Monday, August 3, 2009

When God Is your friend


Selepas Subuh, saya membelek-belek kembali buku catatan saya yang saya sering gunakan pada 3 @ 4 tahun yang lalu. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Luahan peribadi... hanya untuk tatapan sendiri.

Satu ketika saya lalui saat yang sangat sulit. Saat sukar melibatkan sebuah perpisahan kekal (antara saya dan insan tersayang). Dan di antara sela-sela waktu tangisan hati saya saban malam - teman saya yang paling akrab adalah buku.

Dengan membaca saya akan tenggelam sendiri dalam dunia saya - dunia buku yang saya baca ketika itu - dan seketika saya akan terlupakan segala resah sedih yang melanda. Yang masih saya ingat di antara buku yang banyak saya uliti sewaktu itu ialah Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Pengajaran Hikmah Al Hikam dan huraian oleh Prof. Muhibbudin Al Wali, Hentikan risau dan Mulakan kehidupan oleh Dale Carnargie, dan banyak lagi. Dan sangat bermakna bila saya dihadiahkan oleh seorang teman bernama Aina buku "Jangan Bersedih (Laa Tahzan)" - sebuah buku hebat yang ditulis Aidh bin Abdullah Al-Qarni.. Buku ini saya baca berulang-ulang-ulang-ulang kali... (terima kasih untuk penulisnya - terima kasih juga untuk Aina, yang menghadiahkan buku tersebut kepada saya).

Kemudian (yang saya ingat) saya membaca juga sebuah lagi buku “Hanya untuk hari ini yang ditulis oleh Dale carnargie”.

Kemudian pada antara malam-malam dukacita itu sesudah saya tamatkan pembacaan dan saya cuba cari kesimpulan untuk diri dari tulisan yang saya baca itu lalu membuat sebuah catatan pada buku catatan (masa tu saya tidak kenal lagi dengan dunia blog)... Catatan itu!! setelah sekian lama, saya menemuinya kembali... Ah, sekadar catatan ringkas. Semuga ada manfaatnya – bukan sekadar mengimbau nostalgia tetapi untuk mendapat “rasa-rasa” yang melatari peristiwa yang sangat mendidik saya itu:

****

Saya akui, rasa takut, resah dan “lemah jiwa” yang sering menghantui hidup saya sebelumnya dapat sedikit sebanyak dikikis untuk saya lalui pengalaman perit dan pahit itu. Ya, pahit… tapi bukankah yang pahit itulah ubat. Syukur ya Allah, dalam derita itu saya banyak belajar… Derita-derita insan, pengajaran hebat dari perpisahan, peringatan terbaik adalah kematian. Bagaimana perlu pasrah menerima ketentuan, Mengajar erti sabar dan bagaimana untuk bersabar, mendidik menjadi tabah dan teguh, lebih kuat, lebih cekal pada masa sekarang. Hakikat walau setinggi mana sayang kita pada insan, Kasih Allah juga mengatasi segala-galanya... lantas menerima kakikat, dunia ini pinjaman. kita adalah pinjaman. insan-insan disekeliling kita adalah pinjaman. Sampai masa janjinya, Pemiliknya akan mengambil kembali...

Maha suci Allah, yang misteri ketentuan dan ketetapan-Nya tidak dapat di duga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…”
Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Dapatkah Anwar Ibrahim misalnya, menjangka beliau akan digelar OT (orang tahanan) di kem tahanan kemunting padahal dia seorang pemimpin pelajar? Kemudian dia menjadi TPM, kemudian ditahan lagi sebagai OB (orang banduan) di penjara Sungai Buluh. Setelah itu bebas, menjadi MP dan kini dia ada kemungkinan akan ditahan semula?

Sudah tentu juga mendiang Boon Siew tidak dapat menjangka akan menjadi seorang “bilionare” semasa masih menjual belon angin di awal karier perniagaannya. Dan paling agung, Nabi Musa AS – dibesarkan dalam istana Firaun, berkelana di padang pasir, menjadi gembala kambing dan dilantik menjadi rasul… Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Diri yang disanjung dan dipuja, dicaci nesta secara tiba-tiba!

Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan rasa. Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Pada hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya. Benar firman Allah, setiap kesusahan akan diiringi kesenangan, setiap kesenangan akan diiringi kesusahan.

Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Salah satunya: Jangan terlalu melayan perasaan… Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh rasa-rasa rumit tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.

Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang-bayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, rasa-rasa rumit membangkit angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti.

*****

Saya ingin menceritakan pengalaman hidup sendiri untuk menjelaskan bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi ‘over confident’. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.

Saya pasti anda juga mempunyai kisah tersendiri yang relevan dengan perbincangan kita ini. Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah seumpama itu? Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan khayalan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam…. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.

Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat.

Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.

Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok. Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:

“Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.” Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh sabda Rasulullah S.A.W:“Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang….”

Matlamat dan pendekatan hidup mereka ‘simple’ dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempoh hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat… semunya TEPAT pada masanya.

Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Dan jangan cuba hidup dalam “masa lalu”. Sebaik sahaja mengambil pengajaran daripadanya, terus lupakan! Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir. Dan begitu jugalah dengan masa lalu, ia telah berlalu… lalu biarkanlah ia terus berlalu!

Hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy….”

Mungkin antara kita akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik. Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.

Lihatlah mentaliti orang tua-tua Melayu zaman dahulu. Pada mereka sudah ada pemikiran bertaraf wawasan. Mereka sering memikirkan nasib anak cucu di kemudiaan hari. Mereka menanan pokok durian yang dijangka berbuah bertahun-tahun kemudian yang mungkin mereka pun tidak sempat merasanya. Mereka telah memafaatkan benih pokok durian lalu ditanam pada ‘hari esok’ mereka. Mereka berfikir, bukan khuatir.

Kita tidak akan dapat menikmati buah durian datuk dan nenek kita jika mereka hanya berangan-angan bahawa pada masa hadapan generasi Melayu akan terus makan durian. Atau khuatir kemungkinan tanah kebun akan tergadai menjadi kilang perindustrian.

Hmmm, mungkin ada yang meluat bila membaca tulisan berfalsafah ini. Tetapi bukanlah niat saya begitu. Saya hanya ingin meyakinkan diri saya bahawa untuk selamat melalui ketika paling mencabar dalam kehidupan ialah dangan memendekkan angan-angan. Ini bukanlah falsafah yang hendak dibincangkan semata-mata. Tetapi ilmu mesti dan boleh mengamalkannya. Mungkin ada orang yang perlukan ilmu untuk mula mengamalkannya. Mungkin juga telah dapat mengamalkannya secara semulajadi (nature) tanpa belajar akan falsafahnya. Hidup ini bukan untuk ahli falsafah sahaja. Sinisnya, ada juga ahli falsafah yang hidupnya lebih celaru berbanding juga insan yang tidak punya apa-apa ijazah….

Kata seorang pakar psikologi – Robert Louis Steven son:“Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.

Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada di sisi.

When God is your friend, who is your enemy?


16 comments:

Tirana said...

Nampaknya ada persamaan...kak tirana pun suka menenggelamkan diri dalam dunia pembacaan bila hati dilanda keresahan. Selepas membaca, kak tirana akan cuba menelek diri sendiri..mencari kekuatan.. Kalau nak ceritakan pengalaman..aduuhhh..banyak sebab dah lama juga hidup..hehehe..tapi pengalaman itu yang mengajar kak tirana jadi kuat..mendidik kak tirana jadi sabar..Apa yang kak tirana pelajari ialah kita tak perlu risau pada perkara yang telah berlalu kerana ia sudah pun kita tinggalkan di belakang dan kita juga tak perlu bimbang pada perkara yang akan datang kerana tiada siapa yang dapat meneka apa yang bakal terjadi pada hari esok. Yang perlu kita fokuskan ialah kehidupan kita di saat ini.

John Iverson said...

Berkawan dengan Allah adalah suatu perkara yang sangat mulia dan disanjung tinggi... Kembali kepadaNya dalam segala urusan akan membuatkan kehidupan kita lebih bermakna.. lebih rasional dan lebih bermomentum... Semangat yang kental akan menyusul tanpa rasa ingin mengalah... Saya sanjung penulisan bro yang ini... terima kasih kerana mengingatkan...

Keep moving forward...

Maaf sbb jarang jenguk... blog bro ada masalah sikit...

Razak said...

Wah penuh ceritanya, sungguh mengasyikkan sarat dengan nasihat dan dorongan, betul kata sdra masa itu harus dimanfaatkan dengan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan daripada merintih lantaran kesedihan dan kehampaan.

Takdir Allah itu lebih sempurna daripada perancangan manusia...

Semoga jiwa sdra kuat

♠ y.a.n.i.e putrajaya ♠ said...

Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat.

salam bro.....yanie suker ayat2 kat atas ni....

selagi kita tak baca helaian buku itu satu persatu....kita takkan tahu kesudahan cerita yg di karang oleh PENULIS nyer.....

sharamli said...

kadang2 rasa mcm dah mls nak habiskan buku2 yg tebal..
sama jgk dgn rasa putus asa utk truskan kehidupan...

zai said...

Kehidupan didunia adalah ibarat menempuh satu pentas lakonan dan hasil daripada lakonan yang dilakukan bagus atau tidak bergantung kepada apa imbalan yang didapati selepas itu..yang penting kita harus melakukan yang terbaik menurut arahan skrip yang diberikan dan skrip itu adalah AL-QURAN dan lakonan yang terbaik adalah apabila kita SUNNAH Rasulullah SAW menjadi ikutan.

aprilgurl said...

alhamdulillah..terima kasih sgt2 di ats penulisan yg sgt bermakna nih....

~Kak AZZ~ said...

akak dah kehilangan buku2 catatan waktu zaman muda2 dulu...tapi tiap yang berlaku terutamanya yang pahit tetap akak ingat sampai sekarang...kdg2 ianya menjadi pemangkin semangat....adakalanya ia menjadi seperti dendam...hmmmm....amat sulit untuk melupakan yg pahit itu....namun belum lg terlintas utk membalas dendam....mudah2an dijauhkan la sifat keji tu huhuhu....

p/s: akak suka gak membaca ni...tp kdg2 mudah sgt rasa jemu....Ada petua tak nak hilangkan sikap cepat jemu tu...

a kl citizen said...

pengalaman pahit mematangkan setiap dari kita...
semakin matang kita, semakin sukar bagi kita untuk memasang angan2 tetapi lebih kepada memasang harapan

chimera said...

kak tirana - ya... dari segi 'buku', kita memang bersamaan lah kak. cuma saya selepas membaca saya akan catat semula sebagai kesimpulan - lagi mudah nak faham...
pastinya pengalaman kak Tirana lagi hebat dan pahit ketika hilang ayah. tapi, semuanya punya hikmah yg hanya Allah juga yg tahu. atau setidak-tidaknya mengajar kita jadi lebih bersabar. Ya... hiduplah dalam lingkungan 'sekarang'... waktu2 lain selain sekarang, bukanlah waktu sepatutnya utk dirungsingkan.


mel - ko lama hilang. kumpul duit nak kawen kot.
ya, memang untung ada sifat suka membaca. bukanlah sebab boleh menulis, tapi luas pengetahuan.

macamana nak minat membaca?... ntah!! paksa diri kot. tak payah byk pun tak apa... kalau malas sgt sehari baca dua muka surat ukar novel pun boleh. lama-lama akan terbiasa... err, agaknyalah.


John - Ya, berkawan dgn Allah memang sentiasa mnguntungkan kita...

Errr.. tak perlu minta maaf. Kita sama-sama punya urusan kan. ya! blog ni mman ada masalah.. tapi sejak tukar URL, nampak mcm ok sikit...



Razak - Cerita lama zaman muda-muda.. hahah.. nasihat untuk diri sendiri yg masa tu memang lemah nak rebah..
Ya. Kita cuma merancang... Allah jugak sebaik-baik perancang. tiap rancangan kita pun tak termasuk sekali dlm rancangan Allah.
Terima kasih. Jiwa saya lemah pada waktu sedih sekitar 3 tahun yang lalu... sekarang dah ok...


Yani - ya, bacalah dgn tertib... ilmunya lebih mudah dicerna minda. (tapi saya pun kadang2 langkau muka surat jugak kalau dah rasa bosan)


sha - hmmmmm... saya pula bila dah stat membaca tak kira buku tebal ke nipis ke... selagi tak habis, tak akan puas hati... tapi betul. kadang2 tgk buku tebal rasa mcm menakutkan je.



kak Zai - Ya.. kita berada di antas pentas lakonan. dan kita-kitalah juga pelakon2nya. membawa watak jahat atau baik... dggn skrip dan jalan cerita tersendiri. Sampai masa 'pengarah' mangatakan 'CUT'... maka tamatlah kisah kita...
semoga anugerah pelakon terbaik menjadi milik kita bersama di sana nanti.



aprilgurl - Mudahmudahan bermanfaat.




Kak Azz - buku saya pun kebetulan pulak saya jumpa masa nak kemas almari. kalau tak memang tak tahu kat mana... buku catatan penuh ayat2 jiwang.. hahahah..
Ya. Pahit selalu kiita simpan untuk jadi garis panduan. Bukan dendam tapi utk berhati-hati supaya hal buruk yg pernah berlaku tak akan berlaku lagi...

nak elak sifat jemu cara saya mcm ni... sediakan 2 buku utk dibaca. bila jemu dgn yg ini, bukak pulak yg itu... tapi kena buku yg berbeza genre dia. Novel dgn motivasi atau buku2 lain yg berbeza.



kak KL citizen - ya, pengalaman guru terbaik yg mendewasakan yg mula membuat kita bertindak dan berfikir secara dewasa juga..

~Kak AZZ~ said...

macehh Chime bg tips nk elak rasa cepat jemu membaca tu....Nmpak gayanya pasni kena beli lg bnyk buku motivasi la.....ada cadangan x buku motivasi mana yg best2...nk buat senarai ni...nnt boleh beli sekali harung....jimat masa hehe...

aprilgurl said...

mana nk beli buku La Tahzan tuh Chime..??sy btul2 kene beli buku/cd tuh

Pyromaniac said...

ades.en chimera rajin membaca..bagus2.aku nie suka buku tapi sekadar membeli saja la..terperam n berabuk buku tu tak baca2..ades liat n pemalass betul..hehe..bro blog adress ada problem ka?ades ada masa nak melayan perasaan malam2 seblum tido..nak click saja..blog not found..haiya..

chimera said...

kak azz - ada beberapa buku motivasi kegemaran saya...
1. The Seven Habits of Highly Effective People... tulisan Stephen R.covey. tapi dah ada buku ni yg diterjemah ke B.melayu... 7 sifat yg berkesan kot tajuk dia...
2. Men Are from Mars, Women Are from Venus...
3. Rich dad poor dad...

Pastu buku2 melayu saya suka buku tulisan Ustaz pahrol - yg mcm saya ulas senelum ni.. satu rasa dua hati. pastu saya suka sgt buku 'i love U (i love U too) - buku ni motivasi secara santai dan kelakar.. buku 'langt ilahi' pun bagus jugak bagi saya.. dan saya gemar jugak buku2 tulisan dr tuah iskandar al haj.. semua buku tulisan dia bagus... - tapi kita dok kat pahang ni, payah sikit nak dpt. kecualilah buku2 dr tuah tu.


cik april - saya tak pasti kat mana ada jual. sebab saya punya pun orang hadiahkan. kat POPULAR ada rasanya... kat kinokuniya pun ada... kat kedai2 buku selalunya ada.


Pyro... rajin membaca sgt tu tak ada lah. tapi suka jugak membaca. dah jadi hobi pulak. kat rumah ni samapai dah tak de buku dah nak baca. kena ulang baca buku2 yg sama pulak.
Yeah.. lupa plak nak bgitau.. URL yg lama tu memang poblem sikit. pasal saya tak boleh nak view. kena tukar jadi el-chimera.blogspot... baru ok... mintak2 dah tak de masalah lagi dah. buat menyusah je

~Kak AZZ~ said...

macehh Chime bg info psl buku2 tu....akak dah salin dah tajuk semua buku2 tu....pasni nk soh kakak cari kt MPH Jusco Seremban...sbb kt sini mmg xde buku2 cmtu spt yg Chime kata tu...

~Kak AZZ~ said...
This comment has been removed by the author.