
Satu ketika... Saya termasuk dari sejumlah besar manusia-manusia Kuala Lumpur yang tenggelam dalam kehidupan yang begitu rutin. Pagi hari berkejar-kejaran meninggalkan rumah, berhimpit-himpitan di jalan, di kenderaan awam, di stesen bas, di terminal Putra-LRT, menuju tempat mencari nafkah. Di petang hari kembali berkejar-kejaran pulang ke rumah masing-masing.
Hidup rutin manusia Kuala Lumpur secara tidak sengaja saling melukakan. Lucunya kita tidak saling mengenal. Namun rutin... dari hari kehari, dari bulan ke bulan, tahun ke tahun, membuat kita dapat mengenali wajah-wajah tertentu yang kemudian jadi terasa begitu akrab - namun tetap tak dikenali...
Sudah lama saya tidak melibatkan diri dalam kesesakan dunia sesak ini... Tapi musim perkahwinan kali ini (dan di lain-lain waktu juga) memaksa saya memasuki dunia rimas ini untuk memenuhi undangan hari bahagia seorang teman....
Dalam perjalanan pulang...
dari majlis bersejarah seorang kenalan di Kelana jaya...
Menjengah masuk ke laluan sebenar dalam tali arus kereta di LDP yang sesak
seperti arus Sungai Klang yang kuning, pekat, sarat dan sebak dengan beban.

Kesesakan terus membawa ke MRR2...
Saya bermonolog sendiri
apakah yang membawa kita semua ke arus sesak ini ?
Terpaksa bertekun melihat lampu merah kereta hadapan
menekan brek dan gear rendah
bernafas sabar dalam irama resah
Di dalam arus ini kadang dengar bunyi gerit tayar terheret cemas
gempita hon tingkah bertingkah
udara kondisi rimas berjerami
kadang seranah yang muntah
ada amarah yang tak mampu ditahan.
Tapi...
Walau seribu payah kita tetap membawa diri ke arus sesak ini.
Sekiranya kita menjadi seorang polis pada petang ini dan menahan,
bertanya pada setiap kereta
dan pemandu terpaksa menggelunsur turun cermin;
"Sebenarnya anda semua tiada tujuankan ?"
"Sebenarnya anda tiada destinasikan?"
"Anda hanya jalan-jalan di arus inikan?"
"Seleruh kesulitan ini hanya suka-sukakan?"
Semua tentu marah, bukan kerana sesak arus itu, tetapi pada soalan yang tak lucu.
Tiada orang di sini yang tak punya arah
tiada orang di arus ini yang tak punya matlamat
tiada orang sedang sesak ini yang tak punya destinasi !
Kerana arah, matlamat dan destinasi membawa kami ke sini...
Mari kita bermuhasabah..
Kereta di jalan Kuching semuanya pasti tentang arah
tahu apa matlamat
di mana destinasi..
Juga kereta di Jalan Ipoh... Atau di Jalan Parlimen...
Tetapi, berapa ramai manusia di arus hidup ini dengan laluan bersesak
(Ada yang datang hari ini dan ada juga yang berangkat pergi ke alam lain buat selama-lamanya)
tahu.. tentang arah
apakah matlamat dan di mana destinasi hidup ini ?
Adakah hidup ini hanya hidup-hidupan seperti rumput meliar, bertunas baru, menghijau kemudian kuning kekeringan tak lama kemudian terurai mereput dalam putaran alam ?
Atau seperti haiwan ternak yang hidup hanya untuk hidup semata,
bangun pagi untuk makan
kemudian minum
kemudian kahwin
kemudian berkrisis
kemudian main
kemuadian tidur
kemudian mati...jadi tanah.
Meneroka ke alam diri dengan ciptaan yang sangat kompleks membuat kita berfikir, hidup ini bukan untuk di sia-siakan tetapi ada matlamat, ada arah dan destinasi !

Dalam arus kenderaan yang berjejer dan hari yang kian suram, matahari kian kelam..
mari mencari makna hidup,
bukan dalam minda
tapi dalam kelung rasa
sehingga memuncak sedar tentang Tuhan yang menghantar kita ke sini
membekal keperluan dengan segala warna warni indah, hidup berabdi padaNya bernafas dalam tulus Ilahi.
Dan selanjutnya bertanya ..telah bersediakah kita ke destinasi itu?
Dalam rembang esok yang tak pasti buat kita..
Opps.. saya akan menyusur ke Lebuh Raya Karak... melepasi Plaza Tol Gombak.. selamat tinggal sesak !
(dalam doa bangun tidur pagi tadi kita menuturkan ... Dan kepadaNya kita menuju..)
********
Ini Encik Pilot... heheheh...teka-teki... banyak-banyak jalan, jalan mana tikus takut nak lalu...
jawapan: Jalan Kuching... heh... ok, ok.. teka-teki tak berapa cerdik...
entri ini untuk jawapan cabaran Yoyooh minggu 6...
******************************************