Friday, October 2, 2009

Pusara Atas Bukit...

"Memberi bukan untuk menerima..."

Rakan saya sampai dengan keretanya... saya sudah bersiap di muka pintu menunggu.. tidaklah terlalu lama saya menunggu, kerana jarak rumah saya dengan rumahnya tidaklah jauh mana sangat...

Acara kali ini bukanlah untuk beraya... tapi menziarahi pusara... sebenarnya saya tidak menziarahi sangat pusara ketika raya... maklum tiada siapa orang-orang terdekat dengan saya yang perlu saya ziarahi... Pusara Tok Ki dangan Tok Wan pula letaknya di Terengganu. (tapi, masanya tetap akan sampai jugak... mungkin tahun depan pusara saya pula yang akan diziarahi... siapa tahu!!!!)... tapi kali ini rakan saya tersebut mengajak saya menemaninya menzirahi pusara ibunya...

**********

Saya pandang pusara Mak Teh... Rakan saya tadi mencabut rumput-rumput halus disekitar pusara ibunya sebelum membentangkan tikar...
Terbayang satu persatu episod kenangan bersama Mak Teh selama dia masih hidup. Dia meninggal atas sebab penyakit kencing manis yang dihidapinya. Saya tidak pasti umur Mak Teh ketika dia mengakhiri hidupnya... mungkin sekitar 50an..

Mak Teh suka mengajar ilmu rumahtangga... (tak tahu sebab apa, sama ada untuk sebagai panduan untuk saya sesudah berumahtangga nanti atau sengaja nak 'perli' saya - yang dah telajak ni)...

Satu kata azimat dari Mak Teh yang sentiasa saya pegang hingga kini adalah tentang 'Layang-layang'... "hidup biarlah umpama layang-layang. semakin kuat angin bertiup, semakin tinggi dia terbang..."

**********

"Mak Teh ada gaduh-gaduh tak dengan Pak Teh?" Tanya saya pada satu hari.

"Ish! kau ni... mestilah ada. perkara biasalah tu. Pak Teh kamu tu, panas jugak orangnya. Tapi tak adalah selalu sangat bergaduh." jawab Mak teh dgn wajah selamba...

"Kalau gaduh, Mak Teh selalu buat apa?"

"Hmmm.. Pak Teh kau tu cepat reda marahnya... bila reda, dia datanglah memujuk"

"Oit! romantik rupanya Pak Teh tu ya?" Usik saya... "abis tu apa di cakap masa memujuk tu.." sambung saya lagi...

Mak Teh kerutkan kening... mungkin pelik dengan soalan saya..
"Hmm. Dia tak cakap apa-apa. Dia tengok apa Mak Teh buat, dia tolong... Ha, kalau macam tu Mak Teh tahulah, dia tengah memujuk. Atau pun dia pergi kedai beli bahan masakan makanan kegemaran Mak Teh. Pastu dia kata... Jom, masak sama-sama."
....

"Kau ni tanya-tanya menda macam tu kenapa? Mak Teh bukannya pandai. Orang Kampung... Kau tu yang belajar tinggi.." Mak Teh mungkin keanehan atas pertanyaan saya.

"Tak ada apalah... Saya cuma nak dengar kisah Mak Teh je. Nak tanya Pak Teh, saya takut. Dia tu garang.." Saya berterus terang.

"Garang-garang pun dia suami Mak Teh.. Mak Teh tak pernah harap apa-apa pun masa mula-mula dijodohkan dengan Pak Teh."

"Maksud Mak Teh.." saya keliru...

"Mak Teh tak pernah bayangkan suami Mak Teh mesti begini, begitu... Hati Mak Teh terima bulat-bulat Pak Teh kamu sejak diakad nikah. Yang Mak Teh fikir, macamana nak Mak Teh buat bila dah kawin nanti... Kena masak, kena jaga rumah, layan suami, didik anak... Mak Teh sedia itu saje. Mak Teh fikir singkat je. Tak pandai pasang angan-angan." Jawab Mak Teh yakin.

Singkat tapi tepat. Mudah tapi berhikmah. Mak Teh tidak tahu falsafah ilmu rumahtangga. Tetapi hati, perlakuan dan kata-katanya menepati ilmu yang dihuraikan oleh buku-buku besar ahli falsafah. Ilmu itu pada tindakan.

"Mak Teh ada belajar urut-urut tak?" saya tersengih sendiri dengan soalan saya...

"Mana adalah,"

"Habis... kata Pak Teh, Mak Teh pandai urut??"

"Dia gurau tu. Ceritanya, dia jatuh masa kerja kat ladang. Terhincut-hincut balik rumah. Tak sampai hati mak Teh tengok. Lepas tu Mak Teh urut. Ikut sedap tangan je. Tak sangka pulak baik. Lepas tu, apa-apa sakit pun dia cari Mak Teh."

"Errr... mesti ada petua dalam urut mengurut ni kan..." saya cuba korek lagi.
Mak Teh senyum...
"Urut dengan hati kita... sebab sayang, kesian, kasihkan dia... Bukan setakat nak ambik hati."

"Sebab nak beri kasih sayang... bukan nak dapat kasih sayang?" tanya saya lagi.

"Kau lebih pandai... Mak Teh tak pandai cakap-cakap macam tu." Mak Teh merendah diri.

"Apa yg Mak Teh suka sekali pada Pak Teh?" Saya dah macam wartawan pulak bertanya. Untungnya Mak Teh masih juga mahu melayan...

"Sembang-sembang Pak Teh kamu..." Ringkas jawapan Mak Teh.

"Sembang-sembang je ke?" Ujar saya sedikit hairan.

"Ha'ah... Sembang-sembang Pak Tehlah penawar hati Mak Teh. Sambil sembang dia memujuk, bagi ilmu, sampaikan panduan. Dia pandai bercerita -Tapi ada makna. Kadang-kadang dengan gurauan... dia boleh tahu kalau Mak Teh tengah sedih." Agak panjang penerangan dari Mak Teh.

"Bila Pak Teh suka sembang?" Saya tanya lagi.

"Bila ada kesempatan. Kadang-kadang sambli kami lipat baju. Masa anak-anak kecik dulu, kami sembang sambil Mak Teh buaikan anak... dia lipatkan kain. Sesekali waktu memasak, kalau dia tak ke ladang. Tapi dia tak pernah tinggalkan sembang malam... sembang-sembang sebelum tidur"

Saya seyum je. Dengan pemikiran yang simple, bahasa dan istilah yang mudah, Mak Teh berkisah - praktik ilmu-ilmu motivasi terkini. Yang ditulis dalam buku-buku yang mahal dan tebal. Tapi Mak Teh dan Pak Teh hanya orang kampung. Mereka hanya 'menulis' dalam kehidupan. 'Berceramah' dengan amalan harian....

"Mak Teh ajar anak-anak mengajikan?"

"Mak Teh dah tekad. Anak-anak mesti khatam Quran di tangan Mak Teh sendiri. Soal wuduk, solat, taharah dah pun diajar kat sekolah. Pak Teh pulak cuma tengok perbuatan kat rumah. Dia garang... anak-anak tak berani tinggal solat... dirotannya." Memang Pak Teh sangat tegas dalam hal pelajaran anak-anaknya... Anak sulong mereka (yang merupakan kawan kawan baik saya) seorang Jurutera. Yang kedua cikgu, yang ketiga Inspektor polis... dan yang bongsu sedang study bidang perubatan di sebuah Universiti tempatan...

Saya terus juga bertanya... mancari ilmu berdasarkan pengalaman yang Mak Teh lalui.
"Apa falsafah hidup Mak Teh?"

"Falsafah tu benda apa pulak?" Mak Teh kerut kening.

"Errrrr... panduan... pegangan.. lebih kurang gitulah" saya sendiri tak bijak nak jelaskan apa itu falsafah. Tapi mujur juga Mak teh faham.

"Mak Teh tak pandai... Mak Teh hanya buat apa yang Mak Teh patut buat. Rasanya Pak Teh pun macam tu. Rasa kami sama, sebab selalu bersama"

"Tapi ada orang selalu bersama, tapi rasa mereka tetap tak sama... kenapa Mak Teh?"

"Tak tahulah pulak... Mak Teh ni, dulu selalu buat macam ni... Mak Teh selalu fikir apa yang Pak Teh rasa. Bukan yang Mak Teh rasa. Kalau macam ni, apa Pak Teh kamu buat... kalau macam tu, macamana pulak Pak Teh bertindak, Mak Teh rasa dalam diri Mak Teh, Mak Teh tak ada... yang ada cuma Pak Teh." begitu Mak Teh jelaskan... saya kagum...
Ini lebih tinggi dari prinsip 7 habits, Steven Covey - Seek to understand than to be understood."

"Pak Teh pun rasa macam tu jugak ke? Yang ada hanya Mak Teh.." saya cuba mengumpan

"Hmmm, kekadang tu terfikir jugak macam tu. Tapi cepat Mak Teh tepis. Kita buat apa yang patut kita buat. Isteri kena sayang suami tanpa harap balasan dan sebarang alasan..."

Huh! ini lebih hebat, prinsip teras dalam cinta rumah tangga - Unconditional love.

**********
Saya renung sejenak untuk kesekian kalinya pusara Mak Teh. Yassin tamat di baca, rumput2 halus habis sudah dicabut. Air di dalam kendi yang di bawa juga telah di curahkan... Hmmm, sudah lama jugak saya tidak ziarahi kubur untuk ambil ibrah... Mak Teh - terbayang satu persatu kata-kata bersahajanya - (pedoman untuk saya ke alam rumah tangga satu hari nanti - InsyaAllah)..
Mak Teh bukanlah wira yang perlukan tugu kenangan. Atau negarawan besar yang perlu di berikan pangkat atau kebesaran. Mereka hanya manusia biasa, yang menjadi 'luar biasa' dengan sikap biasanya - jujur, telus dan tulus. Memberi bukan untuk menerima...

Urusan kami selesai di situ... Lalu taman sunyi pohonan kemboja tersebut kami tinggalkan...
Moga Mak Teh sentiasa aman di sana...


******

16 comments:

E.d.Y said...

"Urut dengan hati kita... "

yup..setuju sngt..my late grandmother tukang urut, die selalu cakap klau mengurut nie hati kene ikhlas, baru la org yg kite urut cepat sembuh...

Alfatihah untuk mak teh chimera...

sharamli said...

resepi rumahtangga ni...

zai said...

Salam Chime..

Terpaku dengar cerita chime nie..kak zai sungguh menghayati dan rasa kagum pada Mak Teh kerana dia belajar dari pengalaman diri sendiri dan mengadunnya utk jadi acuan yg terbaik..patutlah orang dulu2 perkahwinan mereka kekal sehingga ke akhir hayat kerana mereka menghayati sepenuhnya erti maksud perkahwinan yg sebenarnya..

ASE1 said...

resepi bagus nie ...
bertambah ilmu rumahtangga !

ASYIQ said...

Ada dua perkara yang menyentuh hati akak dlm artikel ni...

Pertama: Selalu ingat apa yang kita perlu lakukan untuk orang lain, jangan asyik fikir apa yang orang perlu buat untuk kita....


Kedua: Lakukan semua perkara dgn ikhlas dan dari hati....insyaAllah usaha itu akan menjadi!!

Terima kasih chime, sentuhan dari hati yg mampu mengetuk pintu hati orang lain...

Dilla Zaidi said...

patut suh hubby bace nih, bagi adil sbb dilla pun da bace..

sgt memberi kesedaran..slalunye kite jd manusia yg bertanya apa yg org da buat utk kite sedangkan sepatutnya kite bertanye apakah yg kita lakukan pada org lain sudah mencukupi...

a kl citizen said...

assalammualaikum

betul sangat kata mak teh, berkahwin tanpa mengharap apa2... kita sekarang ni, nakkan pasangan yang macam2, pandai masak, pandai pujuk, romantis, kelakar... bila tak dapat yang kita harapkan, mula kasih beralih arah....

kagum ngan mak teh,
dan berterima kasih pada pendekar chimera atas tulisan yang mengasyikkan

silbi abigail said...

amin...

~Kak AZZ~ said...

al-Fatihah utk arwah Mak Teh...

Banyak kiasan orang2 dulu berkasih sayang ni....Tips berguna yg perlu diambil kira...Tenkiu...

Abd Razak said...

assalamualaikum...

Indah sangat untuk dijadikan contoh

Berpegang kepada `Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa'

Ad Rifza said...

Nak belajarlah urut dengan kasih sayang dan hati kita...Tapi nak urut sapa ek?..agagaga...
Buat masa skrg bleh urut dan picit2 mak ayah kan..hmm..nanti2 dah kawin baruleh urut isteri..haha..Petua yang bagus gak ni Chime..hehe..

AiE bAhRi said...

Al-fatihah untuk arwah Mak Teh.

Satu entri yang bagus untuk saya jadikan panduan pada masa akan datang.InsyaAllah..

miEchi said...

penerangan yg simple..tp sgt mendalam...macam tu la org dulu2...

arnamee said...

Bertuahnya kamu kenal Mak Teh dan Mak Teh ada kamu. semoga doa kita sampai untuk beliau. Al-fatihah.

perkongsian Mak Teh takkan lapuk dan kamu buat kami juga mengenangnya. terima kasih buat kamu dan ARWAYARHAMAH. ;)

WanHidayat said...

Salam bang.... :)

Senyum panjang bila sy mmbaca kisah ini...perkongsian yang sarat dengan teladan dan ilmu...moga2 yang baik itu akan dimbil sebagai panduan...

Paling sy suka...

"Urut dengan hati kita... sebab sayang, kesian, kasihkan dia... Bukan setakat nak ambik hati."

Pernyataan Arwah sememangnya benar dan terlalu benar, sy tiada kata2 untuk sangkal akan hakikat pernyataan ini.....

dan ianya memang HEBAT!

♠ y.a.n.i.e putrajaya ♠ said...

>> bila baca kisah Mak Teh...teringat kisah Mak Ayah di Aloq Staq..

mak selalu pesan....kalau dah kawin nanti...kalau suami marah...kita kena dok diam..jangan menjawab...bila dah redha...baru lah wat sesi pujuk memujuk....


hehehehe....

** Semoga Roh Mak Teh di tempatkan di kalangan orang2 yg beriman....amin