Thursday, July 23, 2009

Satu Rasa Dua Hati...

Tiada apa-apa cerita pada entri kali ini... hanya sekadar mahu berkongsi keseronokan membaca.

Andai anda penggemar bahan-bahan bacaan berbetuk motivasi... saya ingin mencadangkan kepada anda buku ini:

Buku (lebih kepada untuk mengemudi rumahtangga) ini adalah hasil tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi setebal 213 halaman terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Saya memang telah memiliki buku ini sejak tahun lalu dan telah lama mengkhatamnya, tapi rasanya masih belum terlewat untuk saya meyampaikan rasa seronok membacanya...

Dengan penguasaan bahasa yang santai dan lincah di tambah dengan rencah-rencah naratif yang menyentuh hati dan ada kala menguris rasa, buku comel ini (yang sekarang dengan wajah baru cover berwarna pink pulak) dapat memukau minat dan perhatian pembaca (ok! saya merujuk kepada diri saya). Proses pembacaan terus mempesonakan dengan garis panduan penuh hikmah dalam mengemudi rumahtangga di samudera pancaroba.

Dua puluh episod dipaparkan dalam buku ini merangkumi pelbagai bentuk masalah yang sering muncul dalam gelora berumahtangga. Episod ini bermula dengan langkah pertama membina istana rumahtangga, iaitu masalah mencari jodoh yang sesuai dijadikan pasangan sepanjang hayat.

Rata-rata semua kita idamkan pasangan yang unggul, atau lebih tepat pasangan yang 'soleh' dan 'solehah'. Dalam alam sebenar, kreteria mencari jodoh ditumpukan kepada calon isteri dan suami. Baik buruk calon akan menjadi kayu ukur untuk diputuskan sama ada berjaya menjadi pilihan atau tidak.
Namun dalam buku ini, Ustaz Pahrol mengajak pembaca dan bakal pencari calon berumahtangga, supaya kriteria pencarian jodoh itu bermula dengan diri sendiri. Saranan begini mungkin menjadi satu kejutan kerana selama ini hanya calon suami atau isteri yang diteliti cantik/hodohnya rupa, sopan/kasarnya budi bahasa, kaya/miskinnya harta, warak/jahilnya beragama.

Bagaimanakah akan didapati calon isteri yang solehan atau suami yang soleh jika diri sendiri tidak mengendahkan ketertiban berpakaian dan tidak memuliakan kesantunan pergaulan?

Semolek-molek sebuah rumahtangga itu didirikan atas struktur cinta yang saling berbalas antara suami isteri. Namun terdapat juga cinta yang pernah bergelora pada awal perkahwinan mula merosot auranya dalam perjalanan perkahwinan. Di mana salahnya. Di mana silapnya. Siapakah punya angkara maka terjadi yang demikian itu?

Dalam hal ini, Ustaz Pahrol menterjemahkan cinta dari sudut pandangan falsafah yang begitu mengasyikkan. Huraian yang kemas dan dikendalikan dengan bahasa yang mudah agar segala isinya mudah pula difahami. Penjelasannya menuntut kita (saya) sebagai pembaca untuk memuhasabah diri dan bertanya pada diri sama ada pernah mengamalkan falsafah cinta seperti yang digarap ustaz Pahrol?

Keindahan cinta terletak pada sikap yang tidak mementingkan diri sendiri. Keutamaan diberikan kepada pasangan tanpa mengharapkan balasan.

Kata orang cinta itu buta. Sejauh manakan benarnya tanggapan ini? Lihat pada episod 18 dan hayati apa yang berkisah di episod itu. Rumahtangga tidak terbina atas tapak cinta semata-mata. Sekiranya tapak cinta itu wujud, maka penyokong cinta itu adalah tanggungjawab dimantapkan bersama. Bahawa cinta itu sesuatu yang konkrit penuh hikmah jelas dibuktikan dalam buku ini.

Kesejahteraan rumahtangga tidak hanya tertakluk pada aspek fizikal - makanan berzat, pakaian serba cukup, hiasan dalm rumah indah-indah... Pengisian rohani memainkan peranan yang jelas menentukan kesejahteraan rumahtangga. Sejauh ini, rumahtangga ialah rumah yang dihuni suami, isteri dan anak-anak. Namun ustaz Pahrol melukiskan sebuah rumahtangga sebagai medan paling sesuai untuk seluruh anggota keluarga beribadat kepada Allah.

Buku ini mencungkil juga punca rumah tangga terumbang ambing. Pasangan yang tidak mematuhi peraturan Allah akan mendapati rumahtangga mereka tidak stabil lantaran masing-masing galak mengikut kehendak diri sendiri. Sebaliknya pasangan suami isteri yang merendah diri dan teguh memegang panduan jalan Allah akan dapat melayarkan bahtera rumahtangga dalam kesejahteraan, walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan.


Petua yang menjadi asas kepada kebahagiaan rumahtangga ialah kembalilah kepada syariat Allah. Hanya Allah tahu apa yang sebaiknya untuk kita. Masa masih ada untuk membaiki keadaan jika kita akur dengan kelemahan diri dan mula mengikut landasan Allah.

Buku Satu Rasa Dua Hati amat dalam penaakulan falsafahnya yang intim dengan tauhid. Kenali Allah dan kenali diri sendiri, maka barulah mengenali orang lain. Sesuai dibaca oleh semua lapisan umur tak kira sudah berumahtangga atau bakal berumahtangga atau masih belum mahu berumahtangga...

Kisah, sketsa dialog dan monolog tentang cinta dan kasih... Adunan pengalaman dan gelombang rasa di gerbang perkahwinan dan di alam rumahtangga. Bagaimana mencipta cinta sepanjang perkahwinan? buku ini punya jawapannya...


Selamat membaca...

************************


Dan sebelum saya tamatkan, ada satu perkara nak saya sampaikan... esok adalah hari lahir kepada seorang lagi adik saya di sini....


Kenal ke jejaka hensem ni??...

Ok!! Selamat Hari Lahir ADDY!!!... (saje je cepatkan ucapan ni sebab nak jadi orang pertama yang wish... heheheh.. aci ke gitu).. Semoga sihat-sihat selalu dan semoga segala kegembiraan dan keceriaan terus mengiringi Addy di sepanjang-panjang jalan hidup mu....

Selamat Hari lahir (di esok hari)



*****

Monday, July 20, 2009

Orang kecil berjiwa besar

Perjalanan sepanjang turun dari kawasan tinggi Cameron melalui jalannya yang berliku melingkar-lingkar terasa sangat memeningkan. Sebagai jalan penyelesaian, saya (dan kumpulan saya) singgah berhenti di hentian sebelah Tapah untuk mendapatkan sedikit rehat dan melegakan mana yang patut dilegakan memandangkan kami akan melalui perjalanan pulang yang masih jauh.

Kami terpisah-pisah di situ apabila semuanya punya tujuan berbeza. Ada yang ke tandas dahulu, ada yang bersolat Asar diutamakan, dan ada yang terus mencari bahan makanan untuk memenuhi kehendak perut yang lapar.

Selesai solat saya memilih untuk ke food court untuk mengisi perut yang kosong. Setelah mengambil makanan, saya memilih untuk duduk berkongsi meja dengan seorang anak muda yang kelihatan sebaya saya tapi pada perkiraan saya lebih muda dari saya. Berpakaian agak lusuh dan berwajah penat yang sedang asyik menikmati segelas fresh orange. Saya menghulurkan tangan dan kami bersalaman.

Kami berbual ringkas... namanya Azhar dan kerjanya pula sebagai pemandu lori yang berasal dari Utara tanah air.

"Cantik Handphone baru"... saya menegurnya dalam bualan ringkas itu dengan menegur pada telefon bimbitnya dari jenis baru (yang saya idamkan juga) dengan pemudah 3G dan masih di dalam kotak di hadapannya. Model ini kelihatan agak janggal untuknya kerana model canggih seperti itu biasanya digunakan untuk seorang eksekutif... begitu fikiran saya.

Sambil tersenyum dia menjawab, "Kotak kosong je ni. Tak ada isi pun.."

Jawapan ringkas itu mengundang rasa ingin tahu saya. Reaksi ingin tahu itu sudah cukup untuk membuatkan dia bercerita terus tanpa perlu saya bertanya.

"Sebenarnya macam ni, beberapa hari lepas saya ke Kuantan.. masa rehat makan kat satu gerai tu saya nampak satu bungkusan di sebuah hentian bas yang berhampiran, saya pergi periksa tengok dan mendapati kat dalam bungkusan tu ada sebuah telefon bimbit canggih!" Bicara dimulakan dengan penuh minat.

"Saya pun ambillah dengan harapan tuannya akan hubungi ke talian telefon tersebut dengan segera." dia kemudiannya berhenti sambil menjeling untuk menilai minat saya pada ceritanya.

"Akhirnya telefon tu berdering, dan kat hujung talian telefon tersebut tuan empunya telefon tu berulang kali ucapkan terima kasih." Dia berhenti dan menyedut lagi fresh oren di gelas yang semakin ke dasar gelas kuantitinya.

"Lepas tu.." tanya saya agak mendesak.

"Dia meminta saya menghantar telefon tersebut ke Kuala Lumpur sebab menurutnya telefon tersebut berharga hampir RM3000.00"

Sambil tersenyum sinis dia menyambung, "Semata-mata balik semula ke Kuala Lumpur untuk menghantar telefon tersebut bukanlah idea yang bagus.." Nampak agak berkira. Tapi bila memikirkan kerjanya sebagai pemandu lori yang terpaksa bergerak merata-rata, tiba-tiba kena berpatah balik ke Kuala Lumpur tentunya akan melanggar jadual tugasnya, apatah lagi perbelanjaan untuk ke Kuala Lumpur dari Kuantan memang besar juga.

"Pada akhir perbincangan dia memberi jalan penyelesaian akan menghubungi rakannya yang berada di Kuantan untuk bertemu saya di tempat yang akan dijanjikan semula bersama rakan tersebut." ujarnya.

saya masih mendengar dengan penuh minat.

"Kemudian pada hari tersebut, rakannya menghubungi saya, dan untuk memudahkan urusan kami berjanji bertemu di Masjid Kuantan. Kemudian pada waktu-waktu yang dijanjikan dan setelah menghubungi saya sekali lagi, kami bertemu. Dia bersalam dengan saya dan memperkanalkan diri. Seperti yang saya bincangkan dengan tuan telefon itu tadinya, saya terus sahaja menyerahkan handphone tersebut." Dia berhenti sekadar menarik nafas.

"Sebaik je dia dapat telefon tu, dia terus berlalu pergi. Ucap terima kasih pun tak sempat. Dia nak cepat barangkali. Tapi bukanlah masalah sangat, tapi dia berlalu pergi padahal saya tak sempat nak serahkan kotak ni yang pada masa tu berada dalam lori." Ceritanya panjang lebar.

"Ni yang tinggal kotak saja ni saya bawak ke sana ke mari" Ia membuat penjelasan mengakhiri cerita.

Saya yang menjadi pendengar cuba menguji dengan bertanya "Kenapa tak ambik je. Buang sim card dalam tu isi simcard baru, lepas tu boleh lah bergaya dengan handphone canggih mahal".

Masa tu saya lihat pandangannya serius. Gelas di tangannya diletakkan.
"Abang! saya boleh ambik hak orang lain tu, dan memang tak ada siapa akan tahu. Harganya mugkin macam yang disebut oleh tuan handphone, hampir RM3000.00. Tapi, nanti apa pulak akan jadi pada saya? Pasti Allah akan ambik pulak dari saya sebagai ganti dengan satu jumlah saya sendiri tak akan tahu nilainya. Mungkin lori saya kena langgar, harta saya musnah, keluarga saya ditimpa sakit atau apa sajelah, tapi yang pastinya akan ada balasan dari perbuatan saya tu."

Matanya bercahaya... Ada sinar yang mengagumkan.

"Apatah lagi balasan yang kita sama sekali tak boleh elaknya bila kita pulang ke Akhirat. Jadi, ada baiknya kalau saya pulangkan benda yang bukan milik saya. Saya tak rugi apa-apa. UJarnya bersunguh-sungguh sebagai mengakhiri bicara petang itu di hadapan gelas fresh orangenya yang telah kosong dan bersama sejambak contoh yang sangat indah.

Demi Allah saya kagum. Pemuda (yang masih muda) itu benar-benar telah mendapat didikan sempurna. Petang itu saya melihat seorang kecil yang mangagumkan (setelah sekian lama melihat orang-orang besar yang menjengkelkan).. Orang kecil berjiwa besar... Tanpa menuturkan dengan lidah, saya berkata dalam hati... Hebatnya anda! Kalau lah saya boleh menjadi sehebat anda....

Kami berpisah bila dia meminta diri untuk meneruskan perjalanan pulang terus ke kampung halamannya.

***
Apakah yang membentuk kelakuan pemuda tersebut walaupun tak ada CCTV yang memantau?
Ya!!! Kepercayaan yang ada dalam hatinya. Imannya menyelamatkan dia dari melakukan perkara yang salah. Benar, manusia yang punya arah akan mengawal nasib dan gaya hidupnya. Dan akhiratlah menjadi kompas kehidupannya.

Semoga Allah memberi rahmat di sepanjang-panjang jalan kehidupannya.....





Salam Israk - Mikraj



*******

Saturday, July 18, 2009

Tanda ingatan lagi

Aha.. seronok bila diingati. dengan pemberian tanda penghargaan persahabatan... Sekali lagi (untuk kesekian kali nya), saya diberi award lagi. Kali ni diberi oleh Kakak KLCITIZEN... ni award dia...

Best Blog award... hmmmm... terima kasih tak terhingga untuk kak klcitizen atas penganugerahan yg berharga ni. terima kasih daun keladi. kalau ada lagi nanti jgn lupa bagi lagi ya (nak lawan kak tirana nihh - dia dpt byk betul award.. heheheh)...

ok, berikutnya satu lagi tanda ingatan... TAG. yeah. kena tag lagi sekali. kali ni DIR pulak yang bagi... jom kita jawab apa dia punya soalan....

THREE NAMES I GO BY
1. Jericho Rosales... errrkkkk!!! (biar betul).

2. Anak-anak buah semua panggil saya Anjang (Pak Anjang sebenarnya - saje je tak nak letak 'Pak' tu... baru rasa macam muda sikit. kann..)

3. Ada bermacam panggilan sebenarnya. Ada member panggil Khi, ada yg panggil Bada, ada yang panggil Shuk, ada yang paggil Ari, ada yang panggil Abang... pilih lah mana yg rasa best.

THREE JOBS I HAVE HAD IN MY LIFE
1. Masa lepas abis SPM saya kerja kat Hotel Seri Malaysia... jadi GM. GM=General Manager. Best woooo, datang je terus duk atas kusi pusing2 arah orang buat itu ini... hmmm, errr... ok, jangan percaya tipu daya semata-mata. Kerja kat bahagian dapur tukang cuci pinggan je. Tapi sangat ok lah. sebabnya dari situlah saya belajar masak sikit-sikit, belajar potong bawang dgn betul, potong ayam dengan betul potong kentang dgn betul. Kira byk jugaklah hal-hal di dapur yang saya dapat lakukan dengan betul dan sekarang ni saya bolehlah masak beberapa jenis masakan yang enak seperti masak nasik, air dan telor rebus... (Yang enak?)

2. Jadi desktop publisher kat TTDI. Kerja dia men'design'kan dan meng'layout' buku-buku dan majalah. Mewarna gambar-gambar kartun dan membuat lukisan secara menipu tapi orang kata lukisan betul...

3. Sekarang, Grafic Designer. errrrr, sebenarnya tak ada beza pun dgn desktop publisher. kerjanya sama je. design mendesign.

THREE PLACES I HAVE LIVED
1. London... Tapi sebab tak tahan sejuk, saya balik dok Malaysia semula. Maklumlah saya ni tak boleh dok kat tempat sejuk nanti kulit jadi gelap... pastu naik jerawat.

2. Yang nombor 1 kat atas tu jangan percaya sangat lah. auta je lebih tu. tahun lepas dan beberapa tahun yang lepas (maksudnya 7 hingga 8 tahun yg lepaslah) saya dok KL. kat sg. Penchala. Mula-mula dok dekat dgn rumah Maya Karin (yang ni tak tipu tau) rumah maya karin memang betul2 kat tepi hutan yg byk pokok durian. pastu depan rumah dia byk tempayan... (apehal dok citer pasal rumah maya pulak ni). Pastu saya pindah dok kat luar sikit (masih lagi kat Sg penchala) - bukan apa, sebab dekat sgt dgn rumah Maya karin jadi seram pulak. Takut je malam-malam bulan mengambang tetiba dengar suara "Pulangkan!! Pulangkan!!" hah engkau, tak ke haru...

3. Sekrang saya dah balik dok dengan mak dan ayah kat pahang. Oklah sikit kan. byk dapat jimat. rumah tak yah sewa, makan ada orang masak, kain baju adik-adik tolong basuh... senang hati - berat badan pun dah naik dekat 5 kg dlm masa tak sampai setahun nihh... hadoiiiiii...


THREE TV SHOWS THAT I WATCH
1. Tak suka sangatlah tengok tv... tapi sejak hari tu tengok citer 'Nur Kasih' best pulak...

2. Citer Naruto (hihihi) Wonderpets, Geng Bas Sekolah, Ben10, Otromen, Power Rangers...

3. Smallville, Hero's, Kyle XY, Keliwon (pasal tak seram - kalau seram memang saya tak tengoklah), majalah 3, iklan bio aura (apa tu bio aura).. **Tadi kata tak suka tengok tv**

THREE PLACES I WANT TO GO (right now)
1. Right now??? hmmm. nak pergi KL lagi nak tengok harry porter pulak.

2. Katil... Pasal dah ngantuk sangat. Tapi sebab panas, dapat landing kat sofa orait jugak.

3. Tak terasa nak gi mana-mana pun sebenarnya. Sebab faktor kewangan yang tak berapa nak mengizinkan. Cuba duit byk, segala tempat kalau boleh nak pergi...

THREE OF MY FAVORITE FOODS..
1. NASIK.. yes. memang tak syak lagi. nasik dan saya memang tak dapat dipisahkan, kami memang kamceng sejak kecik lagi.

2. Cis kek.. secret resepi. lebih-lebih lagi yang orang belanja. perghhhh.. memang lazat.

3. Nasik goreng... (nasik jugak ke?)

THREE THINGS I AM LOOKING FORWARD TO
1. Suruh Mak pergi merisik...

2. Suruh mak pergi meminang...

3. Errrrrr... Kawin lah. Apa lagi??

THREE PETS THAT YOU HAVE OWNED
1. Seekor kucing bernama Hitam (tapi bulu dia kaler putih) tapi dah mati sebab tua..

2. Seekor kucing bernama Jusoh (apalah kampung sangat nama dia nih)... Tapi dah mati jugak walau pun masih muda (itulah, mati ni tak kenal usia).

3. Seekor kucing yang tak de nama lagi. Warna putih, tapi saya dah warnakan dgn kaler coklat buat belang-belang... (suka buat kerja tak senonoh gini tau)

THREE FRIENDS WHO WILL REPLY
1. Ntah...

2. Tak tahu...

3. No idea...

THREE FAVORITE BANDS/SINGERS (for now)
1. Hijjaz...

2. Tok iti

3. Inul daratusta (erkkkkkk)...

THREE FAVORITE SPORTS TO WATCH
1. Saya menggemari sukan-sukan rakyat seperti Lumba Motor, Lumba kereta dan lumba kuda...

2. Oleh kerana jawapan satu saya dah senaraikan 3 jenis sukan, jadi no2, dan 3 tak payah isi dah lah...

3. ... seperti di atas.

THREE FAVORITE DRINKS
1. Bio aura - 'airnya pun jernihh, tak berbau pulak tu' - hari tu sekali buat mandi pun pakai air bio aura.. heheheh - bukan apa, untuk cantikkan kulit... gituuu.

2. Limau ais - boleh membakar lemak-lemak kat perut yg dah semakin berkembang secara pesat ni.

3. Tea perisa straberi yang beli kat cameron helen hari tu. best.. kalau bancuh dgn susu lagi best. cubalah...


haaa... ok.. tamat sudah.... sekian.

Thursday, July 16, 2009

"Temankan saya" - ke alam barzakh...

Satu ketika...
Tergamam sebaik sahaja menerima panggilan telefon memberitahu seorang sahabat terlibat dalam satu kecelakaan jalan raya. Lebih tersentak lagi, tragedi tersebut meragut dua nyawa; pemandu teksi yang ditumpangi dan suami kepada sahabat itu...

Selain suami sahabat dan pemandu teksi yang tidak dapat diselamatkan, keadaan sahabat itu juga diberitakan parah - luka besar di bahagian kepala serta patah bahagian tangan kanannya di antara bahu dengan siku.

Cemas dan debar yang menggasak dada tidak tertenangkan kerana nasib seorang anak kecil yang turut terlibat sama, belum diketahui. Seorang bayi yang berumur setahun dua bulan...

Akhirnya, jalan terbaik untuk mengetahui cerita sebenar ialah dengan pergi menjenguk sendiri. Mudah-mudahan terbangkit rasa insaf dari kejadian yang menimpa - betapa dengan hanya sekelip mata saja sedikit kelalaian boleh mengkibatkan bencana dan duka yang tidak sudah.

Syukur melihat mangsa telah sedar setelah menerima 20 jahitan di kepala. Tangan yang patah terpaksa disimen dan dibelat. Anak kecilnya mengalami sedikit luka didagu.

Mendengar cerita darinya, hati kecil benar-benar mengakui kematian sang suami benar-benar telah tertulis dalam suratan takdir Allah. Ajalnya memang di situ dan diwaktu itu.

Awalnya mereka tiga beranak berada di tempat duduk belakang. Tetapi belum sempat separuh perjalanan, pemandu teksi mempelawa si suami duduk di hadapan menemaninya berbual-bual. Baru hanya beberapa kilometer bergerak semula, terjadilah apa yang telah terjadi.

Ia bermula dengan kemunculan sebuah van dari arah bertentangan bergerak dalam keadaan membahayakan. Van yang bergerak bagai tiada kawalan sehinggalah dua kenderaan bertembung.

Pemandu dan penumpang yang berada di sebelah kirinya meninggal ditempat kejadian. Penumpang yang baru beberapa minit sebelum itu berada di belakang, dijemput menjadi teman berbual... rupa-rupanya bukan sekadar teman berbual tetapi teman mengadap Tuhan...

Peristiwa ini mengingatkan saya pada satu kisah malaikat maut dengan seorang pemuda yang menghadiri majlis keramaian Nabi Sulaiman a.s. - Allah menetapkan pemuda itu akan meninggal di sebuah pulau. Dan waktu ajalnya sudah sangat hampir sedangkan pemuda itu masih berada di tempat yang sangat jauh dari pulau tersebut.

Sebentar kemudian pemuda tersebut mengadap Nabi Sulaiman dan mengadu tentang rasa bimbangnya kerana asyik diperhatikan oleh seorang yang menakutkan. Pemuda itu meminta perlindungan dari Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman pun memerinthakan jin membawa pemuda itu ke sebuah pulau yang jauh. Mungkin di pulau sana pemuda itu boleh berehat dengan aman tanpa gangguan. Tetapi di sanalah pemuda itu menemui kematiannya.

"Dari Allah kita datang, kepadaNya jua kita kembali"..

Tragedi jalanraya - cermat, teliti, waspada dan berhati-hati adalah kunci utama untuk mengelaknya. Baik yang berada di laluan kiri atau kanan. Itu ikhtiar kita untuk selamat. (teringat juga, saya antara yang paling suka memandu laju.. laju selaju-lajunya...)

Jika tidak akan berlaku pula seperti yang selalu disebut-sebut. 'Kalau kita tak langgar orang - orang yang akan langgar kita'. Itu kerana ikhtiar untuk selamat hanya dilakukan oleh sebelah pihak sahaja.

Pun begitu, percaya dan yakin pada hukum qadak dan qadar Allah mesti menjadi pegangan. Supaya dengan itu kita tidak merasa kecewa, marah, benci atau putus asa. Supaya dengan itu kita mengetahui betapa mahalnya harga sebuah sabar dan redha kerana di dalamnya terdapat ganjaran nilai yang hebat dari Allah....