Thursday, September 10, 2009

"Kalau benar sayangkan Ayah"

"Nak rasa sembahyang tarawih luar biasa tak?... Sembahyang tarawih yang lain dari biasa"... adik saya bertanya sambil bersiap-siap menyarungkan kopiah ke kepala dan menyapu sedikit parfum 'one drop parfum' di bahagian lengan kiri dan kanan...

"Tarawih luar biasa??" saya kepelikan.

"Jom ikut aku pergi masjid".. pelawanya.

Begitulah... Sejak dari awal ramadan hinggalah ke malam-malam pertengahan Ramadan saya tidak pernah bertarawih di masjid... Saya senang menuju ke surau kerana lebih dekat dan tersangat dekat. Masjid berada pada jarak yang agak jauh dari rumah...

Malam itu saya ikut adik saya ke masjid untuk merasai Tarawih yang lain dari biasa seperti yang dikatakan..
.

******
Saya Terima hakikat... malam itu saya nikmati tarawih yang menyeronokkan. Apa yang luar biasa??? - Tarawih di masjid itu berimamkan seorang imam muda yang baru berusia 18 tahun.... 18 Tahun... Memang terasa hebatnya. Anak semuda itu, mampu mengimamkan satu jemaah tarawih saban malam... - Kehebatannya, dia adalah sorang tahfiz - penghafaz Al-Quran. Surah-surah yang bibacanya bukan surah-surah biasa yang di baca oleh imam masjid atau imam surau ditempat saya. Dia memetik dari surah-surah yang jarang digunakan untuk bacaan dalam sembahyang... Bacaan yang sangat lembut - menyentuh hati - hukum tajwid yang sempurna - sayup - jernih - fasih - tartil - getar menghiba - penuh penghayatan - taranum indah yang tidak keterlaluan... Sungguh!!!, meresap ke segenap ruang tubuh hingga terasa berdiri roma - sebak... Hebatnya imam muda itu... Secara jujurnya saya akui - berimam kan dia, 20 rakaat tarawih bagai tidak puas... (tidak seperti kebiasaan, selesai rakaat ke 8 dah sedia nak balik.. hahah)...
Entah anak siapa (yang pastinya dia bukan penduduk asal tempat saya), dia di jemput oleh pihak masjid sepanjang Ramadan hingga ke 25 Ramadan nanti... Walau siapa pun dia, Allah akan sentiasa memberkatinya... Bertuah ibu-bapanya miliki anak sebegitu - terus terang saya cemburu....


************

Saya terkenangkan ketika balik berpuasa ke Terengganu pada cuti hujung minggu (ditambah cuti nuzul Quran) yang lalu. Tahun ini keluarga saya tidak akan pulang beraya ke Terengganu (di sana pun dah tak ada sesiapa lagi - Tok Ki, Tok Wan... semuanya telah tiada - ada pun hanyalah saudara-mara terdekat).. Jadi saya mengambil kesempatan untuk pulang sendiri ke Terengganu untuk menziarahi dan membersihkan pusara Tok ki dan Tok Wan... kerana Raya nanti saya tidak pasti akan pulang atau tidak....

Kisahnya begini pula...

"Ayahngah pun macam tak percaya... bukan setakat ayahngah, satu kampung pun macam tak percaya.." Ayah saudara saya memulakan bicaranya.

"Tak percaya apanya AyahNgah?" Saya kepelikan.

"Imam muda masa tarawih tadi tu... Ramli... Anak arwah Pak Hamid. Dia balik dari luar negara jadi jurutera dan Hafiz sekali."

Malam itu memang Ramli itu mengimamkan solat tarawih. Lunak dan lancar bacaannya. Mereka yang tak tahu asal-usul Ramli kagum mereka yang mengenali lebih kagum lagi..
Saya sudah tidak ingat siapa arwah Pak Hamid... Menurut AyahNgah saya memang biasa dengan arwah ketika zaman kanak-kanak saya... Secara jujur memang saya tidak ingat.

"Bagus kalau kamu dapat contohi Imam muda tu... Dah lah Hafiz, Jurutera pulak tu"...

"Hebat betul!"

"Kalau kamu tahu sejarah hidup dia, kamu akan lebih kagum!!"

"Ayahngah tahu ke?"

Ayahngah anggukkan kepala...
"Mestilah... AyahNgah kan anak jati kampung ni..."

********

Mata saya merenung ke luar tingkap rumah. Pohon nyor kelihatan berbalam-balam melambai dalam kecerahan samar di suluh sang bulan.

"Ayahngah nak cerita ni setakat nak ambik dan beri iktibar. Bukan nak buruk-burukkan orang yang dah mati.." Perlahan suara AyahNgah memulakan cerita.

"Kenapa sampai macam tu sekali AyahNgah"... saya kerutkan kening.

"Arwah Pak Hamid tu, memang orang semua oarang kenal dia dengan perangai buruknya. Sembahyang tak, Puasa tak, ke masjid tak pernah. Berjudi, minum dan jadi kebiasaan."

Saya terperanjat. Sampai begitu sekali.

"Ramli tu terseksa sejak kecik lagi. Dimarah-marah, di rotan. Makan, minum, pakai, tak terurus langsung.."

"Tapi macamana dia boleh berjaya dan capai apa yang dia ada sekarang??"...

"Itulah luar biasanya Ramli tu. Dalam serba kekurangan dengan cabaran tu, dia gigih. Rajin belajar, berdikari cari rezeki sendiri..."

"Mak dia?"

"Hmmm... Mak dia dah lama meninggal. Orang kata tu lah sebab Pak Hamid jadi macam tu. Berubah lepas isteri dia mati."

"Sedih jugak ya..." Saya cuba bayangkab kesukaran hidup Ramli.

"Kalau orang lain tu, dah lama dah putus asa... Tapi Ramli tak. Hasil keputusan sekolah dia cemerlang. Lepas tu dapat sambung belajar kat sekolah asrama penuh. Tak tahulah pulak macamana kaedah belajar dia sampai dia boleh teruskan cemerlang akademik dan hafaz quran sekali gus. Hebat."

"Sekarang ni ayahngah, ramai orang dah tahu sistem tu... ada cara dia."

"Baguslah... Kalau ada peluang, kamu ikutlah cara dia tu sikit-sikit..."

Saya cuma tersengih.

"Pak Hamid meninggal tak lama lepas Ramli sambung belajar kat sekolah asrama penuh. Ayahngah ingat lagi.." Ayahngah mula kelihatan sebak.

"Ingat apa Ayahngah?"

"Ramli balik sebelum ayahnya dikebumikan. Dia menangis... Sebatang kara. Orang kampung cakap macam-macam pasal arwah ayah dia. Berdosa besar, jenazah berat, berat dosalah... Macam-macam. Sediah ayahngah rasa. Ramli tu muda sangat lagi dah kena tanggung kutukan masa hari dia hilang orang yang dia sayang.. Tapi mujurlah ada Tok Ki kamu."

"Hmmm, Tok Ki pun ada peranan jugak dalam cerita ni?" Tanya saya agak terkejut.

"Ayahngah ingat lagi. masa tu ayahngah berjalan seiring dengan Tok Ki kamu. Tok ki panggil Ramli tu berjalan sama-sama masa balik dari kubur."

"Tok Ki cakap apa??"

"Tok Ki kata - Ramli, kalau betul sayangkan ayah kamu... jadilah anak yang soleh. Doakanlah dia. Itu saja lagi jalan yang tinggal nak selamat kan ayah kamu di kubur dan akhirat."

Saya terdiam... terkesima sambil merenung di kejauhan malam.

"Tok ki kata lagi... Nak harumkan balik nama ayah kamu di dunia, kamu belajarlah sungguh-sungguh. Jadi orang berjaya dalam hidup. Insya Allah, kalau kamu cemerlang, kamu akan julang semula nama ayah kamu yang di kata-kata orang hari ni.."

"Macamana dengan Ramli??"

"Dia hanya kesat air mata dan angguk-angguk kepala."

"Hebat betul kan AyahNgah... sekarang ni semuanya dah jadi realiti."

"Memang hebat. Anak yang baik dari ayah yang sebegitu... Kamu pulak macamana?"

"Saya bertuah... ada ayah! ada ayahngah.."

Ayahngah tersenyum...
"Kamu mesti terima kenyataan. Kita masih boleh jadi anak yang soleh walaupun ibu-bapa kita tak soleh. Dan tak semestinya bapa yang soleh, anaknya akan jadi soleh sama."

"kenapa ya?"

"Itulah bukti keadilan Allah. Dosa, pahala bukan warisan. Dan akil baligh setiap kita punya potensi sendiri. nak jadi baik atau jahat..."

"Betul ayahngah!! Ini bukti Tuhan tu sangat adil... Kalau tak, setiap anak kena tanggung semua salah mak ayah dia."

"Hmmm... tulah yang dibuat imam Ramli. Demi rasa sayang dia pada ayah dia, dia bela maruah ayah dia dunia dan akhirat. Tolong buat macam tu bila ayah kamu dah tak ada nanti... Doakan kebaikan untuk ayahngah jugak bila ayahngah dah pergi..." sayu bunyinya suara ayahngah....

*******

Keesokan harinya, saya menziarahi tanah perkuburan di pinggir kampung. Saya menghampiri pusara usang milik antara insan yang paling saya sayangi, Tok Ki saya... Lelaki yang pernah menasihati Imam Ramli... Mudah-mudahan Rohnya terus bersemadi bersama roh-roh mereka yang soleh....



Memang hakikatnya, Imam tak dapat diwarisi... kejahilan juga tidak diwarisi...






********************


"Hmmm... macamana... Luar biasa tak tarawih kat masjid?" adik saya bertanya sambil menghidupkan enjin motor sewaktu mahu pulang...

"Hebatlah... sape imam tu?" tanya saya pula.

"Entah... Budak sekolah tahfiz..."

"Harus aku kena pergi masjid pulak tiap-tiap malam.. tak pergi surau dah lah lepas ni.."

"Baru ko tahu... Nak rasa yang lebih luar biasa tak...?? tunggu malam esok pulak..."

"Hah!! malam esok ada apa pulak..."

"Datang jelah malam esok..."

di pendekkan cerita, malam esoknya saya ke masjid lagi dengan adik saya... Memang ternyata lebih luar biasa bila imam yang mengimamkan solat tarawaih malam itu, imam yang lain pula, pelajar tahfiz juga, imam muda juga yang lebih muda berusia EMPAT BELAS TAHUN!!!! 14 tahun... dengan gaya bacaan yang sedikit berbeza, MasyaAllah... Pada usia begitu, mengimamkan 4,5 saf jemaah... Dia benar-benar hebat... demi Allah saya sebak dengan kekurangan diri berbanding anak muda yang terlalu muda itu... Rupanya kedua-dua imam itu mengimamkan tarawih secara bergilir-gilir saban malam...

Moga hidupnya dirahmati.....





Ampun Maaf... selamat berpuasa untuk hari berikutnya...