Saturday, July 11, 2009

Maharaja Dengan Pakaian Baru... (bahagian 2)

Seperti biasa, sepulangnya dari kerja... penat badan saya rehatkan... penat minda saya legakan. Dan bahan bacaan santai berupa buku-buku cerita kanak-kanak lebih merelakskan.
Sebuah buku cerita sayua capai... "MAHARAJA DENGAN PAKAIAN BARU".... sekali saya nyatakan, buku-buku cerita kanak-kanak yang kita jadikan bahan hiburan atau untuk menidurkan anak-anak juga punya nilai pengajaran yang tinggi..

Apabila sekali-sekala kita terasa terlalu ingin dipuji dan apabila yang kita mahu dengar hanyalah kata-kata yang sedap-sedap sahaja, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai kedudukan yang tinggi dalam organisasi atau masyarakat, ditambah pula oleh orang disekeliling kita terdiri daripada kaki ampu dan ‘bodek’, maka renungilah sejenak kisah raja tanpa bajunya ini. Cerita pendek turun-temurun ini telah kita dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Memang sudah lama, namun iktibarnya dapat kita manfaatkan sepanjang usia. Bukan sahaja untuk menilai dan memperbaiki diri kita, malah untuk menilai orang lain, suasana dan perkembangan semasa.

Kisahnya bermula dengan seorang raja yang suka berpakaian cantik. Baginda terlalu gilakan baju dan fesyen baru. Semua tukang jahit dalam negara pemerintahannya sudah dikerahkan untuk menjahit baju barunya. Sehelai demi sehelai. Apabila siap sahaja, raja terus memakainya dan muncul di khalayak ramai. Kembang-kuncup hatinya dan hidungnya apabila mendengar pujian rakyat tentang kecantikan pakaiannya. Itulah saat yang paling bahagia dirasakan dalam hidupnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, itulah karenah raja tersebut. Dan setiap kali raja muncul dengan pakaian barunya, rakyat akan mengangguk-anggukkan kepala serta memuji-muji baju raja. Namun walaupun telah silih berganti fesyen, silih berganti baju, raja masih belum puas hati lagi. Raja masih merasakan bahawa ada lagi fesyen baru yang belum dicubanya. Maka menteri-menterinya disekelilingnya pening kepala, apalagi yang boleh diusahakan untuk memenuhi kehendak raja. Kehendak raja mesti dijaga, egonya mesti dikipas terus-menerus. Dan untuk itu para menteri ‘kaki bodek @ kaki ampu’ sanggup berbuat apa sahaja. Suka hati raja, maka selamatlah kedudukan mereka. Atas desakan raja, maka para pun akhirnya sepakat untuk mewartakan satu iklan besar-besaran – satu hadiah yang cukup lumayan kepada siapa yang dapat menjahit satu pakaian fesyen terbaru untuk raja. Tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk negara pun berduyun-duyun ke istana membawa kertas cadangan, lengkap dengan lakaran dan sebut-harga masing-masing. Namun raja tidak perkenan kerana semua tukang jahit itu sudah dikenalinya. Kalau muka lama, tentu citarasanya juga sama dan daya kreativitinya masih di takuk lama. Akhirnya, semua tukang jahit itu pulang dengan kecewa. Tidak seorang pun diantara mereka yang diterima cadangannya. Raja terus gelisah. Siapakah tukang jahit yang boleh memenuhi citarasanya? Berita tentang raja mencari tukang jahit yang istimewa tersebar ke serata pelusuk negara. Berita sensasi itu turut sampai ke telinga dua orang lelaki yang sangat bijak menipu. Apalagi, otak licik merekap un berputar untuk mencari helah. Mereka berdua pun sepakat untuk menipu raja. Dengan menyamar sebagai tukang jahit yang terkenal mereka pergi ke istana untuk menawarkan diri sebagai tukang jahit yang mampu menghasilkan pakaian yang sangat istimewa. Raja dan para menteri yang sudah lama ‘pening kepala’ itu pun ditipu bulat-bulat dengan cerita-cerita gah daripada kedua tukang jahit palsu itu. Kononnya pakaian yang akan mereka persembahkan buat raja nanti sungguh istimewa tetapi sangat mahal harganya. Apalagi, demi mendengar cerita tentang pakaian istimewa itu, rajapun melonjak-lonjak kegembiraan dan memerintahkan agar baju yang dimaksudkan itu dibuat segera. Belanja untuk membeli benang, jarum dan pelbagai peralatan membuat pakaian pun dikeluarkan dari khazanah negara. Belanja yang dikeluarkan sangat besar. Dan raja terpaksa memberi satu bilik khas seperti mana yang diminta oleh kedua tukang jahit untuk menjahit pakaian istimewa itu. Tidak lama selepas itu, kedua orang tukang jahit memaklumkan kepada raja bahawa pakaian istimewa baginda telahpun siap. Lalu pada hari yang ditetapkan itu para menteri mengiringi raja ke bilik khas tukang jahit itu untuk memakai pakaiannya dan dari situ raja dijadualkan berangkat ke halaman istana untuk berjalan di hadapan rakyat jelata yang telah sedia menunggu untuk melihat pakaian raja yang baru. Tanpa bertanggung-tangguh tukang jahit memakaikan pakaian istimewa raja setelah baginda membuka semua pakaian yang sedia ada. Sambil memakaikannya kedua mereka memuji betapa segak dan cantiknya raja dengan pakaian barunya. Raja sungguh gembira walaupun sebenarnya baginda sendiri tidak nampak akan baju serta seluarnya. Tetapi oleh kerana pujian kedua tukang jahit, raja yakin sungguh bahawa pakaiannya memang cantik, walaupun sebenarnya baginda sedang berbogel. Apabila keluar, menteri terkejut melihat raja yang berbogel, tetapi oleh kerana raja begitu beria-ria memuji ‘bajunya’ maka para menteri pun turut memuji. Jika pujian raja sejengkal, para menterinya pula menambah hingga jadi sehasta. Wah, raja bertambah suka! Keluar menuju halaman istana, rakyat terpaku, apa tidaknya raja mereka sedang berjalan tanpa seurat benang pun. Tetapi apabila melihat para menteri memuji pakaian raja, maka seluruh rakyat pun segera memuji. Malah lebih daripada pujian oleh para menteri. Pujian sehasta jadi sedepa. Masing-masing memuji dengan bersorak ria. Apalagi, raja pun terus berjalan dengan lagak sombong dan bangganya. Kali ini raja benar-benar puas hati. Tidak disangkanya baju dan seluarnya begitu istimewa. Tiba-tiba, seorang budak kecil berteriak, “raja tak berpakaian! Raja berbogel.” Semua orang terkejut dengan keberanian dan kelantangan budak tersebut. Mereka terus tersentak. Minda yang tertutup tadi telah terbuka. Kejujuran budak itu telah mencairkan sifat memuji secara membabi buta mereka.Ya, raja memang berbogel. Raja tidak berpakaian. Apalagi mereka pun ketawa beramai sambil mengejek raja. Menteri-menteri pun terkejut. Benar, raja memang berbogel. Pakaian istimewa yang tidak kelihatan itu memang tidak ada lansung. Melihat keadaan itu raja pun tersedar. Barulah raja mengakui hakikatnya baginda memang tidak berpakaian dan sedang berdiri di hadapan seluruh rakyatnya. Malunya tidak terkira. Lalu dengan pantas, baginda berlari lintang-pukang menuju ke dalam istana di tengah-tengah ejekan rakyatnya. Itulah nasib pemimpin yang kaki ampu. Justeru mengharapkan pujian dan sanjungan, telah ramai para pemimpin yang kecundang. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu ‘super’ sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri. Ada yang cuba menunjukan kekuatan dengan harta, sehingga lupa hutang sudah keliling pinggang. Mereka berbelanja besar, kerana disitulah dirasakannya mertabat dan derjat kepimpinannya. Rumah dan kereta besar seolah-olah menjadi penunjuk kepada kewibawaannya. Mereka terlupa, berlagak kaya akan menyebabkan seseorang menjadi papa. Ya, jika ‘kebesaran’ seseorang ditentukan oleh kereta dan rumahnya yang besar, maka siapakah mereka apabila kereta besar dan rumah yang besar itu hilang? Bukankah itu menunjukkan yang mereka hanyalah ‘si kerdil’ yang berdiri di bawah bayang-bayang hartanya? Pemimpin yang begini adalah salinan peribadi raja yang merasakan hebat dengan bajunya bukan oleh sikap prihatinnya terhadap nasib rakyat di bawah pimpinannya. Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi oleh pengikut yang kaki ampu. Dan bila ini terjadi, yang menderita adalah pengikut. Pengikut akan terus diperkudakan oleh orang atasan demi membodek pemimpin no.1. Penderitaan pengikut, kelemahan dasar dan pelaksanaan kepimpinan serta lain-lain hal yang negatif tidak akan sampai ke atas, justeru telah ditapis terlebih dahulu oleh pemimpin lapisan kedua. Siapa berani melawan arus? Jika pemimpin utama hanya mahupun yang manis-manis. Maka ‘dibancuhlah’ berita yang manis-manis walaupun dari bahan dan perisa yang palsu. Pesan nabi, “katakanlah yang benar walaupun pahit,” tidak diamalkan lagi. Dan ramailah ‘syaitan bisu’ yang diam bungkam terhadap keburukan di depan mata. Lama kelamaan, pemimpin utama semakin tersasar. Tetapi tidak ada siapa yang berani menegur, kerana semuanya menutup akal dan hati dan akhirnya yang tersasar tetap dianggap benar. Kehadiran dua tukang jahit yang pembohong di sisi raja yang gila puji adalah satu fenomena biasa dalam dunia kepimpinan masa kini. Tidak kira apa corak organisasi dan misinya, tetapi jika penyakit gila puji pada pemimpin atasan terus disuburkan oleh orang kanan yang tidak bertanggung-jawab, maka kemusnahan akan berlaku, cepat atau lambat. Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang-orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dikalangan para Rasul dan khulafaur Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Rasulullah pernah ditanya tentang satu keputusannya dalam satu peperangan.
“Apakah ini dari wahyu ya Rasululllah?” tanya para sahabat. Jika bukan, maka para sahabat berani memberi cadangan balas. “Aku akan betulkan kau dengan mata pedang,” jerit seorang rakyat Umar apabila Sayidina Umar minta ditegur jika bersalah dalam urusan pemerintahannya.
Dan Umar sendiri pernah berkata, “perempuan itulah yang benar, Umarlah yang salah,” apabila pandangannya tentang mas kahwin ditolak oleh seorang wanita tua.


Semakin tinggi pokok yang kita naik maka semakin kuatlah angin yang menggoyang, dan semakin tinggi tempat kita berada akan makin parahlah kita seandainya kita jatuh. Maka begitulah keadaannya dengan para pemimpin. Semakin tinggi kedudukannya dalam masyarakat maka semakin banyak ujian yang mesti dihadapinya. Ujian dalam bentuk kesusahan, cercaan dan kekurangan biasanya mudah dihadapi. Selalu ujian jenis ini menjadikan jiwa para pemimpin lebih kuat, lebih ikhlas dan lebih sabar. Layang-layang akan terbang tinggi jika melawan angin, maka begitulah taraf dan mertabat kepimpinan, semakin diuji maka semakin tinggi kualiti kepimpinannya. Namun keadaan sebaliknya boleh berlaku apabila para pemimpin diuji dengan kesenangan, pujian dan kenikmatan. Keadaan ini boleh menyebabkan sesorang pemimpin leka. Mereka mula merasakan diri mereka besar dan ‘super’. Dan pada ketika itulah datangnya kaki bodek yang mengipas hingga para pemimpin lena dengan pujian dan sanjungan. Apa sahaja yang dibuatnya dirasakan serba kena dan dia merasakan sebarang kritik adalah untuk menggugat kepimpinannya. Maka ketika itulah orang-orang yang jujur mula meninggalkannya. Yang tinggal hanyalah ‘sokong yang membawa rebah’.

Setiap orang mempunyai ‘blind spot’nya tersendiri, termasuk para pemimpin. Ia adalah kelemahan diri kita yang terletak pada sisi lain yang tidak kelihatan pada pandangan pandangan kita sendiri. Maka setiap orang memerlukan orang lain untuk menegur dan menyatakan kelemahan dirinya. Justeru Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa orang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Ertinya, kita mesti membuka pintu hati dan minda untuk melihat diri kita melalui persepsi orang lain – dan dalam konteks ini, jika seorang mukmin pasti dia akan menegur dan membetulkan saudaranya dengan jujur dan kasih-sayang. Malah menurut Imam Ghazali, seseorang boleh melihat aib dirinya bukan sahaja melalui kacamata dan penilaian guru atau sahabatnya, tetapi juga dari pandangan musuh-musuhnya. Musuh akan mengatakan sesuatu ‘yang tidak baik’ terhadap diri kita, dan mungkin sesuatu yang tidak baik itu benar-benar ada pada diri kita yang selama ini tidak tergamak disebut oleh orang-orang yang rapat dengan kita. Maka ketika itu ‘kejian’ oleh musuh adalah ‘rahmat’ yang dengannya kita boleh memperbaiki kesilapan kita.

Hakikatnya masih ada para pemimpin yang belum mendapat iktibar daripada cerita tanpa bajunya ini. Mereka masih tidak dapat membezakan antara sikap optimis dengan realistik. Terlalu optimis akan mendedahkan kita kepada sikap suka puji yang kononnya akan mendorong peningkatan kualiti dan visi kepimpinan kita. Sedangkan sewajarnya mereka bersifat realistik dengan merasakan bahawa dalam apa jua kelemahan diri sentiasa ada. Kadangkala kelemahan itu kecil sahaja, namun akibat memandang mudah, yang kecil itu akhirnya membesar dan menghalang kelancaran kepimpinan kita. Ya, berapa ramai yang terjatuh kerana tersepak batu-batu kecil... dibandingkan dengan terlanggar batu besar?

Yang pastinya dunia kepimpinan menagih kejujuran persis kanak-kanak yang masih bersih dari sebarang kepentingan (dalam cerita ini) untuk dimurnikan semula. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa segan silu. Bukan benci, tapi sayang. Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan, sayang pemimpin tegur-tegurkan! Tapi risikonya besar… bayangkan jika jarum injeksi seorang doctor dilihat sebagai pisau seorang pembunuh… Tentu sahaja kejujuran menagih korban. Hang Nadim telah terkorban kerana kejujurannya di hadapan raja Singapura. Entah apa nasib ‘budak’ yang menyebabkan raja diketawakan dalam cerita ini… Dan apakah nasib mereka yang sanggup berkata benar di hadapan para pemimpin disepanjang zaman? Sabda Nabi Muhammad antara lain bermaksud, bahawa antara jihad yang besar ialah menyatakan kebenaran di hadapan raja yang zalim… Sanggupkah kita?

Friday, July 10, 2009

Maharaja Dengan Pakaian Baru...

Tiba-tiba isu PPSMI yang semakin kecoh menjadi sangat membosankan saya.

Tiba-tiba juga ada seorang kawan bertanyakan saya mengenai hal ini...

jadi saya memberi pandangan berdasarkan fikiran saya yang singkat begini:
-Selama ini, kita (saya) menganggap belajar bahasa inggeris atau matematik umpama mengayuh basikal yang beroda bulat menaiki bukit... masih tetap bergerak walaupun agak perlahan dan agak penat mengayuh... jadi, untuk melancarkan basikal tersebut mendaki, tak payah lah nak keluarkan idea BIJAK yang KREATIF dan INOVATIF mencipta roda basikal yang berbentuk empat segi atau tiga segi pulak... bahananya, jangan kata nak naik bukit - nak turun bukit pun tak akan berganjak...

Dan mereka-mereka yang patuh atau terpaksa patuh dengan perlaksanaan ni mengingatkan saya pada buku cerita kanak-kanak yang baru saya baca sepulangnya dari kerja petang tadi.. "MAHARAJA DENGAN PAKAIAN BARU".. saya percaya semua antara kita telah tahu tentang cerita tersebut. Semua pembesar kaki ampu beria-ria mengatakan baju maharaja cantik malah sangat cantik walhal Maharaja langsung tidak berbaju akibat penipuan si tukang tenun. sehinggalah ditegur oleh seorang kanak-kanak yang maharaja sedang TELANJANG... Samalah seperti sekarang semuanya memuji maharaja yang sedang TELANJANG. Anak bangsa rosak tidak mengapa asalkan perut mereka buncit... Apa-apalah.
(saya ingin mengulas mengenai cerita "MAHARAJA DENGAN PAKAIAN BARU" ni.. tapi nanti saya sampaikan pada cerita di entri akan datang)...

Pendapat bahawa PPMSI adalah untuk membolehkan pelajar2 kita bersaing dan mudah untuk mendapat kerja di peringkat global adalah hujah yg rapuh... Di Amerika sana, semua rakyatnya Fasih berbahsa Inggeris... Tapi beribu-ribu juga siswazah lulusan universiti mereka yang menganggur... (errrr, macam boleh pakai jugak hujah ni kan??)...

Tapi difahamkan PPSMI akan dimansuhkan pada tahun 2012... kenapa tidak sekarang????...

Apa-apalah.....


Teringat pulak pada angkasawan negara kita. Negara Rusia yang menumpangkan beliau tak ada pulak laksanakan PPSMI sehingga angkasawan kita tersebut dan angkasawan AMERIKA juga perlu belajar bahasa Rusia secara insentif sebelum diangkasakan....

*******


Saturday, July 4, 2009

Sudah mengalahkah kita...


Isu keganasan Israel di Gaza semakin pudar sedikit demi sedikit. Isu kemelut politik di Perak lebih besar kesannya secara tiba-tiba... isu kemunculan 3 ekor katak baru-baru ini lebih menghangatkan suasana... - walaupun sekarang dah kembali dingin...

Kebencian terhadap Yahudi yang bermusim tidak akan dapat menggerakkan perjuangan menentangnya secara konsisten. Mari kita imbau kisah-kisah boikot Yahudi di bawah ini. Cari yang tersirat di sebalik kisah yang mudah-mudah ini:

BARU NAK BOIKOT

Saya benar-benar tersentuh mendengar perbualan anak jiran baru-baru ini.

“Jom kita makan ….. KFC” kata si adik yang berumur lima tahun.

“Tak bolehlah, emak kata itu Yahudi punya,” jawab si kakak.

Si adik diam.


Saya yang berada di sebelah mereka berkata kepada si adik, “nak makan KFC?” Sengaja menguji.

“Tak mahulah, itu kan Yahudi,” jawab si adik. Sah!! “tarbiah” si kakak berkesan.

Itulah antara perbualan kecil yang disuarakan oleh “orang kecil”. Namun jika difikirkan dalam-dalam, ia memberi impak yang besar dalam agenda perjuangan kita. Saya percaya ada banyak lagi perbualan yang seumpamanya dalam masyarakat Islam akhir-akhir ini (walaupun dah semakin pudar)... Suara kebencian. Suara kemarahan terhadap Yahudi laknatullah.

Thursday, July 2, 2009

Sebanyak manalah belanja makan dua orang anak?

Petang Jumaat yang lalu... Sehabis je waktu kerja saya bergegas pulang dan terus memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur... Memang gigih.. atas alasan...!!! "
"TRANSFORMERS"....
huhu... ntah apa-apa ntah - semangat sungguh...
Ke rumah adik saya di kepong, kemudian ke rumah abang pula di Sg. Penchala.
Pagi Sabtu... terus ke One Utama. Tapi! sangat mendukacitakan. Kedua-dua panggung tgv&gsc.. dan tiga panggung sebenarnya termasuk cineleisure kat the curve.... tiket semua habis... Huh!! gilerr punya gilerr... seawal pagi hari tiket semua sampai ke malam... habis.. masa bila diorang ni jual. hadoyai.... jauh aku datang ni... gigih...
Tapi tak pe, usaha tangga kejayaan... gagal sekali tak beerti gagal untuk selamanya... sabar ya. jagan bengang-bengang walaupun ada rasa macam nak bengang. Takpe, cuba lagi... esok datang lagi ya....
huh... sengal!!!!.


****************************

Pagi Ahad... setelah sekian lama saya tidak meronda Kuala Lumpur, pagi ini saya tiba-tiba terniat untuk menjejakinya. saya membuat keputusan menaiki komuter ke sana. Saya keluar betul-betul selepas waktu subuh dari rumah adik di Kepong. Lalu bergerak ke stesen Komuter Kepong. Udara sejuk, dingin, nyaman. Jalan ke arah stesen komuter lengang. Mungkin hari masih terlalu awal, dan boleh jadi juga kerana hari itu hari Ahad... (seingat saya sewaktu bertugas di Kuala Lumpur dulu... waktu-waktu begini saya lebih suka melayan bantal dan selimut... - kalau dapat bangun sembahyang Subuh pun dah kira cukup baik dah... Ini pulak bangun nak merayap)

Badan terasa segar dan mata menyenangi kedamaian persekitaran - burung belum lagi berterbangan mencari makan, tapi sesekali terdengar juga ayam berkokok - malaikat sedang meninjau makhluk-makhluk Allah yang sedang khusyuk beribadat: mendirikan solat, menyediakan sarapan keluarga.

Begitu harmoni suasana pagi itu. Komuter tiba tepat pada masanya. Penumpang tidak berasak-asak seperti kebiasaan. Tempat duduk banyak yang kosong. Mudah untuk mendapatkan tempat duduk. Saya cuba bayangkan suasana biasa dalam koc... Berdiri, bersesak-sesak, berpaut pada palang besi dan cuba sedaya upaya mengimbangi diri apabila penumpang bertolak-tolakan. Rimas dengan bau-bau peluh... tetapi tidak pada pagi itu.

Damainya pagi itu sehingga berjangkit kedamaian tersebut ke dalam koc. Penumpang lebih suka melayan rasa kantuk di tempat duduk masing-masing. Tidak kelihatan sebarang garisan senyuman pada wajah penumpang pada pagi itu. Kelihatan seorang dua sedang membaca; jika dilihat pada saiz dan ketebalan mungkin sedang membaca novel. Masih ada penumpang remaja yang mengamalkan budaya membaca - itu sudah bagus (tapi saya memang tidak boleh membaca dalam kenderaan bergerak - pening - mabuk... hehe)

Saya memerhatikan pemandangan di luar. Alam ciptaan Allah tidak pernah hilang kuasa magisnya ke atas saya.

Tiba di satu stesen... naik sekumpulan anak-anak sekolah (bersekolahkah pada hari Ahad?? kelas tambahan barangkali)... tapi!!!!, dari pakaian seragamnya, saya kira kumpulan anak-anak ini bukan kanak-kanak kita yang menghadiri sekolah tempatan. Dan untuk memastikannya, saya memasang telinga kepada perbualan rancak bertenaga mereka yang duduk bersebelahan dan bertententangan dengan saya.

Apabila mereka mengeluarkan buku teks dari beg buku, ternyata mereka adalah anak-anak dari tanah seberang. Minit-minit yang berlalu itu mereka isikan dengan bersoaljawab tentang geografi tanah air mereka; dan juga sedikit sejarah negara mereka - Indonesia.

Keadaan yang tadinya senyap dan membosankan menjadi bertenaga dengan kehadiran anak-anak itu. Mereka menggunakan waktu yang ada untuk sesuatu yang bermanfaat. Belajar tidak hanya terbatas dalam bilik darjah... Dalam komuter pun boleh belajar.

Daripada cara mereka berbincang, ketara benar akan kesetiaan dan kekaguman mereka terhadap negara mereka. Dan mereka tidak segan-segan belajar meski ada juga mata-mata yang menjeling sinis. Ah! sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka. Pasti ibu-bapa bertuah mendapat anak-anak yang begitu bersemangat...

Ini merupakan pertemuan pertama dengan kumpulan kanak-kanak yang benasib baik menghadiri sekolah di negara orang.

Saya teringat sebelum ini juga saya pernah dipertemukan dengan kanak-kanak 'luar' ketika saya sedang menikmati ABC di satu medan makan.

Satu masa, baru saja saya mahu hirup keenakan ABC, seorang gadis yang berusia kira-kira 9 atau 10 tahun muncul di sisi saya. Dia mengelek seorang anak kecil mungkin 8 atau 9 bulan usianya.

Gadis itu bertudung dan menjual ayat-ayat Quran dan buku agama. Lalu, kerana simpati saya membeli beberapa buah buku darinya (jangan pedulikan kanak-kanak itu mungkin dihantar oleh sendiket-sendiket tertentu yang mengambil kesempatan atas mereka seperti yang diheboh-hebohkan... bersangka baik... Ikhlaskan niat. Setidak-tidaknya satu urusan kita dah selesaikan) lagi pula tidak lah merugikan kerana saya membeli buku yang dijual...

Oleh kerana telah hampir waktu makan tengahari, saya bertanya padanya sudah makan atau belum (lebih kepada berbahasa isyarat, kerana kanak-kanak tersebut walaupun boleh berbahasa melayu... tetapi tidak sefasih mana).

Gelengan kepalanya sudah cukup untuk memberi jawapan. Lantas saya mempelawanya untuk makan bersama.

"saya ada seorang lagi" anak gadis itu memberitahu.

Dan, Syaitan pun mula mengganggu bila dalam fikiran saya tiba-tiba teringatkan filem melayu (filem P.Ramlee) yang heronya terpaksa membelanja satu family makan akibat mempelawa seorang gadis makan bersamanya.

Saya angkat jari telunjuk kepada gadis itu... Tapi dia segera menjawab "satu pinggan boleh makan dua orang..." ... Saya tersentap dengan jawapan itu.

Kemudian dia memanggil seorang budak lelaki, mungkin 8 tahun umurnya, yang sedang memujuk pelanggan di situ membeli bahan-bahan jualannya.

Masih saya ingat nama-nama kanak-kanak itu. Nor Hazrah nama si kakak dan mohd salim nama si adik. Dan bayi yang dibawa bernama Nor Azira, mereka datang dari Myanmar. Ibu mereka sakit dan ayah mereka telah tiada. Maksud 'tiada' itu tidak saya selongkari di sebaliknya.

Melihat mereka berkongsi makan nasi ayam dengan selera timbul rasa sebak di hati... Mereka kelaparan - Banyak manalah sangat belanja makan untuk dua orang kanak-kanak?... lalu saya memanggil pelayan dan memesan nasi goreng ayam pula untuk mereka.

Anak-anak ini begitu sopan. Sebelum makan saya dipelawanya dulu. Melihat mereka makan dengan semangat membuatkan saya rasa insaf... Meski kehidupan saya tidaklah semewah mana, tapi segala-galanya mencukupi. Ketika saya kekenyangan menikmati keenakan makanan, berapa ramai lagi mereka yang kelaparan di luar sana. Walau siapa pun saya... Saya masih sangat bertuah (Syukur ya Allah. atas rezeki kurniaanMu)...

Saya tidak makan waktu itu. Tapi entah kenapa hati saya senang bila mana hanya menyaksikan mereka menikmati makanan... Mereka anak-anak yang ramah. Dan kami berbual tentang banyak perkara.

Saya tidak sempat bertanya, samaada mereka bersekolah atau tdak. Jika mereka tidak bersekolah, dada mereka kekontangan ilmu. Lalu bagaimanakah corak masa depan mereka nanti. Siapakah yang bertanggjawab menyekolahkan mereka?

Anak-anak seperti mereka perlu diberi didikan mental dan rohani. Sekiranya mereka pulang ke Myanmar dengan dada yang kosong dan minda yang gersang. Tidakkah itu akan menyukarkan hidup mereka kelak? Apa yang mereka akan lakukan untuk mendapatkan sesuap makanan.


Dari sisi pandangan selapis, kumpulan anak-anak yang saya temui dalam komuter pagi Ahad yang lalu mempunyai nasib dan masa depan yang lebih cerah daripada Nur Hazrah dan 2 orang adiknya. Inilah anak-anak yang satu masa nanti bakal terajui kepimpinan negara.

Tegak atau condong sesebuah negara tertakluk kepada pendidikan dan bimbingan yang kita hulurkan kepada anak-anak sekarang. Lalu bagaimana dengan nasib Nur Hazrah dan adiknya - dapatkan mereka memberi sumbangan beerti kepada pembangunan negara mereka sekiranya mereka kembali ke tanah air mereka?

Atau jika mereka kekal tinggal di sini (mungkin mendapat taraf kewarganegaraan tempatan) Maka dapatkan mereka meyumbang kepada kemakmuran dan kehormonian negara kita??


************************


Hari ahad! (hari yang sama)... kawan saya yang mencarikan tiket "tranformers" menyampaikan berita 'gembira' apabila berjaya mendapatkan tiket pukul 5 petang... (mana kala kesemua tiket waktu-waktu yang lain - telah kehabisan).

5 petang cerita bermula.
Tapi!!! hari itu tengkok saya sakit...
tiket pukul 5 petang pun hanya tinggal untuk kerusi front row sahaja... depannnn sekali. Arghhhhhh... pening kepala dok kena dongak nak tengok robot... hadoiii... tapi tak pelah... ok lah jugak dari datang sia-sia tak dapat tengok langsung... dok depan sekali dapat tengok sebesar-besar Megan Fox... huh,
tak pe... akan saya cuba lagi di masa-masa akan datang pulak... usaha tangga kejayaan...
"Megatron, Optimus Prime... tunggu kehadiran ku di lain waktu pulak... ko tunggulah..."