Thursday, October 29, 2009

Sayangi dirimu...

Untuk menyayangi orang lain, kita perlu sayangi diri kita terlebih dahulu...

Hari itu saya bawa Ma ke klinik setelah dua hari demamnya tidak kebah. Memang dari awal mahu dibawa tapi dia sendiri yang mengelak.. - Tak ada apa-apalah - kejap lagi baik lah - alah sikit je ni - macam-macam alasan darinya. Tapi selepas dua hari keadaan masih sama, malah kelihatan bagai makin teruk saya paksa Ma ke klinik. Setelah saya bebel sikit... Ma akhirnya menurut...

Ketika di klinik, Ketika Ma di dalam bilik doktor untuk pemeriksaan kesihatannya - saya perasan akan kehadiran seorang ibu muda di situ. Saya mengenalinya. Malah amat mengenalinya meski pun telah agak lama kami tidak ketemu...

Lalu saya menghampiri ibu muda tersebut, untuk menegur dan bertanya khabar dan bertukar cerita.
Farah namanya. Dia seusia saya - kami rakan sekelas sejak dari tingkatan 3 hingga tingkatan 5... Saya juga mengenali suaminya. Tapi ketika itu dia keseorangan.. tidak bersama suami .. Oh! tidak berseorangan sebenarnya. Bersama seorang bayi yang sedang lena dipangkunya.

Dia tergaman bila saya menegurnya. Wajah pucatnya kelihatan muram bercampur ceria. Terkejut dengan pertemuan tidak diduga.

Kami berbual seadanya. Dia meluahkan tentang perjalanan sukar hidupnya sebagai suri kepada sang suami dan ibu kepada anak-anak...

Wajah dia terus-terusan muram. Walau pun masih cantik, wajahnya kelihatan lebih tua berbanding usia. Dia meluahkan kebimbangannya kepada saya. Tentang kesihatannya yang makin merosot. Tentang anak-anaknya yang mula kurang ajar. Dan suaminya yang sudah mula lupa daratan. Entahlah. Diam-diam saya menyimpan simpati. Saya dapat rasakan dia benar-benar tertekan.

"Tapi kita mesti bekorban kan?"... lemah nadanya bertanya.

"Ya! awak dah pun bekorban!"... balas saya.

"Tapi masalahnya pengorbanan saya tak dihargai. Anak-anak tak hargai... Suami.. jauh sekali."

"Jadi awak menuntut harga pengorbanan awak tu?".. kilas saya.

"Tidak! saya cuma minta dihargai."

"Itulah harga yang paling mahal sekali. Bersedia untuk tidak dihargai..."

"Kenapa?" ringkas tanyanya.

"Hakikatnya, memang ramai manusia yang tak pandai berterima kasih. Kita akan sakit jiwa bila kita harapkan terima kasih daripada orang yang kita bantu." jawab saya dengan mengulangi kata-kata Dale Carnegie dalam bukunya "stop Worrying and start living."

Dia termenung tunduk. Tudung biru mudanya terbuai-buai di tiup angin dari kipas yang ligat berputar di bahagian syiling. Anak kecil di pangkuannya terus lena.

"Walau pun suami dan anak-anak sendiri?"

Saya angguk perlahan.

"Jadi apa yang perlu saya buat?"...

"Teruskan bekorban. Walau anak-anak dan suami tak hargai, Allah tetap menilai. Itulah ikhlas. Pengorbanan tanpa mengharapkan balasan."

"Saya letih... Entah di mana tamatnya nanti semua perkara ni. Membasuh, jaga anak, kemas rumah, memasak dan macam-macam... Betul kata orang, perkahwinan tu satu perhambaan."

"memang satu perhambaan. Tapi buatlah kerana Allah. InsyaAllah itu akan dikira sebagai perhambaan kepada Allah. Bukan kepada suami dan anak-anak. Agama kita membebaskan perhambaan sesama manusia."

"Tapi saya dah makin hilang upaya. Kesihatan merosot. Rasa ceria dah tak ada lagi. Macam pokok reput yang tunggu masa nak tumbang." dia membuat perumpamaan.

"Bekorban untuk orang lain tak semestinya mengorbankan diri sendiri." kata saya...

"maksud awak??"

"Untuk menyayangi orang lain kita perlu sayangi diri sendiri dulu." Itu yang saya cuba untuk sampaikan sejak tadi.

Dia menarik nafas dalam. lalu dihembus dengan hembusan bertali-tali. Matanya jelas kesayuan.
"maksudnya awak kena jaga kesihatan awak dulu, rohani dan jasmani demi meneruskan tugas sebagai isteri dan ibu."

"Kenapa awak cakap macam tu?"...

"Sebab saya tengok awak macam dah tak sayangkan diri awak sendiri dah sekarang."

"Saya lebih sayang kan suami dan anak-anak saya. Biar pun mereka tak sayangkan saya.."

Huh! sedih saya mendengarkan keluahan luahan hatinya. Terpancar sinar ketulusan dan ketelusan dari kata-katanya itu. Wajahnya cengkung, tubuhnya tidak bertenaga sudah cukup untuk melukiskan rona-rona calar dalam perjalanannya sebagai isteri dan ibu.

Saya mengambil sedikit masa untuk membuat perumpamaan dan misalan untuk memahamkannya betapa kalau kita ingin menyayangi orang lain, kita perlu menyayangi diri sendiri lebih dahulu. Lalu saya menemui contoh:
"Kalau awak biasa naik kapal terbang... Peramugari akan bagi taklimat soal-soal keselamatan sebelum kapal terbang berlepas.. contohnya; kalau kandungan oksigen berkurangan dalam kapal terbang, dan topeng bernafas keluar dari bahagian atas, kita mestilah lekapkan topeng tu ke muka kita dulu dan bernafaslah... sebelum kita bantu suami atau anak-anak di sebelah melekapkan ke muka mereka untuk bernafas..."

Dia ikuti hujah saya dengan tenang. Satu persatu diteliti seakan-akan dikunyahnya. Untuk uji kefahaman dia, saya uji dia dengan menyoal:
"kenapa kita mesti dulu memakai topeng oksigen sebelum kita pakaikan pada orang-orang lain yang nak kita tolong...??"
....
.....
......

Tanpa disangka-sangka dia tersenyum. manis sekali...
"Ya! saya faham maksud dia... Hanya orang yang bernafas boleh bantu orang lain bernafas. Kalau kita sendiri sesak nafas, macamana kita nak bantu orang lain bernafas..."

Ya! akhirnya dia terima juga apa yg saya nak sampaikan meski pun saya tidak tahu menyusun kata-kata yang tepat untuk meyampaikannya... Ya!! itu yang saya nak sampaikan.. dia faham..
"Ya! saya faham sekarang itulah yang dikatakan sayangi diri sendiri sebelum sayangi orang lain."
Saya senyum sambil angguk kepala.

"Ramai sebenarnya ibu-ibu yang terlupa hakikat itu..." tegas saya.

"termasuk saya!!!"
Saya tidak mengiyakan atau menidakkan...
"Ramai ibu yang menjaga kesihatan anaknya sehingga mengabaikan kesihatan sendiri. Dia lupa, kalau kesihatan dia sendiri merosot, dan akhirnya sakit kronik menyerang, pada siapa pula anak-anak nak bergantung..." kata saya agak perlahan sambil memandang ke arah bilik doktor - terbayangkan Ma yang demam dan malas ke klinik sebelum ini...

"itukan pengorbanan!!" tingkah dia

"Pengorbanan pun perlukan kebijaksanaan... bukan semua yang bekorban perlu terkorban."

Dia diam

"Tapi selama ni saya sangkanya macam tu. Saya sangka berkorban perlu terkorban.."

"Tak selalunya macam tu. kalau kita jaga kesihatan kita yang boleh buatkan kita boleh pulak jaga kesihatan anak kita itukan lebih baik.... Kita gigih cari harta, kemudian dengannya kita boleh berikan pada orang lain kan lebih baik... kita tak semestinya sakit untuk beri orang lain sihat. kita tak perlu jadi miskin untuk bantu orang miskin..."

Dia senyum lagi... Senang melihat ibu muda itu begitu. Bagaikan usia mudanya dikembalikan.

"Saya tak perlu risau lagi kalau saya tak dihargai... begitu?".

"Ya! yang penting sekali kita hargai diri kita sendiri. Orang kata jangan bimbang kalau diri tak dihargai... tapi bimbanglah kalu diri kita benar-benar dah tak berharga."

Dia ketawa...

"So! pulihkan semangat. Hidup selagi hidup. Jaga kesihatan.. ceriakan diri... jangan terkejut kalau nanti anak-anak dan suami akan sayangi awak semula. jangan marah! jangan kecewa kalau orang lain tak sayangkan kita, kalau selama ni kita sendiri tak sayangi diri kita sendiri..."

"Terima kasih!!.. awak dari dulu masih lagi sama. semangat awak sentiasa bagi orang lain bersemangat sama..." katanya entah ikhlas entah tidak... hahahah... saya ketawa lepas sebelum terdiam kerana menyedari saya sedang di dalam klinik..

****
Ma keluar dari bilik rawatan. Saya menyambutnya sebaik Ma muncul... Kemudian saya ke kaunter mengabil ubat dan beransur pulang...
Semoga ibu muda itu tadi benar-benar telah punya semangat baru.


Hakikatnya saya juga sering bertanya... sudahkah saya menyayangi diri sendiri untuk menyayangi orang lain?????


**********

Tuesday, October 27, 2009

Jutawan Cinta

Hari tu Abang Am call lagi... mengatakan dia tgh on d way ke rumah saya dan sudah hampir benar. hmm, nasib baik dah nak masuk waktu makan tengahari. jadi ketibaan Abang Am diraikan bersama keluarga ketika makan tengahari bersama hidangan-hindangan simple yang special...

Lepak hingga ke petang. Kami bercerita seadanya. Berkisah yang sepatutnya. Babak dan episod terus bermaharajalela. Dari cerita manager yang tak bermotivasi sampai lah peringkat bos yang tak nak ambil peduli. Dari peringkat executive yang keras hati sampailah ke peringkat bos yang suka perli.... semuanya bercerita-ceriti

Suka nak pesan kat korang. Terutama yang baru-baru tuh. Pergi lah carik ilmu. Dengan ilmu ajer kita boleh menegakkan yang kendur. Mengurat yang dah berumur....(tuh pun kalau sanggup kena gastrik minum susu yg dah expired. Ops! Jangan mare)

Ceritanya masih tentang perkara biasa. Tentang perniagaannya.. tentang kehidupan... tentang keluarga. Oh! ya... dia ni duda anak satu. Isterinya meninggal kerana serangan kanser pada tahun-tahun yang lalu.
Saya suka sangat berborak.. boraknya borak berisi. Sembangnya sembang motivasi.
Dia seorang yang saya kira sebagai jutawan yang tak pernah merasakan dirinya jutawan. macam-macam bisnes dia buat... ada ternak itik telur beribu-ribu ekor... kambing lagi... lembu lagi... ayam lagi... ladang pisang lagi... bisnes macam2lah... Pun begitu dia seorang yang rendah diri. Tidak pernah dia memandang rendah pada saya yang kerja-kerja 'cokia' ni. Dan apa yang buat saya rasa tersentuh juga, dia kerap menghubungi saya untuk meminta nasihat bila di dilanda masalah... hehe...saya pakar motivasi katanya, hahah (pakarlah sangat kan) pernah jugak dia tanya saya kenapa tak nak jadi motivator.. hahahah... tak suka betul soalan sindir gitu. tak kan semua kerja saya nak buat kot.

Sekali lagi dia bercerita tentang wawasan. Pentingnya hidup kita punya wawasan. Dan sepatutnya wawasan 2020 perlu dicapai lebih awal lagi. Kenapa kita mesti tunggu 2020 katanya, sedangkan di hadapan kita semua telah tersedia. Sambil memberikan contoh menara2 megah yg kita miliki.

Boleh lah dia cakap kerana dia telah mencapainya...nak ajer saya cakap macam tuh... tapi dengan dia nie saya jadi kehilangan kata. Dan saya tahu dia lebih suka saya begitu. Memang pun kekadang menjadi pendengar setia lebih baik daripada kita mengomel tak tentu hala.

Dia menceritakan bangunan 5 tingkat yang dibina dengan harga RM 5.5 juta. Katanya kekadang dia menyesal jugak kerana kalau dia tak bina bangunan tuh, duit di akaunnya berjumlah RM5.5 juta. Dia tak perlu berjaga sehingga dinihari, tak perlu pening kepala memikirkan pekerjanya yang beratus orang tu samada bekerja dengan baik atau tidak. Dulu tanah tapak bangunan yang dibinanya itu bekerja untuknya. Walaupun tanah dan bangunan di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu bernilai lebih puluhan juta sekarang ini tapi duitnya tak nampak...

Dia juga bercerita bagaimana dia berhubung dengan anaknya yang berusia 12 tahun seperti orang dewasa seusia dengannya yang berusia 40 tahun. Kalau pergi shopping dia hanya akan memberi kredit kad kepada anaknya dan disuruh pilih apa yang anaknya mahu...tapi kedewasaan membuatkan anaknya tidak membeli bukan-bukan. Hanya 2 helai baju dan satu permainan. Baginya dia berjaya mendewasakan anaknya. Dia tidak pandai untuk merendahkan diri seusia anaknya. Yang boleh anaknya miliki darinya hanya lah pelukan dan kasih sayang...

Dia juga bercerita, perlunya menggunakan kesempatan dan peluang yang ada sebaik mungkin. Bersungguh-sungguh, perancangan yang rapi, serius dalam kerja, tahu apa yang perlu dilakukan dulu, detail supaya tidak melakukan kesilapan dan melihat 10 langkah kehadapan adalah caranya untuk berjaya.

Saya bangga dapat berkawan dengan jutawan itu.Saya tak perlu ambil kesempatan dari kebaikannya pada asaya. Dan saya tahu kalau saya nak jadi seperti dia. saya terpaksa korbankan kerjaya yang ada. Itu risiko yang terpaksa saya tempuh. Samada saya berani atau tidak. Setakat nie saya tak berani. Pengorbanan belum tentu membuatkan kita berjaya. Tidak berkorban juga belum tentu membuatkan kita maju dan bahagia.

...walaupun dia jutawan...akhir ayatnya berkata. Siapa jugalah kita. Yang penting kita bahagia dan dan dapat tidur lena tanpa gangguan serta sentiasa memikirkan yang bukan-bukan sambil mengharapkan sedikit nasib menyebelahi kita....tapi.... percayalah... Tuhan sentiasa memberi apa yang kita mahukan. Berbuat baiklah pada sesama manusia .

Sorilah...tidak sepatah pun dia bercerita tentang cinta yang hanya di awangan. Baginya cinta adalah bekerja dan berusaha sambil bagaimana berhubung dengan manusia lain. Dia marah saya sebab saya sentiasa pegang talipon. Dia tanya saya berapa bayar bil sms setiap bulan. Dia sangka, saya tengah sms (memang ya pun). Tapi saya cakap saya buang semua sms lama yang ada dalam talipon saya... hahahaha Dia gelak kerana katanya dia jugak buat benda yang sama di masa-masa tertentu.

dan ketika mahu pulangnya, dia memasukkan sampul surat berisi di dalam poket baju saya...
errr...
"Apa ni Abang Am?" Tanya saya tidak sedap hati..
"Ambiklah. Duit raya... Sorry dah habis raya baru nak bagi.."
Saya tak kata apa kerana tahu dia Ikhlas...
"Terima kasih Abang Am.."..

Dia pulang... saya buka sampul surat berwarna coklat ....wang tunai RM300.00....
saya geleng-gelang kepala dengan rasa terharu.

Jutawan cinta adalah mereka yang ingin bekerja dan berusaha dengan matlamat untuk mencapai bahagia.
Ingatlah:

"Rebutlah 5 Peluang Sebelum Tiba 5 Rintangan"
1. WAKTU KAYA SEBELUM MISKIN
2. WAKTU SENANG SEBELUM SIBUK
3. WAKTU SIHAT SEBELUM SAKIT
4. WAKTU MUDA SEBELUM TUA DAN
5. WAKTU HIDUP SEBELUM MATI