Satu petang di sebuah restoran, saya dia dan adiknya menikmati hidangan sangat istimewa...
Dia menghulurkan sekotak bungkusan yang tidak berbalut. Hanya diikat dengan reben berwarna hijau pucuk pisang...
"Selamat hari lahir" katanya.
"Terima kasih... Apa ni?" Tanya saya pula, walaupun memang dah tahu apa yang diberi.
"Minyak senyoyong..." jawab dia selamba..
hahaha.. padan muka. dah memang tahu, tanya buat apa. dah memang sah-sah, yang dihulurkan tu satu set parfum kegemaran saya.. jenis kotaknya pun memang jenis yang menampakkan isi dalam. Dah memang parfum. - Esei Miyaki - lagi mau tanya ke.
Hahaha.. saya ketawa.
“Selamat pendek umur,” Ucap dia bergurau.
Saya ketawa juga. Itu juga ucapan yang saya ucapkan kepadanya pada hari lahirnya tahun lalu.
“Macam mintak saya pendek umur je”
Dia kelihatan ceria. Hari itu ulang tahun hari kelahiran saya. Dia meraikan saya dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat dia bekerja.
“Yalah… bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu…”
“Makna, semakin hari semakin pendeklah umur kita.” tingkahnya memberi penjelasan
“Ya, hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.”
Saya memang telah faham sebenarnya.
“Pelik, selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup. Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Sekarang kita bercakap tentang mati pulak.” saya meningkah kata.
“Siapa yang tidak bercakap tentang mati akan ‘mati’,” balas dia.
“Ekkk... Kenapa pulak?”
“Hukama' berkata, barangsiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”
“Untuk apa kita mati?”
“Untuk hidup…” kilas dia lagi, sekadar bermain kata, bersilat bahasa untuk meninggikan makna.
Saya diam. Menung dalam alam fikir yang telah terusik.
“Mati untuk hidup?”
“Ya, mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya satu permulaan…”
Saya diam lagi... Selalu begitulah, dengan Wanita bijaksana seorang ini saya selalu kematian hujah bicara... lebih banyak bertanya atau hanya menjadi pendengar sahaja.
“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. Awak masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang saya sering ungkapkan dulu?”
"Ingat!! kata Umar, manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Dia senyum lagi...
“Jadi, hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?”
Dia pula bertanya... bertukar-tukar pandangan itu lebih perlu untuk mengembangkan ilmu. Wah, saya pula yang terkejut mendengar liuk lentuk bahasanya. Berputar-putar seputar maknanya.
“Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup ini, untuk kelangsungan hidup kat 'sana' pulak. ” saya menjawab setelah terdiam seketika menyusun kata.
“So, kalau macam tu apa yang ada pada umur?”
“Umur hanyalah putaran matahari mengelilingi bumi, saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arlogi,” balas saya. Seronok sekali-sekala, berbual dengan bahasa berbunga di sulam kosa kata yang yang berputik dan berbuah.
“Itu maksudnya kita juga abadi kan? Tapi bukanlah abadi seperti Allah yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran. Kita tetap makhluk.” dia menyambung kata.
“Kalau gitu, umur itu relatif juga kan?”
“Ya, kan Enstein pun fahamnya macam tu jugak? Ingat tak Teori Relativiti masa?”
“Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti.”
Semakin rencam perbincangan kami. Tidak mengapa, sekali-sekala apa salahnya… berfalsafah kekadang lebih indah.
“Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan kekal jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali… tidak sempat pencen pun, tapi kesan perjuangannya melangkaui dekad dan abad,” tambahnya memberi contoh.
“Umar ibn Aziz memerintah hanya lebih kurang 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya,” sambungnya lagi.
“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.
“Harta boleh panjangkan umur… sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak boleh panjangkan umur… hubungi silahturrahim, panjanglah umur kita. Itu maksud hadis nabi tu.”
“Apakah rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur tu?”
“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu . Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”
"Hasilnya?”
“Dunia sentiasa sediakan jalan kepada orang yang ada tujuan. When there is will, the is a way!.”
“Tapi kita bukan mereka”
“Betul. Tapi itu bukan kelemahan tapi kekuatan. Setiap kita adalah unik. Tuhan tidak ciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”
“Kita lebih bijak daripada mereka?” tanya saya secara berterusan.
”Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang profesor dari segi pemanduan kereta.”
“Tetapi keintlektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Profesor lebih berharga daripada seorang ‘driver’. Gaji mereka lebih tinggi”
“Maksudnya, umur seorang profesor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud awak gitu?”
“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang profesor. Itu sahaja.”
“Awak tidak mengiktiraf darjat orang berilmu?”
“Bukan macam tu. Orang berilmu memang dilebihkan beberapa darjat… tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama?”
“Maksudnya?”
“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi darjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”
“Kata ahli sejarah, para sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan kita hari ini ‘mati’ kerana mencintai hidup.”
Jam menunjukkan pukul 6.30 petang... hari makin pendek, malam makin menjengah. kami tamatkan perbualan bersama tamatnya hidangan lazat di meja.
"Selamat panjang umur" Ucapnya sekali lagi sebelum kami keluar dari restoran tersebut.
“Eh, tadi kata ‘selamat pendek umur" kata saya buat-buat hairan.
“Hmmmm, Awak lupa agaknya. Maksud ‘panjang umur’ tu berbeza dari biasa. Maksud saya, selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, selamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah. Ya, itulah. Itulah maksudku selamat panjang umur!”...
Saya senyum lagi... Bersyukur dipertemukan dengan wanita bijaksana ini....
*************