Friday, December 19, 2008

Yang Berkat jadi Mudarat..... (cerita kahwin muda)

Majlis akad nikah sahabat saya itu baru sahaja selesai... tidak terlalu ramai orang walau pun agak sesak juga di halaman rumah... kenduri akan berlangsung siang esok... saya dan beberapa teman juga saudara-saudara terdekat pengantin lelaki menikmati minuman ringan yang disediakan pihak tuan rumah pengantin perempuan.

Tiba-tiba seorang lelaki tua yang memang saya kenal (Datuk kepada pengantin lelaki) menarik tangan saya dan bertanya...
"Kenapa orang sekarang ni kahwin lambat sangat..?" huh! saya agak terperanjat juga... dia ni dan perli aku ke hape?... tapi mungkin juga soalan itu dia merujuk kepada cucunya yang seusia dgn saya (awal 30an) yang selamat diijabkabulkan malam itu... (atau memang dia tujukan kepada saya)..

Saya lantas bertanya kepadanya "Tuk dulu kawin cepat?"

"Umur 15 tahun, nenek kau tu dah anak sorang..." dia menjawab agak bangga.
huh! saya agak terperanjat juga... lantas terbayang adik perempuan saya yang bongsu sedang menuntut di tingkatan 4 sekarang. Sukar nak dibayangkan. Betapalah di usia itu sudah mempunyai anak.

"Tuk bahagia tak?" saya tanya ringkas - tak ada modal

"Tak bahagia apanya, anak tuk ada 12 orang!"

terhibur saya berbual dengannya. semuanya diukur dengan angka.

"Ada kawan saya tuk, kawin masa umur 21 tahun... masa tu dok belajar lagi. semua kawan-kawan heboh kata dia tak sabar." saya terbayang wajah kawan saya tersebut. memang telah lama benar saya tak menemuinya. dengar ceritanya dia telah punya 4 anak... Alhamdulillah... (dan terkenang juga pada kenalan kita kat sini **cik chika** yang akan menamatkan zaman bujangnya pada usia muda pada jangka waktu terdekat ini... - semoga semuanya berjalan lancar)

"Tak sabar? Huh! pelik! Zaman tuk dulu, tu dah kira terlajak dah tu! Kalau nak buat baik, eloklah cepat-cepat. Selamat dari maksiat. Kalau betul tak sabar, Tuk ni lagilah tak sabar... umur 17 tahun dah kawin... heh heh heh..." Dia tersengih mempamerkan giginya yang putih kemas tersusun - gigi palsu...

"Setuju tak Tuk, kalau orang kata soal kawin ni bukan soal cepat atau lambat, tapi soal sedia atau tak..?" Saya bertanya lagi.

"Setuju... Tapi kena huraikan maksud persediaan tu..." tajam Tuk membalas.

"Kalau ikut pandangan tuk, apa agak-agaknya persediaan tu?" saya tanya lagi.

"Hish! soal ni mana boleh main agak-agak je... mesti nak tepat." agak tegas jawapan tuk.
terkedu saya dibuatnya. Tuk bukan sebarangan orang.
"Maksud sedia bukan sahaja dari segi umur... asal akil baligh je dah boleh kahwin. Bukan je diukur pada badan yang sihat, pendapatan yang cukup... tapi yang penting sekali kematangan diri... maksudnya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang.." Agak jelas penerangan dari Tuk.

Saya menung panjang. Tertikam juga di sudut hati pertanyaan... errrr... aku ni dah matang ke kalau aku nak kahwin - jiwa pun tengah dok kacau.

"Jangan termenung panjang. Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul... Nanti tak kawin pula!" Usik Tuk dapat membaca fikiran saya. Tuk sedang mendidik (pada perkiraan saya) walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumahtangga yang kadang kala tidak dapat ditimba dari mana-mana menara gading.

"Macamana cara nak matang?" Tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan demikian di usia 30-an ni. Terasa dah terlambat.

"Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dengan kawan-kawan... umur 11 tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar ilmu Fardhu Ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah ok. Bila dah baligh belajar bab yang lebih tinggi pulak. Baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggungjawab suami isteri dan asas-asas kerukunan rumahtangga."

"Tu aje ke? Ilmu lain?" soal saya pendek.

"Eh! perlu jugak. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan... ikut keadaan zaman tu lah. Tuk ni tak nasib baik sangat. Kerja kampung je. Guna tulang empat kerat, buka tanah. Itulah dusun yang tuk kutip hasilnya sampai sekarang ni"...

"Tapi sekarang Tuk dah senangkan. Dengarnya dah dua kali naik haji."

"Tak senang... tapi mudah-mudahan... tenang. Tulah doa tuk, biar hidup kita tenang." perlahan Tuk menjawab.

"Agaknya sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?" cuit saya, kembali ke tajuk asal.

"Abis tu engko tak kawin-kawin lagi ni tak matang lah agaknya ya..." sindiran Tuk agak keras juga. sentap. macam senjata makan tuan pulak rasanya... saya hanya tersengih heh heh heh...
"Ni agak Tuklah. Budak sekarang ni tak macam dulu. Mereka ni bukan tak matang. Tapi semacam lambat matang. Kalau dulu umur 13 dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan baca berzanji tu lancar... Tapi sekarang lain, umur 23 pun masih bergantung pada mak bapak. Nak jadi Imam??? Jauh sekali." Terbayang kekesalan di wajah Tuk. Kemudian dia menyambung lagi..
"Sekali tu, Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala Tuk ni macam mana seorang bakal pengantin tu tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan Tuk Kadi. Bila ditanya rukun sembahyang, geleng kepala... Yang dihafalnya rukun nikah je..." Suara Tuk bernada kesal.

"Kalau macam tu macamana Tuk?"

"Huh! baik tok sah kahwin. Macamana dia nak pimpin isteri dan anak-anaknya nanti? Tu baru ilmu yang paling asas, belum lagi ilmu... apa kata orang... parenting skill."
saya agak terperanjat.
"Hah!! Tuk tahu parenting skill?"

"Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Kat radio, tv, ceramah, astro, buku-buku... macam-macamlah. Tinggal lagi kita ni nak manfaatkannya atau tak.. ini tak, bukak tv tgk bola... tengok akademi fantasia..."
hahah... saya tergelak juga. Tuk tahu jugak perkembangan hiburan kat tv.

"Tapi Tuk, Kalau tak kawin pun susah jugak... nanti terjebak dengan maksiat." kilas saya.

"Tulah, ajaran Islam ni macam mata rantai, lepas satu disambung satu. Bermula dengan yang paling utama, diikuti dengan yang ke dua, ketiga dan keseterusnya... Ilmu tauhid, fekah, akhlak, mesti diasak dari awal usia. Pastu baru ilmu akademik. Jadi bila engko dah nak kawin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada. Persediaan material ada."

"Macamana kalau ada yang lambat-lambatkan kahwin keranan katanya belum sedia, dari segi material dan agama.?" --soalan ni merujuk pada diri saya sendiri sebenarnya.

"Apa-apa pun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama... sampai mati pun takkan habis dituntut. Cukuplah sekadar keperluan dulu dan tambah lagi selepas kahwin. Macam tu jugak soal harta benda, soal kerja, kerjaya... ni pun tak akan habis jugak. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri. Jangan sampai terlanjut usia sudah. Jangan nanti, ilmu ada, matang ada, duit ada... calon pulak tak ada..." Tuk cuba berjenaka.
Terbayang saya wajah 'orang belah sana'....

"Tuk tengok macamana keadaan anak muda masa sekarang?" terluncur soalan berbau akademik tanpa saya sedari.

"Akibat tak ikut tertib dalam menghayati Islam, keadaan dah jadi lintang pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak kahwinkan, buat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab."

"Antara dua keadaan ni... yang mana patut kita pilih..." tanya saya lagi dengan soalan terakhir...

"Perlukah kita buat pilihan? Pada Tuk... Pilihlah keadaan yang tak memaksa kita membuat pilihan!"

Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana..."



errr... aku ni... bila nak kawin niiii....





14 comments:

Tirana said...

Hmmm..baru ku tahu chime ni masih bujang rupanya..hhehehe..

Trend sekarang kot kawin lewat..sebab bila dah habis belajar (lepas dapat ijazah umur dah berapa), nak cari kerja lagi..nak kumpul duit lagi..macam-macam hal. Sedar-sedar umur dah masuk 30. Ok lagi tu 30. Ada kawan saya (lelaki) dah 40 lebih, tak kawin-kawin lagi..Macam Tuk kata semua dah ada, calon pulak tak ada..hehehe..

jiejah said...

huhhhhhhh hebat 'tuk' itu.
penuh ilmu bila berbicara.
mmg seronok layan org tua yg x kedekut memberi ilmu dr pengalaman sendiri ..

i-chimera said...

tirana - hehehe.. tak tahu lagike saya bujang... heh! dah kantoi kan...
kawan tu, calon tak ada ya... saya ni pun lebih kurang mcm semua adalah - calon pun ada, tapi jodoh tak sampai2 gak lagi ni... hadussss...

jiejah - org tuan byk pengalaman. ilmu2 berguna... memang seronok sesekali dpt korek cerita rahsia-rahsia diorg...

cepotet said...

yeah, age is just a number. and number will be always a number. tapi, kematangan tu memang penting. ada lelaki yang dah berumur 35 tapi masih di bawah tanggungan mak ayah. huh, apekah?

tok, saya setuju dengan atuk. dan bukan lelaki je kena matang. perempuan pun kena matang jugak. huhuhu. :p

Ecah said...

lohhh chime ni bujang lagi kerr???? ingat da kawin sbb ari tu bergambar berdua je dalam kad raya.. macam romentik pun ada gamba tuh.. uk uk cepat-cepatlah sampai jodohnya.. aminnnn..

Ad Rifza said...

Hehehe..Asyik sungguh membaca bicara atuk iteww..Terkesan gak neh...uhukks..

Chekgu BaniHassim said...

salam..
dalam maksud kalimat org2 tua nih...

even dorg tak blajar pasal ni sume, dorg blajar sendiri, dari pengalaman..

cume yg membezakan, pengaruh pd mase tuh, dorg ckp bulih kawen awal2, sbb masetuh manelah nk blaja tinggi2..
tv xde, tu yg boring2 kawen...

boring xde tv, buat anak...dah xde tv, xde hiburan, kurangla dugaan dan cabarannya...

anntaj said...

berkesan di hati...:)

i-chimera said...

ERNI - ha'ah... senang cakap dua-dua pun kena berfikir matang... baru sempurna...

ecah - heheh.. takau ke? yg gambar kat kad raya tulah gambar 'org belah sana' tapi bukan milik saya secara mutlak lagi... Aminnnn... mekasih utk doa yg baik tu...

Ad - bicara org berpengalaman memang penuh isi...

chekgu - hahahaha.. betul jugak kan. masa2 dulu tu kahwin je hiburan utk mereka kan.. tapi masa tu kurang dugaan dan cabaran - patutnya zaman yg penuh dugaan dgn cabaran nilah yg kena buat kawin cepat... bukan apa, takut terperdaya dgn dugaan dan cabaran tulah. kannnn.. errr

i-chimera said...

anntaj - di hati saya juga...

bozzobattousai said...

bozzo pon tak kawin lagi...hu hu hu...

Sufi Idany said...

Abg, org dulu2 ramai anak sbb tido awal.... lampu pelita myk tanah jer.... huuhu gurau senda org2 lama.... abg nak kawen ke? p laa pinang org sebelah sana... pe susah.... abg sy bakalan ke Sarawak..... dada.........

i-chimera said...

bozzo tak kawin lagi??? errkkkk.. benarkah???

ida - tulah dia... bukan susah sgt kan nak meminang. tapi mcm susah jugak... jodoh tak sampai lagi ni... huhu... ke sarawak?? hmmm... ok jugak tu. tahniah dek... berkhidmat dgn elok tau...

AiE bAhRi said...

Apa yang atuk tu cakap ada benarnya.Tapi, kalau diaju pada anak-anak muda zaman sekarang memang semua nak kawin cepat dan bila ditanya sudah bersedia dari semua aspek?jawapan mereka pasti ya kecuali dari segi kewangan mungkin.

TAPI (ada tapi lagik..hehehe) bukankah jodoh itu atas dasar cinta dan skop cinta pada zaman anak-anak muda sekarang lebih menjurus kepada seks?Jadi tidak keterlaluan jika saya cakap anak2 muda zaman sekarang ingin berkahwin atas sebab yang utama itu dan akhirnya akan membawa keluarga yang berpecah belah jika dari aspek lain mereka tidak mengambil berat.

Dan saya tertarik bila abg chime pernah cakap yang bilamana kita ucapkan pada seseorang "aku cintakan kau" bermaksud "aku bertanggungjawab akan dikau".Jadi, untuk mencapai persediaan ke tahap bertanggungjawab pada pasangan sebenarnya memakan masa juga.Sebab itu ramai yang kahwin lambat pada zaman sekarang..

Lagi satu, mungkin hantaran pada zaman sekarang terlalu tinggi menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk mengumpul harta terlebih dahulu.hehehe