Friday, June 19, 2009

Selamat Hari Lahir... Selamat Pulakah Hari Mati ku...

Sudah lama buku itu di beli... Malam ini tergerak pula untuk membacanya. Sebuah buku tulisan Dr. A'idh Al-Qarni bergabung dengan beberapa penulis lain .

"Malam Pertama Di Alam Kubur" begitu bunyi tajuknya.
Di dalam satu bab - Hati terpasung oleh kata-kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali:
"Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”
Entah kenapa, di malam hari lahir kali ini hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah.

Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih tersisa. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu.

Teringat pula kata Imam Ghazali:
“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.” Hari ini (18 Jun ) ulang tahun kelahiranku. Sudah 33 tahun aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku?

Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata: “Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.”

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.

Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap-harap, minta-minta diampuni.

Buat sahabat, teman dan kenalan… terimakasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap gelita.)…

“Marilah kita hidup…
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu…
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…
itu lebih bermakna!”

Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning… “
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya, Allah!




**********

12 comments:

AiE bAhRi said...

Entri yang memberi kesan kepada saya.
Sungguh!!kadang2 kita lupa untuk mengingati kematian.

Ad Rifza said...

Insyallah..Sama-sama kita mengingati hari mati..Kerana mati itu pasti..Walau sejauh mana dan sedekat mana perjalanan hidup yg sementara ini mati pasti hampir..pasti..
Tiada alasan,tiada persoalan yang wujud bila tiba hari mati..
Apa yang penting kita sentiasa mengingati mati dan kita jalani hidup kita dengan jalan-jalan yang Allah redhai dan rahmati..Selalu berdoa dan bertaubat kerana kadang2kita alpa atas urusan duniawi yang tidak berkesudahan ini..Moga Allah permudahkan jalan-jalan hidup kita seterusnya..Insyallah..

i.am.me. said...

encik chime...

terkedu lagi...

tiap tiap kali hari kelahiran..umur kita semakin pendek...angka saje bertambah banyak..masa lalu kite semakin jauh...masa hadapan kite...

Miss Zahidah Zakaria said...

nice entry

btw
have a great birthday abg chime
may allah bless you ;)

Tirana said...

Mudah-mudahan Allah sentiada memimpin kita untuk berjalan di atas kebenaran.

:: Wiween :: said...

ween ada buku nih. Beli 2 tahun lepas :)

aprilgurl said...

Hapy birthday Chime.....lama dh x menjenguk kt sini..semoga pjg umo...bahgia dunia akhirat drp sy yerr...salam

I-sya said...

ayat chime tuh dari buku ker dari hati? acha maksudkan doa tuh. sgt menyentuh hati. x terfikir plak tentang "Selamatkah hari matiku" saat sambut "selamat hari lahir".

pgl chime aje xpekan? sopan x? pangkat abg sesgt dh nih????

~perhitungan hidup kita sama cuba timbang-taranya nnt belum tentu serupa beratnya.~

c_fu^^ said...

entry yg sgt mberi kesan..

ASYIQ said...

Betul sangat peringatan ni...semenjak dua menjak ni asyik menerima berita kematian yang mengejut aje....muda2 dah meninggal. Mudah pulak tu....sebab sakit jantung, kolestrol tinggi, kencing manis...dan yang paling mengejutkan tuan punya badan pun x tau yg dia ada sakit tu.

Terasa sangat kita sedang dihambat oleh malaikat maut....setiap hari 70 kali dia datang menziarah kita.

Moga kita sentiasa sedar...

Keri AlHaj said...

aie - bukab kadang2... memang selalu... mati akan kita ingat bila hanya berlaku kematian..sekejap je. pastu lupa balik semula


ad - Moga Allah sentiasa buka hati kita agar tak lupakan kmatian...


miechi - semkin waktu bergerak, semakin dekat mati hampiri...


mis zaza - terima kasih dik..


kak tirana - Amin.. mudah-mudahan begitu...


ween - best jugak buku tu kan. tak baca abis lagi... tak perasan pulak buku tu 'best seller'...


aprilgurl - haha, lama betul tk nampak... ok, terima kasih utk doa tu...


acha - panggil apa2 pun tak pe. panggil adik pun boleh jugak...

bila baca buku, selalunya buku akan bagi idea pd isi2 yg nak ditulis... tapi kita boleh tulis cara kita.. sebab tu kena rajin membaca...


c-fu... mudah-mudahan begitu



kak Asyiq - kematian tu sebaik-baik peringatan pd kita yg leka... kalau dah tentu masanya, takyah tunggu tua, atau tunggu sakit... mati mesti dtg punyalah...

Unknown said...

Mintak izin saye kongsi kata2 awk ni ye... Terima kasih moge kite selalu mengingatkan mati