Saturday, May 9, 2009

IBU...


kisah ini telah saya ceritakan dulu. tapi bersempena hari ibu, biarlah saya ceritakan sekali lagi untuk iktibar (jika boleh diambil iktibar darinya)..




Badannya kurus menampakkan rangka yang kecil. Matanya hampir tertutup dengan tahi mata. Jalannya perlahan tidak teratur.

Dia sakit - begitu jangkaan saya.
Saya memegangnya perlahan-lahan. Dia menjilat-jilat - kelaparan.

"Kita ambik ya Anjang!!" Tanya anak saudara saya... ***yg seorang ini memanggil saya tanpa menggunakan gelaran Pak... Hanya Anjang sahaja - tidak seperti anak suadara lain memanggil saya Pak Anjang (hmmm rasa lebih suka dipanggil mcm ni... tak rasa tua sangat)***

"Boleh! ambik je." jawab saya. Saya dengan anak saudara yang ini memang ngam.

"Nanti Tok Ma marah..."

"Tak apa, biar Anjang cakap kat Tok Ma... Ambik dulu."

Anak kucing yang berwarna kuning keperang-perangan itu didakapnya.

Tiba-tiba dari celah meja di pasar petang itu muncul seekor kucing betina dan dua ekor anaknya. Daripada rupanya, saya boleh jangkakan itulah ibu kepada anak kucing yang sedang didakap anak saudara saya.

"Anjang...!! tu ibu dialah." Anak saudara saya menunjukkan kepada ibu kucing tersebut.

Saya angguk. Hati mula berbelah bagi. Hendak saya ambil atau tinggalkan sahaja anak kucing itu. Saya renung ke arah ibu kucing. Badannya merebeh bahagian perut. Kurus kering... matanya juga hampir tertutup - juga sakit barangkali. Dan saya renung pula pada anaknya yg berada bersebelahan dengannya. Warnanya juga kuning keperangan... juga kurus dan lemah.

"Macamana Anjang??" Anak saudara saya minta kepastian.

Saya diam berfikir. Merenung dan menimbang-nimbang, Ma di rumah tentu keberatan memberi izin sebab ini bukan kali pertama kami membawa anak kucing pulang. Di rumah telah ada 3 ekor anak kucing apabila coyote -ibu kucing kami, beranak 3 minggu yang lalu. Muka Ma pastinya berkerut. Bukanlah dia benci tapi Ma merungut justeru sukarnya menjaga makan minum dan kencing berak anak-anak kucing yang sedia ada. Itu tidak termasuk lagi kucing 'PATI' yang selalu bertandang ke rumah kami menagih makanan. Namun, tubuh kurus kering dan mata layu daif anak kucing itu seolah-olah merayu saya...

"Kita ambik..." kata saya pendek. Anak sauadara itu patuh. Kucing kecil kurus itu didukung dan di bawa pulang.

"Kenapa tak pilih anak kucing yang lagi dua tu?" anak sauadara saya betanya bijak.

"Kita terpaksa pilih, Biarlah dua ekor lagi tu, ibu dia yang jaga. Yang ni kita jaga..."

"Kenapa pilih yang ni?" Anak saudara saya masih bijak tutur tanyanya. Banyak pula soalnya. Tapi ya juga. Kenapa yang seekor ni jadi pilihan. Bukan yang dua lagi...

"Yang ni lebih kurus. Lebih sakit dan lebih lemah. Yang tadi tu nampak sihat. Biar emak dia jaga. Kita boleh jaga dia lebih baik daripada emaknya. Kat rumah kita ada banyak tempat perlindungan daripada panas dan hujan. Kalau tinggal kat pasal ni, nanti, kucing ni jadi lemah dan mati."

Sesampai di rumah anak saudara saya mula sibuk. Disiapkan susu, disediakan makanan berzat khusus untuk anak kucing. Si comel nama diberikan. Saya dan anak saudara ini mula sibuk dengan operasi menyelamat tersebut. Kucing-kucing lain hilang keistimewaan. Coyote dipindahkan ke sangkar kelas ke dua bersama anak-anaknya.

Keutamaan diberikan kepada si comel kerana keadaannya yang daif dan lemah. Setelah bersungguh berusaha, saya yakin Si comel akan berjaya diselamatkan. Nasibnya tentu lebih baik dari saudara kandungnya yang dijaga oleh ibu yang daif.

Dia akan selamat... InsyaAllah... begitu bisik hati saya.

Sehari, 2 hari, 3 hari... si comel masih begitu-begitu juga. Matanya masih tertutup. Badannya masih tidak ada perubahan.

Pukul 4 petang, hari kerja... handphone saya berbunyi. Anak saudara memberi salam dan menangis.... Si Comel mati.

Ketika balik saya melihat sangkar istimewa si Comel telah dihuni oleh Coyote dan anak-anak.

**********


"Anjang rasa, adik beradik Si Comel pun mati jugak ke?" tanya anak saudara saya setelah seminggu comel mati.

"Hmmm tinggal kat rumah, makan sedap dan berkhasiat pun si Comel boleh mati. Anjang rasa anak kucing yang kita tinggal kat pasar tu pun mati jugak."

"Betul ke Anjang?"... ... ...
Saya terusik dengan pertanyaan itu. Ingin juga saya pastikan.

Satu hari setelah beberapa minggu peristiwa itu berlalu, saya pergi lagi ke pasar itu. Anak saudara yang sama masih suka mengikut. Ma sudah menyelinap di sebalik kesibukan manusia membeli belah. Saya dan anak saudar berjalan di tepi gerai menjual sayur...

"Anjang, Anjang..." Panggilan anak saudara tiba-tiba mengejutkan.

"Kenapa?"

"Tengok tu..." Katanya sambil menunjuk ke satu arah.

Kelihatan anak kucing 'Saudara' si comel berlari-lari cergas bersama ibunya. Nampak sihat dan lebih gemuk. Begitu juga si ibu. Kelihatan lebih kuat dan aktif.

"Anjang betullah ni saudara si Comel." Kata anak saudara saya sambil mendukung anak kucing itu.

Saya diam. Rasa kesal, malu dan bersalah bertubi-tubi menimpa.

"Dia tak mati pun Anjang." Perlahan suara anak saudara menghiris hati. Ternyata keputusan saya memutuskan kasih sayang si Comel dengan saudaranya adalah salah.

***************************

"Nak tahu kenapa Anjang bersalah?" Akui saya dalam perjalanan pulang dari pasar.

Anak sauadara saya diam terus mencari-cari jawapan.

"Anjang bersalah sebab dah putuskan kasih sayang si Comel dengan ibu dia. Anjang fikir, si Comel boleh sihat semula hanya dengan makanan dan perlindungan. Anjang lupa, binatang pun perlukan kasih sayang dari ibunya."

"Ingat tu, kasih ibu tak boleh ditukar ganti..." tiba-tiba Ma saya mencelah.

Saya termenung sendiri... itu baru anak kucing... Bagaimana pula anak manusia yang diputuskan kasih dengan ibunya, Pasti lebih derita...

Hati terus diburu rasa bersalah. Memisahkan si comel dengan ibunya. Angkuhnya diri, apabila merasakan boleh gantikan kasih sayang ibu. Hakikatnya saya tidak layak menjadi pengganti ibu... sekali pun ibu bagi seekor kucing**

Kasih Ibu tiada gantinya....



***************************************************************

Kisah 2

(cerita ke dua ni saya sedut dari cerita yang ditulis dalam buku motivasi 'U-Turn Ke Jalan Lurus - tulisan ustaz Zul Ramli M. Razali... (bedasarkan kisah benar juga))

*** Seorang pemilik dusun durian bercerita, apabila datang musim durian, kerja yang paling sukar adalah untuk mengawal bunga durian daripada dirosakkan oleh haiwan. Dan haiwan yang paling sukar dikawal ialah monyet...

Apa yang dilakukan ialah mereka terpaksa berkawal seperti soldadu ketika darurat. Siang dan malam kena berjaga, kalau tidak musuh akan menang. Dengan selaras senapang bersama peluru daripada belerang panas, tembakan yang menjerit diseluruh lembah mencari sasaran. Mana-mana monyet yang kelihatan akan jadi mangsa.

Pada satu petang... seperti hari-hari lain dia keluar berkawal. Di hujung dusun kelihatan pokok duriannya bergoyang. Perlahan-lahan dia berjalan mendekati pokok tersebut. Di sebalik sebatang pokok yang lain dia bersembunyi dan dengan jelas dia nampak dari arah belakang seekor monyet sedang lekan menikmati bunga durian, meratah dengan lahapnya. Tanpa berlengah dia mengangkat senapangnya membidik, nafas di tahan jarinya memetik picu
dan:

Dammmmmm!!!!

Bunyi tembakan bergema memecah sunyi petang. Bersama tembakan itu terdengar bunyi susulan jeritan monyet kesakitan. Peluru menembusi seluruh bahagian belakangnya. Dalam keadaan serba gawat itu sebelum dia benar-benar jatuh ke tanah, tangannya sempat mencapai satu dahan dan bertahan di situ...

Apa yang mengejutkan ialah bergayut di bahagian leher monyet itu, seekor anak monyet. Ertinya dia telah menembak seekor ibu monyet. Di atas dahan berlaku sesuatu yang menakjubkan dan menusuk kalbu. Ibu monyet sedang bertarung dengan nyawanya sendiri, darah menitis deras keluar dari tubuhnya yang terkoyak-koyak diterjah peluru. Di atas dahan itu kelihatan tubuhnya menggeletar kesakitan dengan raungan menahan bisa yang tidak tergambar.

Anak monyet yang ketakutan menangis dan mendakap kemas ibunya. Ketika inilah ibu monyet yang sakit memaut anaknya, menyusukan si anak dalam lelehan serta bau darah yang tepercik di serata dahan. Pada ketika yang lain apabila mulut anaknya terlepas dia meraung ketakutan, si ibu dengan segala kesukaran memautnya kembali dan memberinya susu.

Darah terus mengalir keluar dari tubuh ibu, ia kian lemah.

Ketika itu dengan tangan lemah diangkat anaknya dan dilatakkan di dahan lebih tinggi. Apabila seluruh kudratnya hilang si ibu rebah dan jatuh dari dahan yang tinggi menyembah bumi. Di tanah, matanya berkaca bercampur darah memerhatikan kepada anak yang terus ketakutan dan mati perlahan-lahan...

"Anak ku... cukup sampai di sini, itu sahaja yang ibu terdaya untuk menjagamu"... mungkin begitu kata hati si ibu...

Semua drama ini disaksikan oleh penjaga dusun... ada rasa yang sukar untuk diterjemahkan...

***
Kisah ini sangat menginsafkan saya... tidak perlu dijelaskan secara panjang lebar bagaimana kuatnya fitrah keibuan yang di kurniakan kepada ibu walaupun ibu itu seekor monyet...

ya! tidak perlu dijelaskan lagi... sebentar lagi saya akan menemui ibu saya, menyalaminya, mencium pipi berkedutnya dan meminta maaf atas segala dosa saya padanya... dan mengucapkan betapa saya menyayanginya....

I LOVE U MUM!.... selamat hari ibu...
untuk semua ibu-ibu juga... selamat hari ibu....

18 comments:

Shitsurei shimashita said...

ayah dan ibu
tempat permulaan kami
dan kerana gagal menyahut panggilan ibu, seorang alim ibadatnya susah meninggal dunia.
huhukk..i miss my mum and family.

a.b geldofg said...

apakan semua ibu bhati mulia?

addyaholix said...

tulisan kamu mampu buat airmata jatuh bang.

kasih ibu sampai ke syurga.
selamat hari ibu buat mak.

Tirana said...

Sebak rasanya membaca cerita yang bersangkut paut dengan kasih sayang seorang ibu tak kiralah ibu manusia atau ibu binatang...

Kak tirana mohon izin untuk copy cerita ini. Nak simpan dalam blog kak tirana buat pedoman anak-anak...

chimera said...

shitsurei - kisah sahabat nabi yg hanya melebihkan isterinya 'sedikit' sahaja dan membuatkan ibunya kecik hati juga susah menghadapai saat sakaratul maut... semoga tidak ada perbuatan kita yg mengcikkan hati ibu kita...





ab - tak tahu nak cakap.. mungkin ya... tapi dihalang oleh rasa-rasa lain yg ada di hati mereka...




mel - itulah dia... tak tahu nak jelaskan, pd sesetengah bahagian, manusia atau haiwankah yg lebih mulia sifatnya...




addy - saya juga sebak sendiri dgn kisah ni...

selamat hari ibu juga utk mak addy.





kak tirana - Bila manusia tak mampu tunjukkan teladan yg baik (tapi yg pastinya kak tirana adalah ibu yg baik)... maka Allah tunjukkan contoh teladan melalui makhluk2nya yg lain pula... byk sgt yg kita boleh pelajari dari persekitaran kita...
Selamat Hari Ibu Utk Kak Tirana juga...
copylah kak... perkara baik perlu dikongsi bersama... (tapi kisah kedua tu kena bagi kredit kat ustaz Zul Ramli ya sebab saya tulis berdasarkan kisah dia)...

sharamli said...

sedey t0l...
hu3..
epi m0ther's day

miEchi said...

membaca satu persatu....

:: Cikgu Wiween :: said...

i love my mum too. *sob* tiba-tiba sedey

chimera said...

sha - epi mothers day jugak utk sha dgn mak sha....



miechi - panjang kan... bimbang jugak kalau sampai org naik bosan baca tu....




ween - i love my mum too, three, four, five... six... ten... puluh-puluh... ribu-ribu... juta-juta... infinity....

:: Cikgu Wiween :: said...
This comment has been removed by the author.
:: Cikgu Wiween :: said...

heleh...syg mak..tp ade tolong mak masak and kemas umah ke x arini?? :p

chimera said...

ehhh... adik pompuan saya semua ada kat rumah hari ni... masak semua diorg yg buat... tapi saya tolong basuh baju... haaaaa... baik kan

:: Cikgu Wiween :: said...

heleh...yer laa tu tolong basuh baju. abg batman tu bukan ke kerjanya tido siang malam berjaga bertugas menjaga keamanan jengka city?? hakhakha ;p

chimera said...

betulll saya basuh baju... tapii basuh baju sendiri lah.. heheheh... see, tak nyusahkan mak. haa, mlm2 sambil menjaga keamanan tulah saya sidai baju di jemuran... esok pagi. angkat... hahahah

:: Cikgu Wiween :: said...

ceehhhh ingat tolong mak basuh baju suma org. abg batman nih mmg. penuh penyakit M nih hakhakhak

Izariza said...

salam,

sampai kapanpun.. kasih ibu tetap infiniti .. :)

Ejump said...

ouch~~ cpt tisu!!...hurmmm...

ape2pun ...selamat ari ibu juga tuk ibu chimera...hurmmm...

chimera said...

Izariza - salam... yeah... kasih ibu - infiniti + infiniti + infiniti......



e jump - tisu nak lap ignus ke... haha
mekasih... selamat hari ibu jugak utk ejump... errrrrr... utk ejump???