Showing posts with label cabaran yoyooh. Show all posts
Showing posts with label cabaran yoyooh. Show all posts

Thursday, June 11, 2009

cerita di sebalik gambar...



Satu ketika... Saya termasuk dari sejumlah besar manusia-manusia Kuala Lumpur yang tenggelam dalam kehidupan yang begitu rutin. Pagi hari berkejar-kejaran meninggalkan rumah, berhimpit-himpitan di jalan, di kenderaan awam, di stesen bas, di terminal Putra-LRT, menuju tempat mencari nafkah. Di petang hari kembali berkejar-kejaran pulang ke rumah masing-masing.

Hidup rutin manusia Kuala Lumpur secara tidak sengaja saling melukakan. Lucunya kita tidak saling mengenal. Namun rutin... dari hari kehari, dari bulan ke bulan, tahun ke tahun, membuat kita dapat mengenali wajah-wajah tertentu yang kemudian jadi terasa begitu akrab - namun tetap tak dikenali...


Sudah lama saya tidak melibatkan diri dalam kesesakan dunia sesak ini... Tapi musim perkahwinan kali ini (dan di lain-lain waktu juga) memaksa saya memasuki dunia rimas ini untuk memenuhi undangan hari bahagia seorang
teman....


Dalam perjalanan pulang...
dari majlis bersejarah seorang kenalan di Kelana jaya...
Menjengah masuk ke laluan sebenar dalam tali arus kereta di LDP yang sesak
seperti arus Sungai Klang yang kuning, pekat, sarat dan sebak dengan beban.


Kesesakan terus membawa ke MRR2...

Saya bermonolog sendiri
apakah yang membawa kita semua ke arus sesak ini ?
Terpaksa bertekun melihat lampu merah kereta hadapan
menekan brek dan gear rendah
bernafas sabar dalam irama resah
Di dalam arus ini kadang dengar bunyi gerit tayar terheret cemas
gempita hon tingkah bertingkah
udara kondisi rimas berjerami
kadang seranah yang muntah
ada amarah yang tak mampu ditahan.

Tapi...
Walau seribu payah kita tetap membawa diri ke arus sesak ini.

Sekiranya kita menjadi seorang polis pada petang ini dan menahan,
bertanya
pada setiap kereta
dan pemandu terpaksa menggelunsur turun cermin;

"Sebenarnya anda semua tiada tujuankan ?"
"Sebenarnya anda tiada destinasikan?"
"Anda hanya jalan-jalan di arus inikan?"
"Seleruh kesulitan ini hanya suka-sukakan?"

Semua tentu marah, bukan kerana sesak arus itu, tetapi pada soalan yang tak lucu.
Tiada orang di sini yang tak punya arah
tiada orang di arus ini yang tak punya matlamat
tiada orang sedang sesak ini yang tak punya destinasi !
Kerana arah, matlamat dan destinasi membawa kami ke sini...

Mari kita bermuhasabah..
Kereta di jalan Kuching semuanya pasti tentang arah
tahu apa matlamat
di mana destinasi..
Juga kereta di Jalan Ipoh... Atau di Jalan Parlimen...
Tetapi, berapa ramai manusia di arus hidup ini dengan laluan bersesak
(Ada yang datang hari ini dan ada juga yang berangkat pergi ke alam lain buat selama-lamanya)
tahu.. tentang arah
apakah matlamat dan di mana destinasi hidup ini ?

Adakah hidup ini hanya hidup-hidupan seperti rumput meliar, bertunas baru, menghijau kemudian kuning kekeringan tak lama kemudian terurai mereput dalam putaran alam ?
Atau seperti haiwan ternak yang hidup hanya untuk hidup semata,
bangun pagi untuk makan
kemudian minum
kemudian kahwin
kemudian berkrisis
kemudian main
kemuadian tidur
kemudian mati...jadi tanah.

Meneroka ke alam diri dengan ciptaan yang sangat kompleks membuat kita berfikir, hidup ini bukan untuk di sia-siakan tetapi ada matlamat, ada arah dan destinasi !



Dalam arus kenderaan yang berjejer dan hari yang kian suram, matahari kian kelam..
mari mencari makna hidup,
bukan dalam minda
tapi dalam kelung rasa
sehingga memuncak sedar tentang Tuhan yang menghantar kita ke sini
membekal keperluan dengan segala warna warni indah, hidup berabdi padaNya bernafas dalam tulus Ilahi.
Dan selanjutnya bertanya ..telah bersediakah kita ke destinasi itu?
Dalam rembang esok yang tak pasti buat kita..

Opps.. saya akan menyusur ke Lebuh Raya Karak... melepasi Plaza Tol Gombak.. selamat tinggal sesak !

(dalam doa bangun tidur pagi tadi kita menuturkan ... Dan kepadaNya kita menuju..)


********





Ini Encik Pilot... heheheh...







teka-teki... banyak-banyak jalan, jalan mana tikus takut nak lalu...

jawapan: Jalan Kuching... heh... ok, ok.. teka-teki tak berapa cerdik...



entri ini untuk jawapan cabaran Yoyooh minggu 6...



******************************************

Thursday, June 4, 2009

walau cuma lima sen -

Monolog Tazkirah untuk diri...

-2.38 am... huh! kenapa di waktu lewat begini mata ini masih terasa segar. Sedang kepenatan semakin menjengah..


Ada sesuatu yg bermain di minda...

HUTANG-HUTANG KU...



- Walau cuma lima sen, hutang tetap dikira besar jika tidak kulangsaikan, begitu bisik hati ku ketika melihat catatan hutang piutang malam ini.

Ah! betapa di kegelapan ini aku cuba mengira-ngira hutangku dengan manusia, agar lunas juga dengan Pencipta. Biarlah dalam gelap ini aku disesah resah, agar di sana nanti disinari cahaya.

Terngiang-ngiang pesan ulamak, kekadang hutang kita dengan manusia lebih sukar kira bicaranya berbanding 'hutang' kita dengan Yang Esa. Betapa buruknya wajah yang tidak melunasi hutang di dunia ketika berdiri di Padang Mahsyar kelak... Ah! Roh para Syuhadak lagikan tertahan - tergantung oleh hutang mereka, inikan pula aku hamba yang penuh dengan alpa dan dosa ini.

Mengapa sangat berat ketika membayar hutang padahal terasa begitu ringan sewaktu memohonnya? Adakah aku sudah berkira-kira untuk tidak membayarnya sejak awal lagi?
Jika begitu halnya, alangkah hinanya diri ini kerana itu hakikatnya bukan berhutang, tapi mencuri.

Alangkah tidak merdekanya orang yang berhutang. Siang menanggung malu, malam menanggung resah. Betapa murahnya harga diri orang yang culas membayar hutang di depan orang yang memberi hutang. Sekalipun dia seorang 'agamawan' - yang begitu arif tentang ilmu wahyu dan sabda, tetapi dia hanya layak berteleku bila berdepan dengan orang yang dinafikan haknya untuk mendapat kembali apa yang dihutanginya.

Ah!! Aku tidak mahu menjadi salah seorang dari mereka. Ingat wahai diri - Ayat al-Qran paling panjang dalam surah paling panjang ialah mengenai hutang. Dan ayat itu asal mulanya hanya tentang sebuah bekas air! Mari wahai diri... mari tatapi ayat itu buat kesekian kalinya. Bukalah lembaran kitab suci dan lihatlah surah a-Baqarah ayat 282.

Perincian tentang tatacara berhutang dalam ayat itu menggambarkan betapa seriusnya Allah apabila membicarakan soal hutang dikalangan hamba-hambaNya. Apakah aku memahami, merasai dan bertindak selaras dengan keseriusan itu? Atau, aku hanya merasakan ayat itu ditujukan kepada orang lain, bukan untukku. Jika demikian, alangkah tertipunya aku, kerana ayat itu memang ditujukan kepada aku yang masih berhutang ini.

Sesekali, ada justifikasi yang menerjah hati... Mati ketika meniggalkan hutang bukanlah seaib mana. Apatah lagi apabila melihat para Salafussaleh ada juga yang mati meninggalkan hutang. Mereka yang 'hebat' itu lagikan berhutang, apalagi aku...
Ah! itu semua cuma alasan Syaitan. Mengapa tidak ku perhatikan dan kuperhalusi bagaimana kesungguhan mereka itu mahu membayarnya? Bukankah mereka sudah berusaha sehabis daya, tetapi tidak kesampaian juga... Sejarah memaparkan kerisauan mereka yang berwasiat untuk 'gadaikan itu dan ini' hanya untuk langsaikan hutang yang masih berbaki...

Wahai diri, jangan kau tertipu... Berbeza sungguh tujuanmu berhutang dan tujuan mereka berhutang. Berbeza sungguh kesungguhan mereka membayar dan kesungguhanmu membayar. Berbeza sungguh kebimbangan mereka ketika tidak dapat membayar, dengan kebimbangamu ketika tidak membayar hutang. Kau masih tersenyum, ketawa, berjalan bagaikan wira, menabur bunga-bunga kata kononnya engkau wira segala... tetapi Allah tahu betapa 'busuknya' hutangmu itu. Jika hutang itu berbau, pasti manusia lari meninggalkanmu. Tidak malukah kau, dicemuh oleh orang yang tahu rahsiamu... "Ah! dia itu kokoknya sahaja berdegar-degar, ekor diselaputi hutang!"

Mulai saat ini... aku dan kita, ketika ada rezeki yang datang menjengah, kan ku katakan itu bantuan Allah untuk melunasi hutang-hutang ku. Aku akan makan minum sekadarnya. Menggunakan di tahap keperluan dan selebihnya aku mesti gunakan untuk membayar hutang. Dan mulai saat dan detik ini, aku berazam untuk tidak berhutang hanya untuk 'melebihi' kadar keperluan dan kemampuan hidup. Aku sepatutnya malu... Apabila harga diri dipertaruhkan sebagai 'deposit' untuk berhutang.

Teringat aku kata Syaidina Umar... "Jika minum air seteguk air ketika sangat dahaga itu akan menjatuhkan harga diriku... Nescaya aku tidak akan meminumnya...

Ya!! Alangkah beertinya hidup ini jika 'memberi'... dan memberi paling utama ialah memulangkan semula hak kepada pemiliknya...

*******


tulisan ini adalah sebagai menjawab cabaran Yoyooh.com bagi minggu 5





******

Thursday, May 28, 2009

Do's & Dont's

Jika kita buang huruf 'K' pada perkataan kawan... dan kita gantikan dengan huruf 'L'... kita boleh buat kesimpulan begini. Kawan boleh bertukar menjadi lawan dengan hanya dua langkah mudah sahaja... Tapi, dalam kehidupan sebenar, satu langkah pun sudah memadai.

Kita boleh memilih dengan siapa sahaja untuk kita berkawan, tanpa sebarang alasan yang kukuh sekalipun. Mungkin hanya sebab dia baik, atau sebab dia cantik, atau mungkin dia penyabar. Tak kira apa juga alasan, bergaullah sebaiknya dengan mereka...

Saya pernah membaca tulisan seperti ini:

"Selalu ada timbal balik dalam suatu persahabatan tapi bergantung juga pada apa niat persahabatan tersebut, boleh jadi putaran yang saling berjalan, saya kurang faham apakah hubungan manusia dengan alam, lingkungan makhluk hidup bukan manusia juga boleh disebut suatu konsep persahabatan (dalam erti sebenarnya) tapi yang jelas hubungan kita dengan mahkluk di dunia ini boleh jadi akan menciptakan harmoni yang indah jika didasari rasa tulus dan saling menjaga keseimbangan...

Apapun fahaman kita tentang erti persahabatan. Kita tak bisa mengelak kalau persahabatan itu punya nilai besar.

Apabila bersahabat, diri sendiri & sahabat harus mempunyai tanggungjawab & punya harapan sendiri. Juga ada batas-batas yang kita perlu jaga... mana yang perlu, kita lakukan, dan mana yang tidak perlu, cubalah kita elakkan.

Saya juga tidak sebijak mana dalam menangani nilai persahabatan... tapi jika diminta diberikan tips dalam bersahabat, saya boleh katakan begini:

Ketahanan bergurau senda, adat bergurau terlebih usik. Pastikan kita & sahabat saling boleh menerima gurauan. Oleh itu berfikir dahulu sebelum ianya berlaku. Ada sesetengah orang tidak bijak menilai yang mana gurauan atau yang mana hal serius. Jadi berhati-hatilah selalu. Jangan sampai ada yang terluka dengan walaupun kita hanya menganggap sebagai gurauan... Manusia, pelbagai cara fikirnya.

Jangan terlalu celupar atau mengkritik. Konon engkau macam ni tak bagus, engkau macam ni tak ok... engkau pakai baju putih nampak gemuk, pakai baju hitam nampak pendek... dan macam-macam. Jangan... kerana kita sendiri tak sebagus mana dan tidak sebetul mana juga.

Jangan terlalu mengambil tahu hal peribadi orang terdekat dengan sahabat seperti tunang, isteri/suami atau kaum keluarganya. Memadailah kita tahu melalui apa yang mahu diceritakan sahaja... jangan sibuk-sibuk nak korek sampai ke dasar. Sesetengah perkara rahsia, memang perlu dirahsiakan.

Jangan ditanya perkara-perkara yang sensitif seperti gaji, kenaikan pangkat & hutangnya. Kalau dia berhutang bukannya kita nak tolong bayar pun. Hutang sofa dekat court mammoth pun kita tak langsaikan lagi. Jadi jangan nak sibuk-sibuk dengan hutang orang.

Jangan bocorkan rahsia,terutama hal peribadi seperti rumahtangga atau hubungan suami isteri sahabat.

Jangan mempersoalkan kekurangan & keburukan sahabat. Cuba lihat nilai positif yang ada padanya. Jangan lupa pula untuk melihat diri sendiri, diri kita ni baik sangat ke?

Jangan cakap mengikut sedap mulut tanpa memikirkan kesannya kepada sahabat. Bijak menyesuaikan tutur kata dengan emosi sahabat.

Jangan terlalu busy body dengan cerita kehidupan sahabat kita tanpa memikirkan kesannya kepada sahabat kita. Berita baik atau berita sedih sahabat, biarlah dia sendiri memberitahu rakan lain walaupun kita sudah mengetahui. Ini tanda kita menghormatinya.

Jangan mengongkong. Hormati hak & kehidupan peribadi sahabat. Beri peluang sahabat bersendiri. Jikalau terlalu berdampingan, mungkin menjemukan & kita hanya menyekat perhubungan dengan insan lain.

Jangan dibalas kemarahan dengan kemarahan... Jika salah seorang marah, beri peluang dia melepaskan amarah di hati. berdiam & tunggu hingga dia reda dan sejuk. Pasti hubungan akan kembali seperti biasa. Manusia harus menerima hakikat setiap orang ada lautan hati yang pasang surut.

Sewaktu sahabat sedang marah, elok mendiamkan diri. Jikalau dia mengomel, dengar & angguk. Itu lebih baik daripada membuat komen. Ia boleh memburukkan keadaan.

Jangan memburukkan sahabat di hadapan orang lain dan membanggakan diri dengan mengadakan cerita seperti kekayaan, kecantikan dan sebagainya. Bangga diri tidak membawa kita kemana-mana sebaliknya bersyukur dengan apa yang dikurnia oleh Allah SWT.


Selalulah berikan perhatian. Tiap orang senang kalau diperhatikan. Kerana itu, berikan perhatian pada hal-hal menarik yang ada di dalam diri sahabat kita. Namun kita tidak harus mengikuti semua kemahuannya.

Memanfaatkan kebaikan. (point ini jangan dipresepsikan ke hal yang buruk). Manfaatkan kebaikan masing-masing untuk mengembangkan hubungan yang baik antara kita. Jangan cuba mencungkil kisah lalu yang sedih atau kurang baik, kerana akan membuatnya tersinggung. Senantiasa memberikan sokongan untuk hal-hal baik.

Jagalah sopan santun. Sikap ramah dan sopan yang tulus tanpa basa-basi dapat menyambung komunikasi dengan orang lain. Malahan akan mampu mengubah perilaku orang lain.

Kembangkan empati. Bersikap empati terhadap sahabat kita akan mempermudah kita menjalin hubungan yang baik. Sikap mendengarkan itu penting.

Ucapkan terimakasih. Ucapkan terimakasih dan sertai pujian selayaknya bila kita mendapatkan sesuatu, termasuk kebaikan dari sahabat.

Bersikaplah penuh ketulusan hati. Dengan bersikap penuh ketulusan hati dan berterus terang, orang lain akan mudah menaruh kepercayaan dalam segala hal.

Bertutur katalah secara bijak. Perkataan yang diucapkan tepat pada tempat dan waktunya akan sentiasa dikenang orang. Kata-kata bijak akan membangkitkan kepercayaan orang terhadap kita dan efektif untuk mempengaruhi orang. Berikanlah cadangan bila diperlukan, jangan memprotes. Tegurlah dengan lembut bila memang harus menegur.

Berikan pertolongan secukupnya. Pertolongan yang kita berikan janganlah sampai menimbulkan sifat kebergantungan pada kita. Berpada-padalah. Berilah kail, bukan ikannya.

Buatlah rencana bersama. Bila menginginkan ada kegiatan bersama, buatlah jadual dan rencanakan bersama-sama. Jangan melakukan perubahan secara tiba-tiba.

Jagalah “jarak” yang wajar. Supaya persahabatan menjadi wajar, mundurlah sedikit bila kita merasa persahabatan sudah terlampau dekat dan sebaliknya mendekatlah kalau kita merasa persahabatan sudah mulai merenggang. (hal ini bertujuan agar kita memberikan ruang bagi peribadi kita untuk bisa bersosialisasi dengan orang lain dan lingkungan, juga mencegah timbulnya permasalahan karena kedekatan yang berlebihan).



Hanya sekadar itu tips yang termampu saya fikirkan... moga bermanfaat.


UNTUK DIRENUNG BERSAMA

Persahabatan sering menimbulkan ujian, tetapi persahabatan sejati boleh mengatasi ujian itu bahkan boleh menjadi semakin kukuh karenanya…

Persahabatan tidak terjalin secara otomatik, tetapi memerlukan proses yang panjang seperti besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya.

Persahabatan diwarnai dengan berbagai pengalaman suka dan duka, dihibur - disakiti, diperhatikan - dikecewakan, didengar - diabaikan, dibantu - ditolak, namun semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Seorang sahabat tidak akan menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan, justru karena kasihnya ia memberanikan diri menegur apa adanya

Sahabat tidak pernah membungkus pukulan dengan ciuman, tetapi menyatakan apa yang amat menyakitkan dengan tujuan sahabatnya mau berubah.


Orang yang mencari “teman yang tidak memiliki kesalahan”
tidak akan memiliki teman.


******************************************
Some 'friends' do things for you for the sake of courtesy, not that because they care. I know, I may sound paranoid but believe me I'm not that stupid not to see it...


I personally think:
True friends don't try to smart you out, nor make you look stupid
True friends listen to you even when you're swearing yourself out
True friends will always be there when you've been to hell, and back
True friends will always welcome you, even when the world turning its back to you
You can tell them whatever and not regretting a word you've said
True friends don't betray

Would you look at that list? Maybe I am just too hard to be friended...
Whatever true friends are, I missed mine so much.




gambar hiasan: flickr.com & koleksi peribadi


entri ini merupakan jawapan bagi cabaran yoyooh.com, Minggu 4

Thursday, May 21, 2009

Bebas Jenayah - Tanggung jawab kita bersama

Satu ketika saya pernah siarkan satu cerita mengenai Andrew, seorang pemuda Cina (yang hensem)… Ya!.. bukan Andrew lagi. Kini dia adalah Adnan… Selepas memeluk Islam beberapa ketika yang lalu…

Ada ketika saya berjumpa dengannya, pernah satu soalan dikemukakan pada saya “Kenapa Malaysia tak nak jalankan undang-undang Islam ha… Hukum hudud?.. sistem undang-undang yang kita ada sekarang ni, satu apa pun tak jalan. Nama je negara Islam, tapi takut nak laksanakan undang-undang Islam.”

Saya terdiam. Apa yang boleh saya kata. Kuasa penentu hukum di Negara ini bukan terletak pada tangan kita… walaupun hakikatnya tangan kitalah yang mementukan siapa yang akan berkuasa menentukan hukum…

Kata Andrew… Opssss!! kata Adnan… – dia pernah diherdik oleh seoarang yang dikira sebagai ‘Ulamak’ bila mengemukakan cadangan itu sebagai satu cara terbaik mencegah jenayah dalam Negara…

“Eh… masuk Islam tak sampai setahun pun lagi dah pandai-pandai nak cerita pasal undang-undang Islam” – begitu lebih kurang sindiran diterima… kenyataan itu membuatkan saya sendiri jadi malu. Ulamak = Ular dalam semak… di mana-mana pun tetap ada ruang untuk kepentingan diri sendiri…



Jenayah Membawa padah…

Alfatihah – Kita sedekahkan kepada 3 mangsa yang menjadi korban jenayah ragut yang mencetuskan kemarahan satu Negara baru-baru ini… Takziah untuk seluruh ahli keluarga mangsa. Mereka bertiga menjadi mangsa peragut bermotosikal yang kejam dan tidak mempunyai pertimbangan perikemanusiaan. Apa yang lebih menyayatkan hati, Dua dari mereka didapati sedang hamil. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Ilahi, sementara keluarga terbabit didoakan terus tabah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi pemergian bonda mereka yang selama ini menjadi tonggak kasih sayang keluarga.


Daripada kewujudan jenayah yang semakin melampau sekarang, maka diwujudkanlah “Program Generasi Bebas Jenayah”… yang tak lain tak bukan bertujuan mencegah jenayah yang kadarnya semakin meningkat dari hari ke hari…

Ya! Mungkin juga program ini merupakan satu jalan yang saya kira – agak baik lahh dalam memberi titik kesedaran, pendidikan dan maklumat yang tepat kepada golongan belia mengenai perlakuan jenayah. Di samping boleh meningkatkan kesedaran mengenai bahaya perlakuan jenayah dan kesan-kesannya. Membebaskan pemikiran dan penglibatan belia dalam perlakuan jenayah. Juga dengan tujuan melahirkan generasi muda yang mempunyai tanggungjawab sosial bagi membanteras jenayah dalam masyarakat. Menggerakan tindakan pencegahan jenayah oleh belia di peringkat komuniti.


Dalam menangani gejala sosial semua pihak harus bertindak secara kolektif dan berterusan. Pendekatan baru yang sedikit radikal mungkin amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang disegani oleh semua bangsa di dunia ini. Selain itu, Generasi muda adalah tunas dan tenaga baru amat penting kepada pembangunan negara memandangkan mereka adalah pewaris kepada apa yang ditinggalkan generasi lama.

Menjadi harapan kita bersama, dengan penganjuran program seumpama ini, semoga dapat memberikan pendidikan dan maklumat yang tepat kepada masyarakat khususnya golongan belia mengenai perlakuan jenayah di kawasan masing-masing. Dengan memupuk semangat kerjasama dan kemasyarakatan di kalangan penduduk yang merupakan ejen pencegah jenayah.

Semoga penganjuran program ini dapat mengukuhkan jati diri, semangat patriotisme, sikap bertanggungjawab dan bekerjasama di kalangan masyarakat untuk melahirkan generasi muda bebas jenayah.

Bila berlaku satu-satu jenayah di kalangan remaja… mahu atau tak mahu, suka atau tak suka, ribuan para ibu di Malaysia hari ini, sebenarnya telah, sedang dan akan terus menumpahkan airmata kesedihan, menangisi anak-anak kesayangan mereka yang terbabit secara langsung dalam jenayah dan gejala sosial yang melambangkan keruntuhan akhlak, nilai dan moral segelintir generasi muda hari ini. Kita amnya lebih cenderung menuding jari menyalahkan ibu dan bapa yang dikatakan gagal mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. (tanpa mahu bertanya apa pula peranan kita) Para ibu yang malang ini juga sentiasa tertanya-tanya, di manakah kesilapan mereka mendidik anak-anak ini, yang asalnya ibarat kain yang putih bersih. Entah bila dan bagaimana anak yang dibesarkan itu berubah menjadi agen perosak masyarakat yang mengancam ketenteraman dan kesejahteraan orang lain!

Memang tiada penyelesaian jawapan yang mudah kepada permasalahan yang kompleks ini, yang dicetuskan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Namun hakikatnya, Semuanya bermula dari institusi keluarga itu sendiri… Kebahagian bermula di rumah dari keluarga yang bahagia. Perubahan struktur keluarga moden dan pegangan nilai yang menjadi batu asas institusi kekeluargaan hari ini, sememangnya mempunyai kesan yang amat ketara kepada perkembangan anak-anak generasi muda Malaysia. Pembabitan ibu ke dalam sektor kerjaya di luar rumah sebenarnya mengurangkan peruntukan masa, tenaga dan emosi para ibu untuk menguruskan keluarga dan rumahtangganya. Dari menjadi ibu yang sepenuh masa berada di rumah memberikan tumpuan kepada keluarga, ibu bekerjaya kini perlu pintar mencari ruangan masa berkualiti untuk dihabiskan bersama keluarga. Walaupun kebanyakan ibu bekerjaya begitu komited terhadap keperluan dan tuntutan keluarganya, mahu tidak mahu tanggungjawab memikul amanah di tempat kerja sering men`curi’ tumpuan dan me`misah’kan ibu dari keluarganya. Anak-anak di pelbagai peringkat usia pula sentiasa memerlukan bimbingan yang khusus untuk menjamin pertumbuhan jasmani, minda, emosi dan spiritual yang sihat.

Justeru… Sebagai ibu – insan pemegang tanggung jawab paling besar perlu punya kekuatan yang lebih besar dalam menghadapi hal-hal sebegini…

Bukan mahu ditujukan kepada ibu semata-mata… kerana semua kita memang memengang peranan tersendiri – tapi saya tetap mengkhususkan kepada ‘ibu’… iaitu, mereka yang terpaksa menjadi mangsa tohmahan bila anak-anak remaja melakukan jeayah.
- Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

- Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

- Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

- Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.

- Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Ayuh!! segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.

Dan saya tetap bersetuju dengan Adnan yang menyesorkan agar dilaksanakan undang-undang Islam...


Satu ketika negara tersentak dengan kematian seorang pelajar akibat dipukul oleh beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Selangor.Di manakah silapnya. Adakah sistem pendidikan kita cukup lemah untuk menangani gejala ini?. Adakah sistem kekeluargaan kita rapuh sehingga anak-anak gagal dididik menjadi sekurang-kurangnya menjadi manusia dan bukan BINATANG. Terlalu tinggi harapan meletakkan mereka menjadi INSAN. Menjadi MANUSIA pun belum tentu.....

Persoalan yang nak di utarakan juga ialah di mana WARDEN sekolah? Adakah mereka tidur, makan gaji buta, tidak berada di asrama untuk mengawal, tidak bertugas mengikut jadual... bermacam-macam andaian.... walaubagaimanapun semua ini tidak harus dibebankan pada sebelah pihak sahaja. Sekarang SEMUA pihak harus bertanggungjawab agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Jangan sehingga ada yang MATI....


************************

Orang baik yang jahat, orang jahat yang baik dan orang yang hanya menjalankan tanggungjawab!! Hanya Tuhan juga yang mampu membalas jasa baik semua orang...

Kadang-kadang kita ada pola-pola tertentu untuk cop seseorang itu baik atau jahat. Muka hensem, pakai kot dan tali leher sambil bawa brifecase kita cop sebagai orang baik. Sebaliknya yang muka macam tak siap, seluar koyak rabak dan berambut panjang dicop sebagai jahat. Tetapi kadang-kadang yang muka hensem, berbaju kot dan bertali leher itulah yang menyonglap berjuta-juta duit syarikat. Manakala yang muka tak siap, seluar koyak rabak dan berambut panjang itulah yang tolong pasang lampu, pasang wayar, pasang pendingin hawa di pejabat.


Juga kita ada pola-pola tertentu untuk cop seseorang yang buat kerja melaksanakan undang-undang. Kalau mereka ini berlaku kasar atau bertindak tegas semasa melaksanakan tugas, kita kata mereka ini tidak bertimbang rasa, tidak berhati perut dan menjadi anjing golongan tertentu. Tapi kalau mereka duduk diam kita kata mereka makan gaji buta. Kalau mereka bertimbang rasa, orang jahat naik kepala.

Microsoft, Adobe, Macromedia dan mana-mana syarikat gergasi perisian komputer melakukan perkara yang baik dengan menghasilkan perisian-perisian yang senang dipelajari dan membantu dalam kehidupan kita seharian. Mereka habiskan banyak duit untuk hasilkan antaramuka yang ramah pengguna dan buat penyelidikan dan pembangunan untuk hasilkan kod-kod yang kompleks untuk menyelesaikan masalah manusia yang kompleks.

Malangnya, mereka melakukan perkara yang jahat dengan tidak mahu berkongsi apa yang mereka tahu dengan orang lain. Perisian yang mereka buat disembunyikan kod sumbernya lalu dijual. Oleh kerana kod ini tersembunyi, mereka boleh buat apa yang mereka suka. Tambah sedikit fungsi, jual semula sebagai versi baru. Dapat lagi duit. Tukar sedikit antaramuka, jual semula sebagai versi lain. Dapat lagi duit. Kita yang tak tahu macammana buat kod yang sama terpaksa la beli ~ beli pulak dengan harga yang mahal!!

Sebab itu dari beberapa sudut ~ "perisian lanun/cetak rompak" adalah perkara yang baik. Kadang-kadang kita nak juga belajar dan guna perisian yang canggih-canggih.... tapi takdak duit nak beli. Kadang-kadang bukan kita taknak beli perisian yang asli tapi banyak sangat songehnya ~ kena mintak peruntukan dari pihak pengurusan, perisian tu hanya sesetengah syarikat aje yang jual, kadang-kadang kita hanya perlukan perisian tu untuk satu projek sahaja.

"Perisian lanun" baik sebab murah, senang dibeli sebab dijual di supermarket atau pasar malam dan boleh "dipakai-buang".

Hmmm.... tak payah dinasihat, kita tahu perisian lanun ini adalah sama seperti lanun sebenar. Ia merompak harta yang orang lain punya. orang lain buat perisian tu penat-penat, mereka hanya salin dan jual. Duit yang mereka dapat langsung tiada royalti untuk syarikat yang keluarkan perisian...

Seperti juga lanun, "perisian lanun" boleh membunuh. Ia membunuh kreativiti dan dedikasi pengaturcara perisian. Orang yang mengaturcara perisian dapat duit bila perisian yang mereka buat dibeli orang ramai. Kalau perisian yang mereka buat orang lain pula yang dapat untung, mereka ini hendak makan apa?
Lalu syarikat gergasi perisian ini mengarahkan orang yang berkuasa untuk melaksanakan undang-undang. Siapa yang "lanun"kan perisian mereka mesti disaman dan dimalukan di dalam suratkhabar.

Oleh kerana kita banyak buat kerja guna perisian lanun, kita menjadi anti-penghapus cetak rompak. Kita mempersoalkan kenapa baru sekarang mereka nak ambik tindakan sedangkan perisian lanun ni dah berleluasa sekian lama. Kita marah sebab lepas ni kita tidak lagi boleh membeli perisian dengan harga yang murah.

.... kebanyakan kita lahir sebagai manusia biasa - manusia yang dilahirkan tanpa sebarang kelebihan. Kebanyakan kita lahir tanpa bateri energizer di belakang badan ~ jadi kita tidak boleh selamanya buat kerja. Kebanyakan kita lahir tanpa lapan tangan ~ jadi kita hanya boleh buat bilangan kerja yang terhad pada satu-satu masa. Kesemua kita lahir tanpa otak yang "berpentium 4, 256 DDRAM dan 200GB cakera keras" - jadi kita lambat sedikit nak berfikir dan payah nak ingat banyak benda.

..jadi bertindaklah dengan keupayaan sebagai manusia biasa


Entri ini adalah sebagai jawapan kepada saolan bagi cabaran minggu ke tiga Yoyooh.com