga sedia maklum yang mana untuk menulis seseorang itu perlu ada mood yang sesuai. Sebenar, ia lebih dari itu. Mood bukan saja harus wujud malah selalunya didalami. Penulis yang seperti saya gemar menyelami perasaan sendiri. Kadangkala saya sendiri tidak berdaya mengurai makna jelas simpulan diri saya. Tiada ayat sempurna untuk diperhalusi...

Berlindung dalam zodiak Gemini, sifat humanisme saya begitu tebal. Saya cepat bersimpati akan masalah manusia lain. Sebarang perkara yang berkait kesusahan manusia – penderitaan, kemiskinan, kezaliman, kematian, kelahiran dan pelbagai macam perkara lagi, mudah sekali meragut belas saya. Sudah sifat, saya lemah bila menghadap cerita, berita dan pengalaman sebegini.

Namun saya teramat jarang mempamerkan kesedihan hati saya di muka khalayak. Mungkin paling lanjur setakat bergenang air mata (sedikit), atau sebak di dada yang tertimpa. Mungkin juga sifat saya yang tidak-mudah-kalah melawan perasaan membuatkan air mata itu terlalu berharga untuk dibazirkan. Saya jarang menangis. Barangkali kerana saya seorang lelalki... yang biasanya meletakkan ego di tempat tertinggi.

Ketabahan hati saya tidak lut dalam soal menegakkan perkara yang memerlukan keadilan, keadaan yang seharusnya berlaku dan tidak patut berlaku. Kadang kala saya terlalu pentingkan diri sendiri kerana mahu melihat segala dan setiap baris perjalanan hidup ini bergerak mengikut kelajuan yang saya pilih – berpandu paten yang saya suka. Saya memaksa keadaan berpihak kepada apa yang saya mahu, berlandaskan kebaikan yang saya rasa sesuai untuk berlaku.

Saya seperti biasa, dengan fikiran saya yang kosong, sering menziarahi kembali memori serta perjalanan hidup saya yang lalu. Segala kejadian yang lepas-lepas diingati dengan harapan percaturan nyawa, jalan hidup dan nasib seterusnya dapat saya ramal. Mungkin kerana takut tidak bersedia dengan ketidaktentuan kemungkinan – gementar saya tidak mampu bersemuka – saya beristiqamah mengejar corak kembara yang tuhan titipkan kepada saya.

Setiap seorang dari kita ada cerita tersendiri yang ingin kita perihalkan. Ada juga rahsia-rahsia peribadi yang kita tidak mahu orang tahu biarpun telah kita mati. Saya percaya pasti akan datang saat atau ketika di mana kita merasakan seharusnya ada cerita peninggalan yang wajar orang lain tahu sebaik kita sudah tiada lagi di dunia.

Pasti ada kisah yang kita ingin orang yang kita sayang ingat bila ajal menjengah di tingkap nyawa. Kita mahu kenangan peribadi yang disasarkan kepada mereka yang masih hidup, berkesan agar kita diingati setelah mati.

Bagaimana manusia boleh berubah bila ditimpa kecewa. Bagaimana manusia sanggup berbuat apa saja untuk melihat orang yang disayangi bahagia. Bagaimana kesedihan boleh dibayar dengan keganasan. Bagaimana manusia cekalkan hati untuk terus hidup buat satu saat yang seterusnya. Bagaimana manusia putus-asa menghadapi kehilangan. Bagaimana manusia tidak pernah putus-asa menunggu kehadiran.

Jadi saya memegang pada suatu pegangan. Saya menulis atau jika menukilkan sesuatu tulisan mengarahkan kepuasan hati. Setiap sesuatu yang dipaparkan di sini adalah simbolik kepuasan saya. Walau mungkin ada yang tidak suka persembahannya, saya kurang periksa....

Saya tidak pandai menyembunyi kegembiraan di hati. Apabila saya gembira, sinarnya dengan sendiri terpampang di muka sedepa. Senyuman ketika rasa selesa selalunya mencungkil riak wajah ceria.

Begitu juga bila hati tercuit dengan gurauan yang menggelikan ulu perasaan. Saya paling boros memberikan ketawa berdekah jika terserempak lawak. Gelak yang terbahak-bahak hingga ke nada nyaring sesangat memberi tema kepada mereka yang belum kenal manusia ini gembira. Atau terpenting tika saya rasa lucu...
Saya tidak faham mengapa ketawa harus disekat-sekat tanpa kebebasan. Lepaskan ia, lontarkan tenaganya. Kalau lucu tak terhingga yang mengundang gelak pecah-gema, mengapa harus ditutup laluan suara, bak gadis sunti tersipu-sipu malu. Mengapa harus jadi hipokrit yang menghindar karektor peribadi.

Saya manusia yang tidak cermat akan perkara ini. Saya insan yang tidak segan silu meluahkan sebarang rasa kepada dunia. Biar buruk pun saya mahu semua lihat. Manusia perlu ada kepelbagaian. Juga penerimaan akan kelainan sifat orang lain.

Oh ya!... bagaimana penilaian anda tentang gaya penulisan saya... semuanya menjurus ke arah motivasi diri sendiri sebenarnya... semoga juga meniggalkan sedikit motivasi kepada yg membaca.. :)

Monday, December 15, 2008

Hidup untuk hidup!!

gambar : flickr.com

Ada masanya... perjalanan hidup rasa sungguh memenatkan. Apa tidaknya, makin ke hujung makin sukar. Sedangkan beban bertambah berat. Tanggungjawab semakin sarat. TETAPI.. masih adakah pilihan lain selain meneruskannya? Hidup selagi hidup... Jangan mati sebelum mati... Sering diri diperingatkan, kalau ada masalah di tengah jalan... teruskan perjalanan. Apabila yakin tujuan dan matlamat tidak sesat, soal kembali ke pangkal jalan tidak timbul. Ini jalan yang paling benar, walaupun jalan yang paling sukar. Inilah jalan paling singkat walaupun terasa amat berat.

Hidup jangan dibelenggu jemu dan lesu. hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dgn rasa indah dan rasa ceria. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik.
Nafas dan aliran darah - modal utk ibadah. Susah payah adalah baja yg membina rasa matang jatuh bangun diri menuju Allah.
Sabar dan syukur adalah minyak bagi pelita hidup yang meliuk lentuk dipukul badai kehidupan.

Jangan gusar bersendirian. Tidakkan tersasar ketika sunyi. Katakan pada diri,
ketika kau sepi sendiri, di sisimu ada PEMERHATI. Dalam sekolah kehidupan, sentiasa ada pelajaran yang mesti dipelajari. Tidak ada guru tertentu. Tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepenuh waktu. Jika datang topeng kepura-puraan... itulah guru yang mengajarmu erti berhati-hati. Jika mampir bejana jujur... teguklah ilmu keikhlasan.

jangan berubah pendirian, walau beralih pendekatan. jadilah wajah yang satu di hadapan yang
SATU. Jadilah dirimu sendiri... insya-Allah kau akan sentiasa juara. Tetapi, jika kau berlakon, kau akan bertukar menjadi klon kedua, ketiga dan seterusnya...
Jangan bermuka-muka hanya untuk menempa nama.
Jangan berdiri di bawah teduh bayang-bayang orang lain hanya untuk digelar berjasa.

Bertatih dengan kaki sendiri lebih mulia daripada bersayap emas milik orang lain. Jadilah raja dalam kerajaan diri yang meghirup udara kebebasan dengan kemerdekaan sebenar. Mendongak tidak bongkak... Mengalah tidak kalah... Tidakkan ada istilah kalah. Cuma kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan segala perit masa lalu setelah diperah segala pengajaran dan iktibar. Kegagalan masa lalu adalah kejayaan hari ini... atau hari esok... Menyesal itu bebal... kesal itu bekal.

Hiduplah seperti orang yang bersedia untuk mati. Insya-Allah, nanti akan hidup terus walaupun sesudah mati. Ingatkan diri selalu, bahawa hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hari akhirat.

Sesungguhnya, hidup sebelum mati adalah bekal untuk hidup selepas mati. katakan pada diri, hidup bukan sekali... jadi, hiduplah selagi hidup.. kerana hidup ini hakikatnya untuk HIDUP!