Thursday, October 29, 2009

Sayangi dirimu...

Untuk menyayangi orang lain, kita perlu sayangi diri kita terlebih dahulu...

Hari itu saya bawa Ma ke klinik setelah dua hari demamnya tidak kebah. Memang dari awal mahu dibawa tapi dia sendiri yang mengelak.. - Tak ada apa-apalah - kejap lagi baik lah - alah sikit je ni - macam-macam alasan darinya. Tapi selepas dua hari keadaan masih sama, malah kelihatan bagai makin teruk saya paksa Ma ke klinik. Setelah saya bebel sikit... Ma akhirnya menurut...

Ketika di klinik, Ketika Ma di dalam bilik doktor untuk pemeriksaan kesihatannya - saya perasan akan kehadiran seorang ibu muda di situ. Saya mengenalinya. Malah amat mengenalinya meski pun telah agak lama kami tidak ketemu...

Lalu saya menghampiri ibu muda tersebut, untuk menegur dan bertanya khabar dan bertukar cerita.
Farah namanya. Dia seusia saya - kami rakan sekelas sejak dari tingkatan 3 hingga tingkatan 5... Saya juga mengenali suaminya. Tapi ketika itu dia keseorangan.. tidak bersama suami .. Oh! tidak berseorangan sebenarnya. Bersama seorang bayi yang sedang lena dipangkunya.

Dia tergaman bila saya menegurnya. Wajah pucatnya kelihatan muram bercampur ceria. Terkejut dengan pertemuan tidak diduga.

Kami berbual seadanya. Dia meluahkan tentang perjalanan sukar hidupnya sebagai suri kepada sang suami dan ibu kepada anak-anak...

Wajah dia terus-terusan muram. Walau pun masih cantik, wajahnya kelihatan lebih tua berbanding usia. Dia meluahkan kebimbangannya kepada saya. Tentang kesihatannya yang makin merosot. Tentang anak-anaknya yang mula kurang ajar. Dan suaminya yang sudah mula lupa daratan. Entahlah. Diam-diam saya menyimpan simpati. Saya dapat rasakan dia benar-benar tertekan.

"Tapi kita mesti bekorban kan?"... lemah nadanya bertanya.

"Ya! awak dah pun bekorban!"... balas saya.

"Tapi masalahnya pengorbanan saya tak dihargai. Anak-anak tak hargai... Suami.. jauh sekali."

"Jadi awak menuntut harga pengorbanan awak tu?".. kilas saya.

"Tidak! saya cuma minta dihargai."

"Itulah harga yang paling mahal sekali. Bersedia untuk tidak dihargai..."

"Kenapa?" ringkas tanyanya.

"Hakikatnya, memang ramai manusia yang tak pandai berterima kasih. Kita akan sakit jiwa bila kita harapkan terima kasih daripada orang yang kita bantu." jawab saya dengan mengulangi kata-kata Dale Carnegie dalam bukunya "stop Worrying and start living."

Dia termenung tunduk. Tudung biru mudanya terbuai-buai di tiup angin dari kipas yang ligat berputar di bahagian syiling. Anak kecil di pangkuannya terus lena.

"Walau pun suami dan anak-anak sendiri?"

Saya angguk perlahan.

"Jadi apa yang perlu saya buat?"...

"Teruskan bekorban. Walau anak-anak dan suami tak hargai, Allah tetap menilai. Itulah ikhlas. Pengorbanan tanpa mengharapkan balasan."

"Saya letih... Entah di mana tamatnya nanti semua perkara ni. Membasuh, jaga anak, kemas rumah, memasak dan macam-macam... Betul kata orang, perkahwinan tu satu perhambaan."

"memang satu perhambaan. Tapi buatlah kerana Allah. InsyaAllah itu akan dikira sebagai perhambaan kepada Allah. Bukan kepada suami dan anak-anak. Agama kita membebaskan perhambaan sesama manusia."

"Tapi saya dah makin hilang upaya. Kesihatan merosot. Rasa ceria dah tak ada lagi. Macam pokok reput yang tunggu masa nak tumbang." dia membuat perumpamaan.

"Bekorban untuk orang lain tak semestinya mengorbankan diri sendiri." kata saya...

"maksud awak??"

"Untuk menyayangi orang lain kita perlu sayangi diri sendiri dulu." Itu yang saya cuba untuk sampaikan sejak tadi.

Dia menarik nafas dalam. lalu dihembus dengan hembusan bertali-tali. Matanya jelas kesayuan.
"maksudnya awak kena jaga kesihatan awak dulu, rohani dan jasmani demi meneruskan tugas sebagai isteri dan ibu."

"Kenapa awak cakap macam tu?"...

"Sebab saya tengok awak macam dah tak sayangkan diri awak sendiri dah sekarang."

"Saya lebih sayang kan suami dan anak-anak saya. Biar pun mereka tak sayangkan saya.."

Huh! sedih saya mendengarkan keluahan luahan hatinya. Terpancar sinar ketulusan dan ketelusan dari kata-katanya itu. Wajahnya cengkung, tubuhnya tidak bertenaga sudah cukup untuk melukiskan rona-rona calar dalam perjalanannya sebagai isteri dan ibu.

Saya mengambil sedikit masa untuk membuat perumpamaan dan misalan untuk memahamkannya betapa kalau kita ingin menyayangi orang lain, kita perlu menyayangi diri sendiri lebih dahulu. Lalu saya menemui contoh:
"Kalau awak biasa naik kapal terbang... Peramugari akan bagi taklimat soal-soal keselamatan sebelum kapal terbang berlepas.. contohnya; kalau kandungan oksigen berkurangan dalam kapal terbang, dan topeng bernafas keluar dari bahagian atas, kita mestilah lekapkan topeng tu ke muka kita dulu dan bernafaslah... sebelum kita bantu suami atau anak-anak di sebelah melekapkan ke muka mereka untuk bernafas..."

Dia ikuti hujah saya dengan tenang. Satu persatu diteliti seakan-akan dikunyahnya. Untuk uji kefahaman dia, saya uji dia dengan menyoal:
"kenapa kita mesti dulu memakai topeng oksigen sebelum kita pakaikan pada orang-orang lain yang nak kita tolong...??"
....
.....
......

Tanpa disangka-sangka dia tersenyum. manis sekali...
"Ya! saya faham maksud dia... Hanya orang yang bernafas boleh bantu orang lain bernafas. Kalau kita sendiri sesak nafas, macamana kita nak bantu orang lain bernafas..."

Ya! akhirnya dia terima juga apa yg saya nak sampaikan meski pun saya tidak tahu menyusun kata-kata yang tepat untuk meyampaikannya... Ya!! itu yang saya nak sampaikan.. dia faham..
"Ya! saya faham sekarang itulah yang dikatakan sayangi diri sendiri sebelum sayangi orang lain."
Saya senyum sambil angguk kepala.

"Ramai sebenarnya ibu-ibu yang terlupa hakikat itu..." tegas saya.

"termasuk saya!!!"
Saya tidak mengiyakan atau menidakkan...
"Ramai ibu yang menjaga kesihatan anaknya sehingga mengabaikan kesihatan sendiri. Dia lupa, kalau kesihatan dia sendiri merosot, dan akhirnya sakit kronik menyerang, pada siapa pula anak-anak nak bergantung..." kata saya agak perlahan sambil memandang ke arah bilik doktor - terbayangkan Ma yang demam dan malas ke klinik sebelum ini...

"itukan pengorbanan!!" tingkah dia

"Pengorbanan pun perlukan kebijaksanaan... bukan semua yang bekorban perlu terkorban."

Dia diam

"Tapi selama ni saya sangkanya macam tu. Saya sangka berkorban perlu terkorban.."

"Tak selalunya macam tu. kalau kita jaga kesihatan kita yang boleh buatkan kita boleh pulak jaga kesihatan anak kita itukan lebih baik.... Kita gigih cari harta, kemudian dengannya kita boleh berikan pada orang lain kan lebih baik... kita tak semestinya sakit untuk beri orang lain sihat. kita tak perlu jadi miskin untuk bantu orang miskin..."

Dia senyum lagi... Senang melihat ibu muda itu begitu. Bagaikan usia mudanya dikembalikan.

"Saya tak perlu risau lagi kalau saya tak dihargai... begitu?".

"Ya! yang penting sekali kita hargai diri kita sendiri. Orang kata jangan bimbang kalau diri tak dihargai... tapi bimbanglah kalu diri kita benar-benar dah tak berharga."

Dia ketawa...

"So! pulihkan semangat. Hidup selagi hidup. Jaga kesihatan.. ceriakan diri... jangan terkejut kalau nanti anak-anak dan suami akan sayangi awak semula. jangan marah! jangan kecewa kalau orang lain tak sayangkan kita, kalau selama ni kita sendiri tak sayangi diri kita sendiri..."

"Terima kasih!!.. awak dari dulu masih lagi sama. semangat awak sentiasa bagi orang lain bersemangat sama..." katanya entah ikhlas entah tidak... hahahah... saya ketawa lepas sebelum terdiam kerana menyedari saya sedang di dalam klinik..

****
Ma keluar dari bilik rawatan. Saya menyambutnya sebaik Ma muncul... Kemudian saya ke kaunter mengabil ubat dan beransur pulang...
Semoga ibu muda itu tadi benar-benar telah punya semangat baru.


Hakikatnya saya juga sering bertanya... sudahkah saya menyayangi diri sendiri untuk menyayangi orang lain?????


**********

Tuesday, October 27, 2009

Jutawan Cinta

Hari tu Abang Am call lagi... mengatakan dia tgh on d way ke rumah saya dan sudah hampir benar. hmm, nasib baik dah nak masuk waktu makan tengahari. jadi ketibaan Abang Am diraikan bersama keluarga ketika makan tengahari bersama hidangan-hindangan simple yang special...

Lepak hingga ke petang. Kami bercerita seadanya. Berkisah yang sepatutnya. Babak dan episod terus bermaharajalela. Dari cerita manager yang tak bermotivasi sampai lah peringkat bos yang tak nak ambil peduli. Dari peringkat executive yang keras hati sampailah ke peringkat bos yang suka perli.... semuanya bercerita-ceriti

Suka nak pesan kat korang. Terutama yang baru-baru tuh. Pergi lah carik ilmu. Dengan ilmu ajer kita boleh menegakkan yang kendur. Mengurat yang dah berumur....(tuh pun kalau sanggup kena gastrik minum susu yg dah expired. Ops! Jangan mare)

Ceritanya masih tentang perkara biasa. Tentang perniagaannya.. tentang kehidupan... tentang keluarga. Oh! ya... dia ni duda anak satu. Isterinya meninggal kerana serangan kanser pada tahun-tahun yang lalu.
Saya suka sangat berborak.. boraknya borak berisi. Sembangnya sembang motivasi.
Dia seorang yang saya kira sebagai jutawan yang tak pernah merasakan dirinya jutawan. macam-macam bisnes dia buat... ada ternak itik telur beribu-ribu ekor... kambing lagi... lembu lagi... ayam lagi... ladang pisang lagi... bisnes macam2lah... Pun begitu dia seorang yang rendah diri. Tidak pernah dia memandang rendah pada saya yang kerja-kerja 'cokia' ni. Dan apa yang buat saya rasa tersentuh juga, dia kerap menghubungi saya untuk meminta nasihat bila di dilanda masalah... hehe...saya pakar motivasi katanya, hahah (pakarlah sangat kan) pernah jugak dia tanya saya kenapa tak nak jadi motivator.. hahahah... tak suka betul soalan sindir gitu. tak kan semua kerja saya nak buat kot.

Sekali lagi dia bercerita tentang wawasan. Pentingnya hidup kita punya wawasan. Dan sepatutnya wawasan 2020 perlu dicapai lebih awal lagi. Kenapa kita mesti tunggu 2020 katanya, sedangkan di hadapan kita semua telah tersedia. Sambil memberikan contoh menara2 megah yg kita miliki.

Boleh lah dia cakap kerana dia telah mencapainya...nak ajer saya cakap macam tuh... tapi dengan dia nie saya jadi kehilangan kata. Dan saya tahu dia lebih suka saya begitu. Memang pun kekadang menjadi pendengar setia lebih baik daripada kita mengomel tak tentu hala.

Dia menceritakan bangunan 5 tingkat yang dibina dengan harga RM 5.5 juta. Katanya kekadang dia menyesal jugak kerana kalau dia tak bina bangunan tuh, duit di akaunnya berjumlah RM5.5 juta. Dia tak perlu berjaga sehingga dinihari, tak perlu pening kepala memikirkan pekerjanya yang beratus orang tu samada bekerja dengan baik atau tidak. Dulu tanah tapak bangunan yang dibinanya itu bekerja untuknya. Walaupun tanah dan bangunan di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu bernilai lebih puluhan juta sekarang ini tapi duitnya tak nampak...

Dia juga bercerita bagaimana dia berhubung dengan anaknya yang berusia 12 tahun seperti orang dewasa seusia dengannya yang berusia 40 tahun. Kalau pergi shopping dia hanya akan memberi kredit kad kepada anaknya dan disuruh pilih apa yang anaknya mahu...tapi kedewasaan membuatkan anaknya tidak membeli bukan-bukan. Hanya 2 helai baju dan satu permainan. Baginya dia berjaya mendewasakan anaknya. Dia tidak pandai untuk merendahkan diri seusia anaknya. Yang boleh anaknya miliki darinya hanya lah pelukan dan kasih sayang...

Dia juga bercerita, perlunya menggunakan kesempatan dan peluang yang ada sebaik mungkin. Bersungguh-sungguh, perancangan yang rapi, serius dalam kerja, tahu apa yang perlu dilakukan dulu, detail supaya tidak melakukan kesilapan dan melihat 10 langkah kehadapan adalah caranya untuk berjaya.

Saya bangga dapat berkawan dengan jutawan itu.Saya tak perlu ambil kesempatan dari kebaikannya pada asaya. Dan saya tahu kalau saya nak jadi seperti dia. saya terpaksa korbankan kerjaya yang ada. Itu risiko yang terpaksa saya tempuh. Samada saya berani atau tidak. Setakat nie saya tak berani. Pengorbanan belum tentu membuatkan kita berjaya. Tidak berkorban juga belum tentu membuatkan kita maju dan bahagia.

...walaupun dia jutawan...akhir ayatnya berkata. Siapa jugalah kita. Yang penting kita bahagia dan dan dapat tidur lena tanpa gangguan serta sentiasa memikirkan yang bukan-bukan sambil mengharapkan sedikit nasib menyebelahi kita....tapi.... percayalah... Tuhan sentiasa memberi apa yang kita mahukan. Berbuat baiklah pada sesama manusia .

Sorilah...tidak sepatah pun dia bercerita tentang cinta yang hanya di awangan. Baginya cinta adalah bekerja dan berusaha sambil bagaimana berhubung dengan manusia lain. Dia marah saya sebab saya sentiasa pegang talipon. Dia tanya saya berapa bayar bil sms setiap bulan. Dia sangka, saya tengah sms (memang ya pun). Tapi saya cakap saya buang semua sms lama yang ada dalam talipon saya... hahahaha Dia gelak kerana katanya dia jugak buat benda yang sama di masa-masa tertentu.

dan ketika mahu pulangnya, dia memasukkan sampul surat berisi di dalam poket baju saya...
errr...
"Apa ni Abang Am?" Tanya saya tidak sedap hati..
"Ambiklah. Duit raya... Sorry dah habis raya baru nak bagi.."
Saya tak kata apa kerana tahu dia Ikhlas...
"Terima kasih Abang Am.."..

Dia pulang... saya buka sampul surat berwarna coklat ....wang tunai RM300.00....
saya geleng-gelang kepala dengan rasa terharu.

Jutawan cinta adalah mereka yang ingin bekerja dan berusaha dengan matlamat untuk mencapai bahagia.
Ingatlah:

"Rebutlah 5 Peluang Sebelum Tiba 5 Rintangan"
1. WAKTU KAYA SEBELUM MISKIN
2. WAKTU SENANG SEBELUM SIBUK
3. WAKTU SIHAT SEBELUM SAKIT
4. WAKTU MUDA SEBELUM TUA DAN
5. WAKTU HIDUP SEBELUM MATI

Thursday, October 15, 2009

Allah sedang mendidik...

“Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita nasihatkan (baca: tuliskan), itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia…”

Sabarlah!!!
Allah sedang mendidik...
Allah sedang mengajar kau erti sabar dan ikhlas
... Sabar dan Ikhlas...
jadi... nasihat untuk diri...
SABARLAH
SABARLAH
SABARLAH
&
IHKLASLAH...

Ujian kali ini tidaklah seberat mana..
Ingat (wahai diri ku)... Allah sedang mendidik.





*****************

Monday, October 12, 2009

Penghujung Larian...

Masuk ke sebuah restoran berhampiran tempat kerja untuk menikmati minum petang bersama dua orang rakan, mengerling sekilas ke kaca tv besar yang sedang terpasang. Siarannya liputan sukan acara lumba lari...

Sambil berbual ringan sementara menanti minuman, sesekali mata meliar juga ke kaca tv.

Perhatian terus tertumpu ke situ bila kawan di sebelah mencuit sambil menjuihkan bibirnya ke arah tv. Seorang pelari sedang rebah akibat kejang otot. Tidak dapat teruskan larian walaupun telah menghampiri garis penamat.

"Tengok!... Apa-apa hal pun, penghujungnya juga yang penting." kata kawan yang mencuit tadi.

"Walaupun awal pusingan dapat nombor satu, tapi belum tentu boleh menentukan sebuah kejayaan, belum tentu kedudukan tu boleh kekal sampai ke hujung." sambungnya lagi.

- Kesimpulan yang pendek itu kemudiannya membawa kepada perbincangan yang makin jauh. Hingga menyentuh hal-hal kehidupan dan kematian. Berkisar pada topik yang sama: Nilaian Di Penghujung...

Mengumpamakan pula dengan ibadah puasa, walaupun seharian berhempas pulas menahan lapar dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa, tapi jika pada seminit dua yang terakhir kita gagal untuk bersabar sedikit sahaja lagi (tergesa-gesa minum tanpa memastikan dengan yakin waktu berbuka sudah masuk sedangkan sebaliknya), musnahlah seluruh puasa hari itu. Tiada nilai walau sedikit pun.

Begitulah juga penghujung hidup kita. Itu adalah detik paling penting, paling genting dan paling cemas bagi semua kita kerana itulah yang menjadi titik penentu sama ada keselamatan atau kecelakaan yang bakal dilalui selepas mati nanti.

Berada di penghujung kehidupan, ketahanan iman yg benar-banar ikhlas sahaja yang dapat membantu. Kerana saat itu bukan lagi medan tempat menguji kekuatan mental atau fizikal. Peperangan meletus dalam diri. Benteng keimanan berhadapan serangan bertali arus dari pujukan iblis dan syaitan.

Sedangkan Barsisa, seorang Wali Allah zaman lampau pun tewas dalam peperangan ini, lalu siapalah kita yang berani meletakkan keyakinan boleh melepasi ujian sangat getir ini.

"Ya Allah... Akhirilah kehidupan kami dengan kesudahan yang baik (husnul khatimah), dan jangan engkau akhiri kami dengan kesudahan yang buruk..."

Menyelusuri lorong kehidupan ini... Takdir kita memang berbeza. Ada yang lurus di awal sampai ke hujung. Ada yang lurus di awal, bengkok ditengah dan bengkok pula di hujung... Ada lurus di awal, bengkok di tengah dan kembali lurus di hujung... ada juga yang bengkok dari awal hingga ke hujung... pelbagai gaya pelbagai cara...

Kitalah yang berusaha dan kitalah yang berikhtiar agar mendapat nasib yang baik dengan pertolongan dan rahmat Allah. Kerana kalau rebah di trek larian, sekadar gagal menerima pingat kejuaraan atau piala. Gagal sempurnakan puasa masih boleh diganti semula. Tapi jika gagal melepasi sempadan gelanggang kehidupan dengan langkah kanan, tidak ada harapan untuk merayu lagi.. Saat itu hanya yang empunya diri saja yang tahu nasibnya...



"Ya Allah! jadikanlah sebaik-baik umur kami di penghujungnya. dan sebaik-baik amalan kami, amalan yang penghabisan, dan sebaik-baik hari bagi kami, hari kami menemuimu.."



*******

Friday, October 9, 2009

Duit bukan pengubat rindu

"Apa lagi ntah yang dia nak... Duit dah hantar. Tiap-tiap bulan tak pernah lambat." Dia mengomel agak perlahan. Tapi masih lagi kedengaran ke telinga saya.

"Apa masalahnya?" Tanya saya pada dia.

"Ayah aku. Desak terus suruh balik. Mak pun macam tu jugak... kejap-kejap suruh balik. Raya hari tu kan dah balik. Sekarang suruh balik lagi. Aku sibuk bukan diorang tak tahu"...

Raya hari tu? Setahu saya dia balik ke kampung emak-ayahnya pada hari raya ke tiga... hari raya pertama dan kedua di kampung isterinya. seingat saya juga pada hari raya tahun lalu pun begitu juga. Rumah ibunya dijengah pada hari raya ke tiga...

"adalah hal yang penting tu... sebab tu diaorang suruh balik".. saya cuba menyedapkan hatinya.

"Apa ntah yang penting?.. duit dah kirim dah."...

****************

"Duit tak dapat tebus rasa rindu diaorang tu"... desir saya perlahan.

"Hah?.. Rindu?? Mak ayah kita masih rindu?".. Sinis saoalannya.

"Kau ada anak kan?" Tanya saya padanya walaupun saya tahu dia telah punya tiga anak. Dua darinya tinggal di asrama.

"Ada?"

"Rindu?" tanya saya...

"Rindu apanya?" tanya dia lagi.. mungkin buat-buat tidak faham

"Rindukan anak-anak tulah..." kilas saya..

Kali ini dia terdiam. Sedar agaknya dia dah terperangkap. Terperangkap dalam bisikan rasa disebalik tusukan kata-kata.

"Itu lain... anak aku tu masih remaja. masih kanak-kanak. Memang patutlah aku rindu. Mak ayah kita tak sepatutnya begitu... Aku dah ada keluarga sendiri. aku dah tua.."

"Oooo.. maksudnya rindu kita akan makin pudar seiring dengan usia?"

Dia tak menjawab.

"Sebenarnya makin tua kita ni, akan rasa makin sunyi. Bila makin sunyi, akan makin rindulah pada orang tersayang.." Tambah saya lagi. "Kita ni kalau rindukan seseorang, boleh kita sibukkan diri dengan kerja-kerja kita tu nak lupakan rasa rindu... tapi diaorang tu, apa sangatlah boleh dibuat.. alih-alaih bagi makan ayam, siram pokok bunga, tanam sayur.. nak buat banyak kerja dah tak larat.."

... saya teringatkan Ma di rumah. selalunya, Ma bila rindukan anak-anaknya, dia akan melipat kain baju lama milik anaknya berkali-kali. Bila begitu keadaannya, saya akan segera menelefon adik-adik saya yang bajunya dilipat itu dan memberitahu "Ma dah lipat baju mu"... dan mereka akan faham, lalu segera pulang pada hujung minggu berkenaan...

*******************
"Engkau sayang anak?.. Ok! tak payah jawab" potong saya. "Tentulah engkau sayang kan? aku yang tak berbini, beranak ni pun faham... So! macam tulah jugak mak ayah sayangkan kita. Bila dah sayang mestilah ada rindu... Dan rindu tu bukan boleh diselesaikan dengan duit walaupun berjuta-juta banyaknya." tambah saya.

"Engkau senanglah cakap sebab engkau duduk dengan mak ayah engkau. Tak payah susah drive jauh-jauh nak balik kampung."...
hmmm setahu saya, jarak kampungnya hanya lebih kurang 100 km sahaja. Bukanlah jauh sangat kalau ikut piawaian jarak pada era teknologi ini.

" Aku tinggal dengan diaorang ni pun tak sampai 2 tahun lagi... dulu aku dok KL.. boleh je aku usahakan balik sebulan 2 kali.."

dia diam lagi

"Perlu ke aku balik tiap-tiap bulan?"

"Payah nak putuskan. Tapi fikirkan kerinduan ibu-bapa. Sibuk tu betul lah sibuk.. tapi kenangkan, setiap kali kau rindukan anak-anak... macam tu lah mak ayah kita rindukan kita? dan ingatlah selalu, macamana kita buat kat mak ayah kita, macam tulah nanti anak-anak kita buat kat kita tapi dengan nilaian lebih berganda"...

Dia diam dan terus diam. Moga itu tanda timbul kesedaran dalam dirinya.

******


Ah!!... Masakan rindu - soal rasa - boleh diubati dengan wang - satu yang berbentuk benda...



************

Wednesday, October 7, 2009

Jeritan Kucing bersenggama...

Lena ku yang baru sekejap tiba-tiba diganggu oleh bunyi bising yang agak mengerikan. Bunyi jeritan keriau kucing jantan atau mungkin juga si betina membuat aku bingkas bangun. bunyinya terlalu hampir... Rapat.
Kucing siapa itu memekak di waktu-waktu begini. Tidak tahukah dia ini bukanlah waktunya lagi untuk bersuara riuh.

"Maafkanlah dia kerana waktu ini adalah untuk dia membuat bising!"... satu bisikan bedesus ketelinga bagi mengurangkan amarah.

Lalu lenaku yang terganggu ditambah bunyi riuh kucing mengawan itu tiba-tiba memberikan aku sedikit 'idea' untuk merangkai sedikit kisah... Kemudian aku perlu berterima kasih pada sang kucing jantan betina yang masih asyik membuat bising bercumbu-cumbuan..

Ya! kisah kucing bising bercumbuan-cumbuan mengawan ada kisahnya yang boleh kita ambil pengajaran.

Di antara kucing dan anjing dan konteksnya ada jalinan sejarah dan ceritanya sejak zaman Nabi Nuh a.s dan pepatah melayu juga meyebut: Seperti anjing dan kucing, tidak boleh bertemu - mahunya hanya bercakaran.

Dan kisahnya:
Sejak zaman Nabi Allah Nuh A.S dua makhluk anjing dan kucing ini telah mencipta sejarahnya bermusuh dan berseteru secara turun temurun. Perseteruan bermula sejak sesamanya dalam bahtera Nabi Allah Nuh lagi dibawa hingga ke hari ini. Hingga ke malam ini. hingga ke waktu yang telah menjengah pagi ini.

Orang (termasuk aku) tidak akan marah dan terganggu nikmat tidurnya sekiranya sang kucing dalam seyap-senyap, dalam suasana aman damai, romantik dan disirati pula dengan anyaman tali-tali kemesraan keintiman dan cinta mencintai dalam melakukan senggama bebas. Ini tidak. Kaum kucing zaman Nabi Allah Nuh dan kaum kucing di zaman terkini (1430 H) ini, dalam melakonkan babak-babak bercumbu dan bersetubuh... bisingnya, riuhnya, gemparnya sampai terdengar orang sekampung.

Ada sebuah riwayat;
Riwayatnya begini;
Diriwayatkan dari Wahab bin Munabbah: ketika Nabi Allah Nuh naik ke bahteranya untuk belayar, maka masuklah segenap jenis makhluk yang berpasangan. Kucing dan anjing juga dibawa bersama dengan pasangan masing-masing (jantan-betina).

Nabi Allah Nuh melarang setiap makhluk Allah itu melakukan persetubuhan agar tidak beranak pinak, dibimbangi ruang di dalam bahtera menjadi sempit. Tetapi anjing yang tidak sabar bersama ketinggian nafsunya tidak mempedulikan larangan Nabi Allah Nuh. Dan si anjing lalu bersenggama.

Perlakuan tidak senonoh itu lalu diperhatikan oleh si kucing yang busy body. Lantas dia datang mengadap serta melaporkan bahawa sang kucing telah menyaksikan adegan tidak senonoh itu di dalam bahtera. Nabi Allah Nuh mencerca perbuatan sang Anjing yang melanggar larangan kerana melayan tuntutan nafsu serakah. Tetapi anjing manafikan tuduhan si kucing. Kucing yang agak marah, melaporkan kepada Nabi Allah Nuh:
"Wahai Nabi Allah. Aku melihat sendiri dia telah melakukan sedemikian. Kalau Nabi Allah berdoa memohon Allah memperlihatkan, tentu Allah akan perlihatkan kepadamu ketika dia melakukan perbuatan itu."

Nabi Allah Nuh lantas berdoa memohon kepada Allah. Kemudian anjing melakukannya lagi malah semakin galak sehingga tidak mahu berpisah dengan bininya itu.

Kucing datang lagi mengadap Nabi Allah Nuh untuk mengadukan hal itu. Nabi Allah nuh pun datang melihat pasangan itu sedang asyik masyuk bersetubuh... Anjing menjadi sangat malu lalu berdoa kepada Allah: "Wahai Tuhanku! singkaplah aib dan cela si kucing ini di waktu bersetubuh sebagaimana dia menyingkap keaibanku."

Allah memperkenankan doa sang Anjing.
Dan akibatnya?
Bila kucing bersetubuh, maka berteriaklah dia dan menjerit menyebabkan makhluk Allah lain mendengar dan mendapat tahu. Inilah akibatnya hingga ke hari ini, ke waktu ini.

Apakah iktibarnya untuk ditafakur dan dimenungkan?
Apakah simboliknya?
Apakahyang tersirat disebaliknya?

Inilah balasan yang Allah timpakan kepada orang yang menyingkapkan malu dan aib orang lain.
Iktibarnya kepada manusia?
Simboliknya kepada manusia?

Demikian jeritan dan teriakan sang kucing bercumbu bersenggama di tengah malam ada sejarahnya.







*********

Friday, October 2, 2009

Pusara Atas Bukit...

"Memberi bukan untuk menerima..."

Rakan saya sampai dengan keretanya... saya sudah bersiap di muka pintu menunggu.. tidaklah terlalu lama saya menunggu, kerana jarak rumah saya dengan rumahnya tidaklah jauh mana sangat...

Acara kali ini bukanlah untuk beraya... tapi menziarahi pusara... sebenarnya saya tidak menziarahi sangat pusara ketika raya... maklum tiada siapa orang-orang terdekat dengan saya yang perlu saya ziarahi... Pusara Tok Ki dangan Tok Wan pula letaknya di Terengganu. (tapi, masanya tetap akan sampai jugak... mungkin tahun depan pusara saya pula yang akan diziarahi... siapa tahu!!!!)... tapi kali ini rakan saya tersebut mengajak saya menemaninya menzirahi pusara ibunya...

**********

Saya pandang pusara Mak Teh... Rakan saya tadi mencabut rumput-rumput halus disekitar pusara ibunya sebelum membentangkan tikar...
Terbayang satu persatu episod kenangan bersama Mak Teh selama dia masih hidup. Dia meninggal atas sebab penyakit kencing manis yang dihidapinya. Saya tidak pasti umur Mak Teh ketika dia mengakhiri hidupnya... mungkin sekitar 50an..

Mak Teh suka mengajar ilmu rumahtangga... (tak tahu sebab apa, sama ada untuk sebagai panduan untuk saya sesudah berumahtangga nanti atau sengaja nak 'perli' saya - yang dah telajak ni)...

Satu kata azimat dari Mak Teh yang sentiasa saya pegang hingga kini adalah tentang 'Layang-layang'... "hidup biarlah umpama layang-layang. semakin kuat angin bertiup, semakin tinggi dia terbang..."

**********

"Mak Teh ada gaduh-gaduh tak dengan Pak Teh?" Tanya saya pada satu hari.

"Ish! kau ni... mestilah ada. perkara biasalah tu. Pak Teh kamu tu, panas jugak orangnya. Tapi tak adalah selalu sangat bergaduh." jawab Mak teh dgn wajah selamba...

"Kalau gaduh, Mak Teh selalu buat apa?"

"Hmmm.. Pak Teh kau tu cepat reda marahnya... bila reda, dia datanglah memujuk"

"Oit! romantik rupanya Pak Teh tu ya?" Usik saya... "abis tu apa di cakap masa memujuk tu.." sambung saya lagi...

Mak Teh kerutkan kening... mungkin pelik dengan soalan saya..
"Hmm. Dia tak cakap apa-apa. Dia tengok apa Mak Teh buat, dia tolong... Ha, kalau macam tu Mak Teh tahulah, dia tengah memujuk. Atau pun dia pergi kedai beli bahan masakan makanan kegemaran Mak Teh. Pastu dia kata... Jom, masak sama-sama."
....

"Kau ni tanya-tanya menda macam tu kenapa? Mak Teh bukannya pandai. Orang Kampung... Kau tu yang belajar tinggi.." Mak Teh mungkin keanehan atas pertanyaan saya.

"Tak ada apalah... Saya cuma nak dengar kisah Mak Teh je. Nak tanya Pak Teh, saya takut. Dia tu garang.." Saya berterus terang.

"Garang-garang pun dia suami Mak Teh.. Mak Teh tak pernah harap apa-apa pun masa mula-mula dijodohkan dengan Pak Teh."

"Maksud Mak Teh.." saya keliru...

"Mak Teh tak pernah bayangkan suami Mak Teh mesti begini, begitu... Hati Mak Teh terima bulat-bulat Pak Teh kamu sejak diakad nikah. Yang Mak Teh fikir, macamana nak Mak Teh buat bila dah kawin nanti... Kena masak, kena jaga rumah, layan suami, didik anak... Mak Teh sedia itu saje. Mak Teh fikir singkat je. Tak pandai pasang angan-angan." Jawab Mak Teh yakin.

Singkat tapi tepat. Mudah tapi berhikmah. Mak Teh tidak tahu falsafah ilmu rumahtangga. Tetapi hati, perlakuan dan kata-katanya menepati ilmu yang dihuraikan oleh buku-buku besar ahli falsafah. Ilmu itu pada tindakan.

"Mak Teh ada belajar urut-urut tak?" saya tersengih sendiri dengan soalan saya...

"Mana adalah,"

"Habis... kata Pak Teh, Mak Teh pandai urut??"

"Dia gurau tu. Ceritanya, dia jatuh masa kerja kat ladang. Terhincut-hincut balik rumah. Tak sampai hati mak Teh tengok. Lepas tu Mak Teh urut. Ikut sedap tangan je. Tak sangka pulak baik. Lepas tu, apa-apa sakit pun dia cari Mak Teh."

"Errr... mesti ada petua dalam urut mengurut ni kan..." saya cuba korek lagi.
Mak Teh senyum...
"Urut dengan hati kita... sebab sayang, kesian, kasihkan dia... Bukan setakat nak ambik hati."

"Sebab nak beri kasih sayang... bukan nak dapat kasih sayang?" tanya saya lagi.

"Kau lebih pandai... Mak Teh tak pandai cakap-cakap macam tu." Mak Teh merendah diri.

"Apa yg Mak Teh suka sekali pada Pak Teh?" Saya dah macam wartawan pulak bertanya. Untungnya Mak Teh masih juga mahu melayan...

"Sembang-sembang Pak Teh kamu..." Ringkas jawapan Mak Teh.

"Sembang-sembang je ke?" Ujar saya sedikit hairan.

"Ha'ah... Sembang-sembang Pak Tehlah penawar hati Mak Teh. Sambil sembang dia memujuk, bagi ilmu, sampaikan panduan. Dia pandai bercerita -Tapi ada makna. Kadang-kadang dengan gurauan... dia boleh tahu kalau Mak Teh tengah sedih." Agak panjang penerangan dari Mak Teh.

"Bila Pak Teh suka sembang?" Saya tanya lagi.

"Bila ada kesempatan. Kadang-kadang sambli kami lipat baju. Masa anak-anak kecik dulu, kami sembang sambil Mak Teh buaikan anak... dia lipatkan kain. Sesekali waktu memasak, kalau dia tak ke ladang. Tapi dia tak pernah tinggalkan sembang malam... sembang-sembang sebelum tidur"

Saya seyum je. Dengan pemikiran yang simple, bahasa dan istilah yang mudah, Mak Teh berkisah - praktik ilmu-ilmu motivasi terkini. Yang ditulis dalam buku-buku yang mahal dan tebal. Tapi Mak Teh dan Pak Teh hanya orang kampung. Mereka hanya 'menulis' dalam kehidupan. 'Berceramah' dengan amalan harian....

"Mak Teh ajar anak-anak mengajikan?"

"Mak Teh dah tekad. Anak-anak mesti khatam Quran di tangan Mak Teh sendiri. Soal wuduk, solat, taharah dah pun diajar kat sekolah. Pak Teh pulak cuma tengok perbuatan kat rumah. Dia garang... anak-anak tak berani tinggal solat... dirotannya." Memang Pak Teh sangat tegas dalam hal pelajaran anak-anaknya... Anak sulong mereka (yang merupakan kawan kawan baik saya) seorang Jurutera. Yang kedua cikgu, yang ketiga Inspektor polis... dan yang bongsu sedang study bidang perubatan di sebuah Universiti tempatan...

Saya terus juga bertanya... mancari ilmu berdasarkan pengalaman yang Mak Teh lalui.
"Apa falsafah hidup Mak Teh?"

"Falsafah tu benda apa pulak?" Mak Teh kerut kening.

"Errrrr... panduan... pegangan.. lebih kurang gitulah" saya sendiri tak bijak nak jelaskan apa itu falsafah. Tapi mujur juga Mak teh faham.

"Mak Teh tak pandai... Mak Teh hanya buat apa yang Mak Teh patut buat. Rasanya Pak Teh pun macam tu. Rasa kami sama, sebab selalu bersama"

"Tapi ada orang selalu bersama, tapi rasa mereka tetap tak sama... kenapa Mak Teh?"

"Tak tahulah pulak... Mak Teh ni, dulu selalu buat macam ni... Mak Teh selalu fikir apa yang Pak Teh rasa. Bukan yang Mak Teh rasa. Kalau macam ni, apa Pak Teh kamu buat... kalau macam tu, macamana pulak Pak Teh bertindak, Mak Teh rasa dalam diri Mak Teh, Mak Teh tak ada... yang ada cuma Pak Teh." begitu Mak Teh jelaskan... saya kagum...
Ini lebih tinggi dari prinsip 7 habits, Steven Covey - Seek to understand than to be understood."

"Pak Teh pun rasa macam tu jugak ke? Yang ada hanya Mak Teh.." saya cuba mengumpan

"Hmmm, kekadang tu terfikir jugak macam tu. Tapi cepat Mak Teh tepis. Kita buat apa yang patut kita buat. Isteri kena sayang suami tanpa harap balasan dan sebarang alasan..."

Huh! ini lebih hebat, prinsip teras dalam cinta rumah tangga - Unconditional love.

**********
Saya renung sejenak untuk kesekian kalinya pusara Mak Teh. Yassin tamat di baca, rumput2 halus habis sudah dicabut. Air di dalam kendi yang di bawa juga telah di curahkan... Hmmm, sudah lama jugak saya tidak ziarahi kubur untuk ambil ibrah... Mak Teh - terbayang satu persatu kata-kata bersahajanya - (pedoman untuk saya ke alam rumah tangga satu hari nanti - InsyaAllah)..
Mak Teh bukanlah wira yang perlukan tugu kenangan. Atau negarawan besar yang perlu di berikan pangkat atau kebesaran. Mereka hanya manusia biasa, yang menjadi 'luar biasa' dengan sikap biasanya - jujur, telus dan tulus. Memberi bukan untuk menerima...

Urusan kami selesai di situ... Lalu taman sunyi pohonan kemboja tersebut kami tinggalkan...
Moga Mak Teh sentiasa aman di sana...


******

Monday, September 28, 2009

Nasi Dagang Ma...

Memberi lebih mengembirakan dari menerima... Begitu selalu ditegaskan pakar-pakar motivasi. Dalam Islam kita memang digalakkan menjadi tangan di atas berbanding yang di bawah... Sebuah hadis nabi juga ada menyebut begitu...

Tapi hal begitu mudah pada teori sahaja. Praktiknya memang sangat sukar...

Seperti tahun lalu, juga tahun yang sebelum itu, selepas solat raya seperti tradisinya kami bermaaf-maafan dengan Ma dan Ayah... juga dengan adik beradik yang lain, juga dengan ipar duai dan anak-anak saudara... Meriah melihat seisi keluarga (walau tak semuanya ada) berkumpul bersama. Lebih menyeronokkan bila melihat si kembar Hakimi & Azhari dah mula belajar untuk merangkak...

Hari masih pagi lagi ketika kawan-kawan saya datang berkunjung. Kemudian mereka beria-ia mengajak saya ke rumah mereka. Saya tidak menolak. Tidak patut menolak. Hari raya aktivitinya tentulah untuk kunjung berkunjungan (rancangan untuk ke rumah 'orang belah sana' adalah pada waktu petang atau hari raya ke dua).

Dari berkunjung itu, terus melarat-larat ke rumah kawan-kawan yang lain. Lepas satu, satu... tanpa disedari entah berapa buah rumah sudah saya kunjungi... Hampir Zohor baru pulang ke rumah semula. Letih. Kenyang...

Adik saya datang menegur... "Abang, dah lupa ke..."
Saya tersentak, lantas bertanya...
"Ma mana?"
"Dalam bilik... nak sembahyang zohor." jawab adik saya itu..
"Nasik dagang?" tanya saya lagi...
"Ada kat dapur belah belakang..." Jawabnya pendek. Memang dapur rumah saya terbahagi dua, dapur depan dan dapur belakang.

Saya segera berwuduk kerana waktu Zohor telah masuk... Selesai solat, Ma sudah siap di meja makan..
Saya bergegas ke arah Ma...
"Ma! Nasi dagang ada lagi tak?"

Seperti biasa Ma senyum lantas bangun dari duduknya. Tangkas...

"Hmmm, ingatkan Mu dah lupa. Manalah tahu, dah jumpa kawan-kawan"

Kami bersama duduk di meja makan. Sesudah Zohor begitu, tidak ada tetamu yang datang. Ayah bersama adik-beradik yang lain tentunya ada program yang lain. Tinggal saya dengan Ma. Abang saya ada.. tapi tidur di biliknya (Huh!!)

Kami berbual sambil makan nasik dagang... Itulah saat paling intim antara saya dengan Ma sejak dulu. Bukan sekadar makan nasi dagang bersama gulai ikan aya (tongkol), tapi lebih dari itu. Semua itu membawa seribu satu rasa di sebalik pelbagai peristiwa. Suka duka kami bagai terjalin segalanya di sebalik basuhan beras pertama, suapan, kunyahan...

"Dulu kita susah" Ma berbicara sambil tangannya menyendokkan nasi dagang ke pinggan saya yang telah tinggal kurang sesuku isinya.

"Tapi, Ma tetap buatkan nasi dagang untuk kami setiap kali raya." Balas saya...

"Hmmm, kekadang sikit je... cukup untuk mu adik-beradik.."

Dulu memang hidup kami agak susah. Kami menyambut raya di bawah aras sederhana tetapi tetap meriah..

Selalunya bila nak raya Ma akan menurut kemahuan saya untuk memasak apa untuk raya... Kekadang, adik-adik saya meminta Ma buatkan nasi himpit, atau ketupat... tetapi saya tetap berkehendakkan nasi dagang untuk raya - Dan keputusan Ma juga bergantung kepada kemahuan saya... Maka, setiap tahun nasi dagang adalah hidangan istimewa ma untuk kami seisi keluarga dan untuk tetamu yg berkunjung.

Dan setiap lewat malam raya, saya akan membantu Ma... Mengupas kelapa, membelah, mengukur... mengacau nasi (campuran beras dan beras pulut) yang hampir masak kemudian ma akan mengukus semula sehingga masak...

Nasi Dagang Ma, memang tiada tandingan... Serius, kawan-kawan saya yang berada di kejauhan berkunjung ke rumah saya semata-mata untuk menikmati nasi dagang Ma... Chef Wan juga tidak mampu melawan kehebatan nasi dagang Ma...

"Ma makan la sekali..."
Dari tadi Ma hanya mencuit sedikit, untuk memulakannya. Padahal saya tahu Ma telah kekenyangan. Dia tahu saya tidak akan memulakan sebelum dia mulakan...

"Makan, makan... Ma puas tengok kamu makan. Dari kecil, sampai ke tua (tua?) ma bersyukur sangat sebab boleh buatkan nasi dagang untuk mu.." Suara ma sedikit sayu...

"Susah atau senang tetap ada nasi dagang..." kata saya pula.

"Selagi ada kasih sayang... selagi Ma masih hidup... selagi mu masih mahu nikmatinya.. InsyaAllah.." Suara ma semakin perlahan...

Ma telah tua. Walaupun masih kelihatan bertenaga, saya tahu Ma kepenatan untuk membuat nasi dagang kerana memerlukan tenaga yang banyak juga untuk mengacau nasi untuk disekatakan degan santan, apatah lagi, disediakan dalam kuantiti yang banyak. Malam itu... Ma tertidur di sofa ketika berehat kepenatan. Saya tidak mahu kejutkan. Lantas tidurnya terus di bawa hingga ke subuh, dan sesudah solat subuh Ma menyambung menyudahkan juadan istimewa itu... Kerana itu saya menegur Ma..

"Ma tak payahlah susah-susah sediakan nasi dagang lagi... lepas ni nanti kita upah katering je..." walaupun saya tahu tiada siapa boleh tandingi kehebatan nasi dagang ma... tapi demi melihat kepenatan yang Ma alami... tidak mengapa kalau saya beralah... (sesekali)

"Mu ingat ma susah?.. Tak, ma tak susah... ma gembira. Dari Mu masih kecil, dari abang-abang mu masih kecil. Dari rumah kita rumah papan lagi hinggalah rumah kita dah besar macam sekarang... Hati Ma tetap gembira setiap kali buat nasi dagang untuk anak-anak Ma untuk raya." Kata Ma sambil mata tuanya merenung jauh. Saya yakin dia merenung masa silam kehidupan kami..

"InsyaAllah... Anak-anak Ma pun begitu. Kami akan sentiasa doakan Ma. Kesihatan Ma, kesejahteraan Ma.." Suara saya juga mula searus dengan nada suara Ma.

"Ma pun begitu... Selain takbir dan solat raya, Ma paling gembira bila semua anak-anak Ma dan cucu berkumpul bersama. Jangan cakap pada adik-beradik Mu yang lain.... Satu lagi buat Ma gembira ialah bila dapat makan Nasi Dagang bersama mu, anak bujang tua (tua?) Ma ni" Kata
Ma seakan berbisik... (memang saya anak bujang tua Ma... Dua orang adik saya *seorang lelaki dan seorang perempuan* telah pun mempunyia keluarga sendiri - langkah bendul)...

Begitulah Ma... Pandai ambil hati saya. Tapi untuk adik-beradik yang lain tentunya Ma ada kata-kata 'Istimewanya' tersendiri untuk menghargai mereka. Masing-masing rasa 'dilebihkan'...

Sebagai anak bujang 'tua' yang tinggal bersama Ma juga - memangnya saya melihat kesusahan dan kesungguhan Ma sediakan nasi dagang istimewanya... Tetapi percayalah, setiap kali kami duduk bersama mengupas kelapa, mengukur, memerah santan, menyiang bawang, menyukat beras, mencuci beras, mengukus, menggaul sebatikan, mengukus lagi... ketika menjelang raya, kami gembira. Nasi dagang Ma bukan sekadar nasi dagang... Ia cerita suka duka kami. Ia lambang jalinan kasih sayang kami... antara saya dgn Ma... juga seisi keluarga.

Ya! Saya memahami rasa gembira Ma. Rasa gembira hasil memberi. Justeru Ma memberi dengan kasih sayang. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri. Allah memberi untuk kita memberi.

Mulianya Ma kerana tangannya di atas, manakala tangan kita anak-anaknya selalu di bawah. Hidup akan kelam, duka dan kecewa bila kita hanya menerima... Ceriakanlah dengan memberi.


Satu perkataan pendek yang menggambarkan seluruh pengajaran dari puasa dan hari raya ialah: MEMBERI. Dan itulah ganjaran dari Nasi Dagang Ma.... Hidup mesti memberi...


**********



Thursday, September 17, 2009

Salam Lebaran...

bergetar dihati .... berhenti dibibir ... berkaca-kaca dimata
... dimanakan kelebihan Ramadan ... kalau tidak pada keampunan daripadaNya... seluas-luasnya...


Seribu Senyuman...
belum tentu menawan hati
Satu jelingan sudah cukup menimbulkan rasa benci
.... membina mengambil masa
.... meruntuh sekelip mata

Senja Ramadan telah bertamu. Syawal pula bakal menjelma...
Di kesempatan ini:
Untuk lisan yang kadang tidak terjaga
Untuk sikap yang kadang tak berkenan
Untuk janji yang mungkin tak terpenuhi
Untuk gurau senda yang mungkin menyakiti
Dengan segala Kerendahan hati
Dengan segala pengharapan tulus
Maafkan segala Khilaf diri
"Mohon Maaf Zahir Dan Batin " Ya.
Semoga Ramadan yang bakal berlalu dan syawal yg bakal tiba membawa keberkatan semua dan mengukuhkan Ukhuwah yang terbina...

Andai jemari tak sempat berjabat
Jika raga tak bisa bersua
Bila ada kata membekas luka...
Semoga pintu maaf masih terbuka...

Bila kata merangkai dusta...
Bila langkah membekas lara...
Bila hati penuh prasangka...
Dan bila ada langkah menoreh luka...
Mohon dibukakan pintu maaf...

Kepada Anda Semua, Pengunjung dan Pembaca 'Kamar Penuh Cerita'.. Dari sudut hati terdalam, dengan rasa rendah diri - Saya ingin memohon beribu kemaafaan seihklas hati atas apa jua kesilapan saya kepada anda...



Salam Aidil Fitri
Mohon Maaf Zahir Batin

Sunday, September 13, 2009

Pendengar Cerita Lama

Petang Jumaat, dia mempelawa diri untuk belanja berbuka puasa di sebuah restoran yang agak mewah jugaklah... Saya pun dengan senang hati dan berlapang dada serta merta menerimanya (makan free... sape nak tolak kan)...

Waktu selesai berbuka, di dalam kekenyangan kami berbual agak panjang...

"Macamana duduk kat kampung semula dengan mak ayah!!" Dia bertanya sambil-sambil menghirup air mineral di dalam gelas yang sudah tinggal separuh.

"Hmmmm... seronok. Banyak benda dah terjaga. makan minum, kain baju.... semua ok lah"..

"Patut sangatlah makin tembam... Kawin jelah. Lagi seronok ada orang jaga, boleh jaga orang.. hahahaha" dia ketawa. saya menyusuli tawanya pula.

"Mak ayah engkau sihat?" tanyanya lagi...

"Alhamdulillah.. sihat waalfiat. Ayah ajelah sakit sikit-sikit. sakit orang tua kan... Tapi bila dah duduk kat rumah ni, selalulah kena jadi tempat mendengar. Pasal lembu, kambing, kebun pisang, ladang sawit. Nak tak nak terpaksa jugak dengar walaupun cerita sama diulang-ulang berulang kali. Tapi, yelah. Mak bercerita kan... Tak kan nak bantah. Dah ambik keputusan duduk dengan diorang, bukannya ada orang lain dah kat rumah tu tempat diorang nak bercerita."

"Hahaha... Kau dah jadi macam aku dulu. Cuma engkau lebih bernasib baik." katanya lagi..

"Hmmm, aku lagi bernasib baik? Maksud engkau?"...

"Mak aku dulu kena potong kaki belah kirinya. Sebab kes kencing manis. Dari lutut dan ke bawah... Dia lalui hari-hari terakhir yang sunyi. Iyalah, dengan sebelah kaki apa sangatlah yang dia boleh buat selain duduk diam kat rumah, Tiap kali aku balik akulah yang jadi pendengar setiap cerita-ceritanya."

"Cerita pasal apa?"

"Cerita zaman muda, pahit manis hidup. Cerita bersama ayah besar kan aku adik beradik.."

"Tentu menarik ceritannya?"

Dia tersenyum sedikit - spontan...
"Menarik tu memang menarik... tapi kalau dah diulang sampai puluh-puluh kali, ratus-ratus kali, sampai boleh hafal, rasa teruji jugak kan??"

"Lama sangat ke?"

"Satu sesi selalunya dekat-dekat sejam"...

Sejam???.. huh! dalam diam saya mengaguminya. Kalau saya lah, setengah jam pun dah kira terlalu lama...

"Setiap kali balik kampung, mak akan panggil aku ke sisi katil nya untuk bercerita.. Dan sesi pun bermula..."

"Kata ahli psikologi, manusia perlu didengar katanya macamana mereka perlukan makanan. Makanan tu berikan tenaga, didengar pulak hidupkan rasa.. Allah pun ciptakan untuk kita dua telinga, satu mulut. Maknanya kita mesti banyak mendengar dari bercakap." Tambah dia pula.. Tidak hairan, dia memang pakar motivasi.

"Dan hak mendengar selayaknya kita bagi pada mak ayah kita yang dah tua..."

"Kau kata tadi nasib aku lebih baik. Kenapa pulak?" saya mengingatkan semula kata-katanya awal tadi.

Dia mengeluh lemah...
"Aku cuma jadi pendengar cerita mak aku untuk dua bulan je. Lepas tu dia meninggal... Sampai sekarang aku rindu sangat pada cerita-cerita dia... Rindu sangat... Kalau boleh, aku nak dengarnya semula. Biar sejam ke, dua jam ke, tiga jam ke... tak kiralah selama mana pun. Tak apa..." Sayu suaranya. kelihatan matanya agak berkaca...

Saya terdiam. Tersentuh sungguh. Agaknya sebab itulah emaknya mengulang ceritanya berulang kali. Dia tahu anaknya akan merinduinya lebih dari itu.

******

"Kau masih ada mak... kau bernasib baik. Dengarlah segala ceritanya. Dah makin tua suara diorang makin kurang jelas kita dengar. Diaorang tak ada cerita baru. Cuma cerita-cerita lama. Seluruh tenaga, kelebihan dan semangat dah diperah habis untuk kita..."

"Yang di ceritakan pada kita bukan cerita sebenarnya. Tapi cinta. Rasa cinta yang bukan sekadar imbauan tapi satu belaian untuk kita... anak-anak yang dah besar dewasa"...

Ya! Seolah-olah secara tersirat ibu tua kita mahu sampaikan bahawa cinta di dasar 'kisah lama' itulah yang menjulang cita-cita di kemuncak cerita-cerita baru kita...

Bila ibu-ayah mahu bercerita meski cerita dan kisah yang sama... dengarlah!! Kerana ketika bercerita, hanya itu yang dimahukannya... Seorang pendengar... Dan, jangan pernah berasa bosan untuk mendengari mereka.



Ampun maaf... Selamat berpuasa untuk hari berikutnya...

Thursday, September 10, 2009

"Kalau benar sayangkan Ayah"

"Nak rasa sembahyang tarawih luar biasa tak?... Sembahyang tarawih yang lain dari biasa"... adik saya bertanya sambil bersiap-siap menyarungkan kopiah ke kepala dan menyapu sedikit parfum 'one drop parfum' di bahagian lengan kiri dan kanan...

"Tarawih luar biasa??" saya kepelikan.

"Jom ikut aku pergi masjid".. pelawanya.

Begitulah... Sejak dari awal ramadan hinggalah ke malam-malam pertengahan Ramadan saya tidak pernah bertarawih di masjid... Saya senang menuju ke surau kerana lebih dekat dan tersangat dekat. Masjid berada pada jarak yang agak jauh dari rumah...

Malam itu saya ikut adik saya ke masjid untuk merasai Tarawih yang lain dari biasa seperti yang dikatakan..
.

******
Saya Terima hakikat... malam itu saya nikmati tarawih yang menyeronokkan. Apa yang luar biasa??? - Tarawih di masjid itu berimamkan seorang imam muda yang baru berusia 18 tahun.... 18 Tahun... Memang terasa hebatnya. Anak semuda itu, mampu mengimamkan satu jemaah tarawih saban malam... - Kehebatannya, dia adalah sorang tahfiz - penghafaz Al-Quran. Surah-surah yang bibacanya bukan surah-surah biasa yang di baca oleh imam masjid atau imam surau ditempat saya. Dia memetik dari surah-surah yang jarang digunakan untuk bacaan dalam sembahyang... Bacaan yang sangat lembut - menyentuh hati - hukum tajwid yang sempurna - sayup - jernih - fasih - tartil - getar menghiba - penuh penghayatan - taranum indah yang tidak keterlaluan... Sungguh!!!, meresap ke segenap ruang tubuh hingga terasa berdiri roma - sebak... Hebatnya imam muda itu... Secara jujurnya saya akui - berimam kan dia, 20 rakaat tarawih bagai tidak puas... (tidak seperti kebiasaan, selesai rakaat ke 8 dah sedia nak balik.. hahah)...
Entah anak siapa (yang pastinya dia bukan penduduk asal tempat saya), dia di jemput oleh pihak masjid sepanjang Ramadan hingga ke 25 Ramadan nanti... Walau siapa pun dia, Allah akan sentiasa memberkatinya... Bertuah ibu-bapanya miliki anak sebegitu - terus terang saya cemburu....


************

Saya terkenangkan ketika balik berpuasa ke Terengganu pada cuti hujung minggu (ditambah cuti nuzul Quran) yang lalu. Tahun ini keluarga saya tidak akan pulang beraya ke Terengganu (di sana pun dah tak ada sesiapa lagi - Tok Ki, Tok Wan... semuanya telah tiada - ada pun hanyalah saudara-mara terdekat).. Jadi saya mengambil kesempatan untuk pulang sendiri ke Terengganu untuk menziarahi dan membersihkan pusara Tok ki dan Tok Wan... kerana Raya nanti saya tidak pasti akan pulang atau tidak....

Kisahnya begini pula...

"Ayahngah pun macam tak percaya... bukan setakat ayahngah, satu kampung pun macam tak percaya.." Ayah saudara saya memulakan bicaranya.

"Tak percaya apanya AyahNgah?" Saya kepelikan.

"Imam muda masa tarawih tadi tu... Ramli... Anak arwah Pak Hamid. Dia balik dari luar negara jadi jurutera dan Hafiz sekali."

Malam itu memang Ramli itu mengimamkan solat tarawih. Lunak dan lancar bacaannya. Mereka yang tak tahu asal-usul Ramli kagum mereka yang mengenali lebih kagum lagi..
Saya sudah tidak ingat siapa arwah Pak Hamid... Menurut AyahNgah saya memang biasa dengan arwah ketika zaman kanak-kanak saya... Secara jujur memang saya tidak ingat.

"Bagus kalau kamu dapat contohi Imam muda tu... Dah lah Hafiz, Jurutera pulak tu"...

"Hebat betul!"

"Kalau kamu tahu sejarah hidup dia, kamu akan lebih kagum!!"

"Ayahngah tahu ke?"

Ayahngah anggukkan kepala...
"Mestilah... AyahNgah kan anak jati kampung ni..."

********

Mata saya merenung ke luar tingkap rumah. Pohon nyor kelihatan berbalam-balam melambai dalam kecerahan samar di suluh sang bulan.

"Ayahngah nak cerita ni setakat nak ambik dan beri iktibar. Bukan nak buruk-burukkan orang yang dah mati.." Perlahan suara AyahNgah memulakan cerita.

"Kenapa sampai macam tu sekali AyahNgah"... saya kerutkan kening.

"Arwah Pak Hamid tu, memang orang semua oarang kenal dia dengan perangai buruknya. Sembahyang tak, Puasa tak, ke masjid tak pernah. Berjudi, minum dan jadi kebiasaan."

Saya terperanjat. Sampai begitu sekali.

"Ramli tu terseksa sejak kecik lagi. Dimarah-marah, di rotan. Makan, minum, pakai, tak terurus langsung.."

"Tapi macamana dia boleh berjaya dan capai apa yang dia ada sekarang??"...

"Itulah luar biasanya Ramli tu. Dalam serba kekurangan dengan cabaran tu, dia gigih. Rajin belajar, berdikari cari rezeki sendiri..."

"Mak dia?"

"Hmmm... Mak dia dah lama meninggal. Orang kata tu lah sebab Pak Hamid jadi macam tu. Berubah lepas isteri dia mati."

"Sedih jugak ya..." Saya cuba bayangkab kesukaran hidup Ramli.

"Kalau orang lain tu, dah lama dah putus asa... Tapi Ramli tak. Hasil keputusan sekolah dia cemerlang. Lepas tu dapat sambung belajar kat sekolah asrama penuh. Tak tahulah pulak macamana kaedah belajar dia sampai dia boleh teruskan cemerlang akademik dan hafaz quran sekali gus. Hebat."

"Sekarang ni ayahngah, ramai orang dah tahu sistem tu... ada cara dia."

"Baguslah... Kalau ada peluang, kamu ikutlah cara dia tu sikit-sikit..."

Saya cuma tersengih.

"Pak Hamid meninggal tak lama lepas Ramli sambung belajar kat sekolah asrama penuh. Ayahngah ingat lagi.." Ayahngah mula kelihatan sebak.

"Ingat apa Ayahngah?"

"Ramli balik sebelum ayahnya dikebumikan. Dia menangis... Sebatang kara. Orang kampung cakap macam-macam pasal arwah ayah dia. Berdosa besar, jenazah berat, berat dosalah... Macam-macam. Sediah ayahngah rasa. Ramli tu muda sangat lagi dah kena tanggung kutukan masa hari dia hilang orang yang dia sayang.. Tapi mujurlah ada Tok Ki kamu."

"Hmmm, Tok Ki pun ada peranan jugak dalam cerita ni?" Tanya saya agak terkejut.

"Ayahngah ingat lagi. masa tu ayahngah berjalan seiring dengan Tok Ki kamu. Tok ki panggil Ramli tu berjalan sama-sama masa balik dari kubur."

"Tok Ki cakap apa??"

"Tok Ki kata - Ramli, kalau betul sayangkan ayah kamu... jadilah anak yang soleh. Doakanlah dia. Itu saja lagi jalan yang tinggal nak selamat kan ayah kamu di kubur dan akhirat."

Saya terdiam... terkesima sambil merenung di kejauhan malam.

"Tok ki kata lagi... Nak harumkan balik nama ayah kamu di dunia, kamu belajarlah sungguh-sungguh. Jadi orang berjaya dalam hidup. Insya Allah, kalau kamu cemerlang, kamu akan julang semula nama ayah kamu yang di kata-kata orang hari ni.."

"Macamana dengan Ramli??"

"Dia hanya kesat air mata dan angguk-angguk kepala."

"Hebat betul kan AyahNgah... sekarang ni semuanya dah jadi realiti."

"Memang hebat. Anak yang baik dari ayah yang sebegitu... Kamu pulak macamana?"

"Saya bertuah... ada ayah! ada ayahngah.."

Ayahngah tersenyum...
"Kamu mesti terima kenyataan. Kita masih boleh jadi anak yang soleh walaupun ibu-bapa kita tak soleh. Dan tak semestinya bapa yang soleh, anaknya akan jadi soleh sama."

"kenapa ya?"

"Itulah bukti keadilan Allah. Dosa, pahala bukan warisan. Dan akil baligh setiap kita punya potensi sendiri. nak jadi baik atau jahat..."

"Betul ayahngah!! Ini bukti Tuhan tu sangat adil... Kalau tak, setiap anak kena tanggung semua salah mak ayah dia."

"Hmmm... tulah yang dibuat imam Ramli. Demi rasa sayang dia pada ayah dia, dia bela maruah ayah dia dunia dan akhirat. Tolong buat macam tu bila ayah kamu dah tak ada nanti... Doakan kebaikan untuk ayahngah jugak bila ayahngah dah pergi..." sayu bunyinya suara ayahngah....

*******

Keesokan harinya, saya menziarahi tanah perkuburan di pinggir kampung. Saya menghampiri pusara usang milik antara insan yang paling saya sayangi, Tok Ki saya... Lelaki yang pernah menasihati Imam Ramli... Mudah-mudahan Rohnya terus bersemadi bersama roh-roh mereka yang soleh....



Memang hakikatnya, Imam tak dapat diwarisi... kejahilan juga tidak diwarisi...






********************


"Hmmm... macamana... Luar biasa tak tarawih kat masjid?" adik saya bertanya sambil menghidupkan enjin motor sewaktu mahu pulang...

"Hebatlah... sape imam tu?" tanya saya pula.

"Entah... Budak sekolah tahfiz..."

"Harus aku kena pergi masjid pulak tiap-tiap malam.. tak pergi surau dah lah lepas ni.."

"Baru ko tahu... Nak rasa yang lebih luar biasa tak...?? tunggu malam esok pulak..."

"Hah!! malam esok ada apa pulak..."

"Datang jelah malam esok..."

di pendekkan cerita, malam esoknya saya ke masjid lagi dengan adik saya... Memang ternyata lebih luar biasa bila imam yang mengimamkan solat tarawaih malam itu, imam yang lain pula, pelajar tahfiz juga, imam muda juga yang lebih muda berusia EMPAT BELAS TAHUN!!!! 14 tahun... dengan gaya bacaan yang sedikit berbeza, MasyaAllah... Pada usia begitu, mengimamkan 4,5 saf jemaah... Dia benar-benar hebat... demi Allah saya sebak dengan kekurangan diri berbanding anak muda yang terlalu muda itu... Rupanya kedua-dua imam itu mengimamkan tarawih secara bergilir-gilir saban malam...

Moga hidupnya dirahmati.....





Ampun Maaf... selamat berpuasa untuk hari berikutnya...

Saturday, September 5, 2009

Aku mahu bercerita...

Pada suatu waktu di saat zaman dan kurun yang terbaik, terdapat cerita seorang sahabat Nabi SAW yang baru kematian isterinya sedang beliau masih mempunyai seorang anak lelaki berusia 5 tahun, namun sahabat ini telah datang berjumpa Nabi SAW untuk menyertai jihad menegakkan ugama Allah...

Nabi menasihatinya supaya duduk di rumah bersama anaknya yang masih kecil itu, tapi dia mendesak juga untuk menyertai, barangkali beliau telah tercium bau syurga. Dan Nabi Muhammad SAW telah benarkan beliau pergi.

Si anak yang di bernama Basyir ini pun bukan calang calang budak. Walaupun baru berusia 5 tahun telah sanggup berpisah dan dipisahkan demi semata mata kerana agama Allah.

Malahan si anak-anak para sahabat Baginda ini akan saling berbangga terhadap ayah dan bapa mereka yang telah turut sama menyertai peperangan bersama Baginda SAW.

Allah jua yang mencampak kefahaman dalam diri mereka tentang nilai ugama.

Setelah beberapa masa berlalu, terdengarlah khabar berita akan kepulangan tentera Islam dari luar kota Madinah. Nun di sana kelihatan segerombolan habuk dan debu yang berterbangan menjulang ke langit kesan hentakan tapak kaki kuda dan unta milik tentera Islam.

Di sempadan Madinah, sebaik kuda dan unta menghentikan tapak kakinya, dan dalam suasana debu debuan yang masih berterbangan, si anak-anak sahabat sudah tidak sabar menunggu untuk bertemu dengan bapa-bapa mereka. Dalam larian kasih sayang, Basyir bin Abarkah telah mendahului kesemua perindu yang lain, walaupun usianya baru 5 tahun, tapi beliaulah yang paling maju, katanya: ingin menyergah ayahnya... maklumlah, Mereka baru belajar erti rindu.

Debu debu pun mulai turun ke bumi. Sedikit demi sedikit terpancullah wajah kuda dan wajah unta yang setia.

Dan debu debu pun masih terus turun ke bumi. Sedikit demi sedikit terlihatlah wajah bapa bapa mereka. Maka si anak mula menerkam si bapa, dan bapa mulai menerpa si anak, mereka saling berpelukan menangis gembira melepaskan rindu dendam seolah olah seperti baru terlepas dari hukuman mati. Bapa mana yang tidak rindu pada anak? Anak mana yang tidak gembira bertemu bapa? Lantas terdengar suara takbir di sini sana, memuji Allah sambil menangis kesyukuran.

Memuji Nikmat Allah..

Tidak lama kemudian, sempadan Madinah itu telah menjadi daerah sepi dan sunyi, yang tinggal hanyalah kesan tapak kaki manusia dan binatang tunggangan. Namun yang terlihat pada waktu dan ketika itu, Basyir budak berumur 5 tahun seorang diri sedang melilau mencari ayahnya. Sudah puas ke kiri dan ke kanan… sudah jauh mata memandang, sudah penat menunggu, namun si ayah yang di rindu, tidak datang-datang! Tidak kunjung tiba!

Ke mana ayah pergi?
Kenapa masih belum pulang?

Dalam debu debu yang masih tinggal, terlihat satu kelibat lelaki sedang berjalan ke arah Basyir Abarkah budak berumur 5 tahun itu. Lalu si Basyir menerpa lelaki itu kerana disangkanya bapanya sudah pulang. Namun lelaki itu bukanlah bapanya, sebaliknya lelaki itu adalah Nabi Muhammad SAW.

Lantas Basyir bertanya:
Mana ayah ku?

Lalu Nabi memalingkan wajahnya ke kanan kerana tidak sanggup untuk berkata kata.
Si Basyir lantas bergerak ke kanan Baginda dan terus bertanya:
“Mana ayah ku?”

Sekali lagi Nabi memalingkan wajahnya ke kiri lantaran tidak sanggup untuk menuturkan kata kata sedang air mata mulai berlinangan di pipi. Si Basyir tidak berputus asa dan terus bergerak ke kiri Baginda.
"Mana ayah ku?”

Lalu Nabi duduk sama tinggi dan menjawab dengan nada sedih dan pilu sedang tangan baginda di pipi Basyir....

“Anak.., Ayah mu telah syahid.”

Air mata anak terus mengalir hangat, di kala darah yang mengalir dari badan ayahnya sudah lama lenyap di telan bumi....

Dalam kedamaian sahur kita pagi ini, dan kemeriahan berbuka puasa petang nanti, serta rukuk dan sujud yang merehatkan jiwa di waktu malam, di sebalik semua nikmat berugama ini, tidak terhintung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah… Sesungguhnya mereka telah mewarnai bumi Mekkah dan Madinah dengan darah..

Sekurang-kurangnya, kenanglah pada Basyir budak berumur 5 tahun itu.


Jika kita masih terlupa, biarlah saya ceritakan kisah Mus’ab bin Umair, yang hidup dalam kesempitan telah berjalan melewati Baginda SAW sedang beliau hanya memakai sehelai kain yang telah koyak di beberapa bahagian. Salah satu bahagian yang terkoyak telah di tampal dengan kulit binatang kerana tidak cukup kain, lalu sambil menangis. Rasululullah bercerita kisah Mus’ab bin Umair kepada sahabat yang lain, bahawa sebelum Islam, Mus’ab bin Umair adalah anak orang kaya dan hidup dalam kemewahan, di sayangi dan di manjai, hidup ditatang bagai minyak yang penuh, pakaiannya sahaja berharga 200 dirham dan hidup dengan penuh perhatian dari ibu bapa. Tapi sebaik beliau memeluk ugama Islam, beliau telah di murkai oleh ibu bapa, di ikat dan di kurung, satu hari beliau dapat melepaskan diri dan lari mengikut sahabat Nabi lalu hidup dalam keadaan zuhud dan miskin.

Di hujung pengorbanan, dalam perperangan Uhud, mayatnya di lihat terbujur tanpa ke dua-dua tangan, di potong musuh selangsung tugasnya yang memegang bendera, dan baginda SAW telah menutup mayatnya dengan kain tapi tidak cukup lalu di tutup dengan daun-daun Izkhar..

Dalam hidangan berbuka puasa yang enak dan meyelerakan, serta rukuk dan sujud yang merehatkan jiwa di sepertiga malam, di sebalik semua nikmat beragama ini, tidak terhintung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…


Dan ada juga cerita lain seorang ibu kepada beberapa anak lelaki yang diberitahu tentang kematian suami di medan perang, tentang kematian anak sulung, tentang kematian anak nombor dua dan seterusnya anaknya yang bongsu. bila terdengar semua ahli keluarganya mati di jalan Allah dia masih bertenang, tapi bila mendapat tahu anaknya yang bongsu juga mati, si ibu ini terpegun dan menangis… dia dipujuk orang, supaya bersabar dengan ujian Allah..

Tapi si ibu berkata: “janganlah kamu semua ucap takziah pada aku, tapi ucapkanlah tahniah kepada aku, …, aku menangis bukan kerana semua ahli keluarga ku telah mati, tapi aku menangis kerana aku sudah tiada anak lelaki lagi untuk di korbankan di jalan Allah.!!!!”

Dalam kerehatan kita bertarawaikh, dan sedang menikmati juadah sejurus lepas solat witir, di sebalik semua nikmat beragama ini, sesungguhnya, tidak terhintung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…


Seorang sahabat ketika hendak di campak ke dalam api oleh seorang kafir telah menangis sambil berkata: “aku menangis bukan kerana takut mati, aku menangis kerana aku hanya ada satu nyawa sahaja, seandainya aku mempunyai nyawa sebanyak bulu roma di badanku…maka, satu demi satu akan ku korbankan untuk ugama!!!"


Dalam keseronokkan kita membuat persediaan hari raya, bertepuk tampar, dan saling bergembira, bertakbir di sini sana, di sebalik semua nikmat berugama ini, sesungguhnya, tidak terhintung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…


Mungkin kita terlupa pada awal kerja Nabi di jalankan, ketika Nabi Muhamad SAW keluar dari rumah dengan baju yang bersih, tapi bila petang nanti pulang, baju Nabi sudah kotor, di jalanan beliau di pukul orang, di sepak terajang dan di baling batu serta najis..,


Dari celah daun pintu Fatimah r.aha anak Nabi mengintai perlakuan ayahandanya yang tercinta, lalu bergenanglah air matanya melihat penderitaan ayahnya, namun sebaik Nabi pulang, lekas-lekas beliau menyampu air mata dan menyambut Baginda dengan senyuman, menyembunyikan kesedihan demi memberi sokongan moral dan sedikit hiburan kepada jiwa luhur bapanya yang teramat tabah itu..

Namun hati anak mana yang tahan melihat ayahnya di seksa? Lantas suatu hari beliau telah mengikut di belakang Nabi, melihat perlakuan ayahnya secara langsung, di jalanan beliau melihat ayahnya berdakwah dan di hina, di layan seperti pengemis dan binatang, di sakiti, di caci, di maki, di pukul, dan di baling batu...

Kemuncak penghinaan, ketika Nabi bersolat di hadapan Kaabah, Abu jahal dan sekutunya telah membuang najis dan perut unta ke belakang badan baginda yang sedang sujud.., dengan linangan air mata Fatimah r.aha datang membersihkan najis di badan ayahnya..

Di suatu hari yang lain, Fatimah r.a telah menyambut kepulangan Nabi Muhammad SAW dengan linangan air mata, Lalu Baginda bertanya: kenapa menangis?

Dengan air mata yang bergenang, melihat penderitaan ayahnya, Fatimah r.aha berkata:

“Aku menangis kerana ku lihat telah bertukar warna kulitmu dan kotor pakaianmu.., ”

Nabi menjawab (lebih kurang maksud)
“Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, satu hari nanti, agama yang aku bawa ini, akan pergi menuju ke setiap rumah walaupun rumah itu berada di desa atau di Bandar, dan Allah akan masukkan kemuliaan atau kehinaan ke dalam rumah seperti tersebarnya malam…”

Maka kita semua pada hari ini, Dalam kedamaian pagi dan ketenangan petang atau kesejahteraan malam, sedang kita menikmati nikmat beragama, mungkin di suatu hari akan datang wakil Nabi mengetuk pintu rumah kita, tidak kira di mana kita berada, di desa atau di Bandar, dan Allah akan masukkan kemuliaan atau kehinaan ke dalam rumah kita seperti tersebarnya malam… dan bukakanlah pintu hati kita, kerana mereka sedang mengzahirkan hadis Nabi Muhamad SAW.

Ziarah mereka bukan kerana hari raya, atau kerana menuntut hutang, tapi semata mata kerana Allah, mudah-mudahan kita dan mereka akan dapat menikmati ruang di bawah arasy berkat amalan ini, dan semoga Allah kasihan pada kita dan mereka lantaran amalan yang mulia ini lalu mengekalkan kita semua dalam iman, dan menyebarkan hidayat ke seluruh alam, sehingga akhirnya kesemua lelaki akhil baligh dapat menikmati solat berjemaah, dan kesemua wanita akhil baligh dapat menikmati solat di awal waktu serta tutup aurat dengan sempurna, kemudian, anak-anak akan taat perintah ibu bapa, dan isteri-isteri akan taat perintah suami dan semua mahkluk akan taat perintah Allah lalu menyembah Allah dengan cara yang paling layak selayak-layaknya Dia di sembah!...

Sesungguhnya, Dalam kedamaian sahur, dan kemeriahan berbuka puasa, serta rukuk dan sujud yang merehatkan jiwa, di sebalik semua nikmat berugama ini, tidak terhintung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…


Ampun maaf... Selamat berpuasa untuk hari berikutnya...


••••••••••••••••

Wednesday, September 2, 2009

Selamat Hari Jadi MALAYSIA...

Agak terlewat sedikit... Kisah hari merdeka Malaysia.

Aku lihat kembali sidang silam setahun lepas, dengan tema yang berbeza tapi dengan semangat yang serupa. Wacana itu harus aku ulang bacaannya berkali-kali, agar kekentalan jiwaku terkenyal dan teresap.

Tahun ini seperti juga tahun-tahun lalu. bila tiba bulan ogos, aku perasan ramai orang kita menyuarakan kepentingan penghayatan kemerdekaan. Sambutan pembebasan yang satu ini tidak harus diingat pada setiap 31 Ogos sahaja. Ia sewajarnya dirasai setiap hari, setiap jam, malah setiap masa.

Ada juga aku terseru dengan harapan pelbagai pihak yang rata-rata ingin melihat sulaman integrasi antara kaum dalam komuniti ini. Sudah terlalu lama ia lewat, dan gayanya seperti semakin dilupakan.

Malaysia, tidak wujud dengan sendiri, tidak berkembang dengan orang melayu sahaja. Ini realiti yang wajib kita sedar. Kemajuan dan keharmonian yang dikecapi sekarang adalah hasil titik peluh semua penghuni negara ini, yang dari dulu dan juga kini, yang dari luarnya selalu dianggap rapat, namun pandangan internalnya tidak sekuat yang dihasrat.

Tanyakan pada minda, adakah kita tidak sekali berprasangka atau buruk fikir terhadap kaum lain di sini, secara khusus, atau sekalipun secara umumnya. Selalu kan.

Jadi atas dasar apa kita cipta status negara harmoni yang acapkali dipampang dan diperkatakan sana sini? Mainan kata-kata untuk terus percaya pada impian yang rapuh?

Menyedihkan bila ramai di antara kita hidup dengan perasaan dengki dan tanggapan busuk terhadap kaum lain. Mengakulah, bila kita di kalangan bangsa sendiri, kita tercenderung untuk memisahkan diri kita dari bangsa lain. Perasaan bangsaku lebih bagus dari bangsa engkau. Biarpun cuma dalam minda, kita kadangkala dengan senang mengecam dan meletakkan keburukan orang lain di takat tertinggi pandangan mata. Setiap bangsa lain pasti ada tema hina yang dicop atas dahi mereka.

Dan ini juga berlaku intra-komuniti bangsa lain. Ia mungkin sifat semulajadi manusia, suka hidup berpuak-puak. Mungkin juga bila dalam kalangan sendiri, kita rasa lebih selamat dan mudah.

Merdekakah kita bila setelah 52 tahun negara bebas penjajah, minda kita, orang kita masih menjawat perasaan dan tanggapan kuno dan membinasakan?

Bila Tunku Abdul Rahman yang berani itu melaungkan Merdeka! pada tanggal 31 Ogoas 1957, siapakah yang berdiri megah, mendabik dada dan melonjak gembira menjerit Merdeka! bersama? Semua yang hadir kan, melayu, cina, india, serani, singalese dan puluhan kaum lain lagi.

Malahan bukan saja orang yang hadir di saat itu saja yang berperanan memenangkan kemerdekaan, sebenarnya deretan-deretan peristiwa, parti-parti kenegaraan dan doktrinisasi fahaman, pejuang-pejuang komunis, dan perintah Darurat 1948 juga turut menyumbang jasa membentuk negara kita hari ini.

Mungkin buah fikir ini boleh ditelusuri halus-halus, dalam-dalam dan dengan teliti impak serta keberkesanannya.

Kita merdeka bila kita punyai gagasan yang sama, bekerja dan berusaha untuk memajukan bangsa dan negara, tanpa rasa ingin menindas, tanpa perlu rasa pentingkan diri sendiri dan tanpa rasa sangsi. Sentimen perkauman diasuh menjadi revolusi sentimen kebangsaan yang jitu dan satu = warga tanah melayu, yang kita kenal Malaysia hari ini.

Satu perkara yang pasti, orang pasca-merdeka (yang hidup sebelum, semasa dan selepas 1957) amat cepat menghargai pembentukan sebuah negara yang bernama Malaysia. Masing-masing mahukan keamanan dan hidup tanpa mahukan peperangan berdarah lagi. Mungkin sejarah vitalitas yang terlalu perit untuk dilawat semula, lantas ketenteraman itu diteruskan.

Namun bila detik ngeri tercetus pada 13 mei 1969, semua ketenteraman, segala harapan, segenap kebencian dan segantang hipokrasi antara kaum ketika itu terhambur keluar, bergelagar dengan kerasukan dan penuh syak wasangka. Suasana ketika itu, geger sekali. Ia sekadar menjelaskan betapa khalayak waktu itu masih umpama minyak dan air yang pantang disatukan.

Pada waktu itu, penjajah dan perosak tanahair dapat dikalahkan, dibunuh dan diusir, dan proses dekolonialisasi berjalan mengikut pelan dan masa, walau sangat perlahan di sesetengah tempat. Biarpun begitu, kerajaan pasca-merdeka yang dibentuk ketika itu kurang periksa dan terlari jangkaan betapa integrasi sesama kaum tersangat kasar dan terbiar. Dan bila peristiwa hitam 13 mei meledak, takrifan kemerdekaan tercalar dan fabrik keamanan masyarakat heterogenus tertumpah nila berwarna merah.

Mungkin pada masa itu, aura peperangan dan rusuhan masih berlegar dalam udara. Masing-masing tidak dapat lihat lingkungan nadi kebangsaan yang ingin dicucuh, untuk memarakkan rasa cintaikan negara baru ini. Sebuah negara yang merdeka. Mungkin juga penghayatan kemerdekaan ketika itu lebih bersifat peribadi dan terlalu introvert.

Dan rakyat Malaysia hari ini, seperti kita, tidak wajar ulangi kesilapan yang serupa. Kita lebih dewasa, matang dan terdedah untuk menunduk kepada kekhilafan sebesar itu.

Justeru, apa yang perlu kita buat bila setiap kali datang detik merdeka?

Mungkin kita perlu imbau kembali sejarah setahun lepas, berfikir, merdekakah kita dari sebarang belenggu yang memenjarakan diri kita untuk terus maju dan berjaya. Tidak tersekat kepada soal kerjaya, kenegaraan, famili ataupun peribadi, ianya terlibat sekali dan harus diambilkira. Betapa sukar menukar tabiat, dan kepayahan menganjak paradigma ke tahap yang lebih atas dari hari ini.

Mungkin dengan ingatan ini juga kita bakal rasa pengalaman dan liku hidup yang pernah dilalui mereka sebelum 52 tahun yang lalu. Mungkin keadaannya, halangannya, cabarannya serta ancamannya sedikit berbeza, tapi jauh dalam diri di sebalik rupa dan paras, kita sebenarnya menghirup jiwa, mendokong aspirasi dan visi-visi menghidupi semangat yang sama.

Gambar hiasan di sedut dari blog milik JOHN IVERSON (dengan kebenaran)

Oh ya!!! Bicara tentang erti kemerdekaan negara (kepada aku?)
Bagaimana nak dijelaskan secara jujur. Aku anak yg lahir sesudah merdeka. Generasi yg lahir, membesar ketika negara di puncak keamanan. Tahu tentang perjuangan merdeka hanya melalui buku-buku sejarah di sekolah. Atau mungkin sekadar mendengar cerita-cerita warga-warga yg hidup di zaman pergolakan terpaksa berjuang menumpahkan darah dan keringat untuk merebut kembali negara tercinta dari si zalim penjajah... atau setidak-tidaknya berjuang juga demi mencari sesuap makanan.

Kita generasi pengisi kemedekaan tersebut. Isi? apa sebenarnya yg telah kita isikan. Untuk mempertahankan terus kemerdekaan yg kita kecapi... atau paling tidak terus memperjuangkan keamanan yg telah sedia ada supaya tidak diganggu cela.

Kemerdekaan tahun ini. Ada sedikit kepincangan yg berlaku. Bagaikan muncul api yg perlahan-lahan membakar sekam yg sekiranya terus kita biarkan, turut akan menghanguskan diri kita bersama di dalamnya.
Keadaan ini bagi aku telah memudarkan lagi erti merdeka itu sendiri... masalah pergolakan politik yg semakin keterlaluan... masalah ekonomi yg semakin menekan... masalah perkauman (seperti kebiasaan) yg semakin tak keruan...
Jadi bagaimana hendak menterjemahkan erti merdeka secara khusus dalam keadaan seperti ini... Semoga kemerdekaan kali ini tidak hanya merdeka pada fizikal sahaja... merdeka biarlah merdeka jiwa dan merdeka minda bersama...

Selamat Hari Merdeka Malaysia.

Tuesday, September 1, 2009

Antara 'JANGAN' & 'SURUHAN'

Dalam pergaulan, kita dituntut supaya lebih mengutamakan 'Jangan' daripada 'suruh'. Misalnya: Jangan mengumpat lebih utama daripada memberi nasihat. Ertinya kalau kita tidak mampu memberi nasihat kepada seseorang tidak mengapa, tetapi yang lebih utama jangan mengumpatnya. Jika tidak dapat membantu tidak mengapa asalkan jangan menyusahkan. Tidak mengapa jika tidak dapat memberi asalkan jangan mencuri...
Itu yang saya pelajari dari seorang teman yang saya temui setelah agak lama terpisah. Setelah dia menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir tahun lalu - hanya sekali sahaja saya bekesempatan bertemu dengannya itu pun sejurus selepas dia pulang ke Tanah Air. Masing-masing dilanda hambatan tugas yang sangat menghimpit. Namun cuti hujung minggu disambung dengan sehari cuti Merdeka memberi kesempatan saya bertemu dengannya sekali lagi pada pertemuan yang memang tidak dijangka di sebuah masjid ketika selesai bersolat tarawih.
Sambil-sambil menikmati moreh yang disediakan kami bersembang seadanya... Seronok berbual dengan orang bijak. Bualnya bual ilmu yang bermanfaat...

"Dalam puasa pun macam tu jugak"... katanya mengenai keutamaan 'Jangan' berbanding 'Suruh'.

"Maksudnya... Jangan buat lebih utama dari suruh buat?" Saya bertanya..

"Aku rasa gitulah. Tapi tak apa. Nanti kita cuba-cuba tanya pada yang lebih arif. Tapi dalam Ihya' Ulumuddin jelas mengatakan, tinggal mengumpat masa siang hari lebih utama daripada solat sunat di malam hari atau qiamullail" Bicaranya lagi.
Dia terus menyambung... "Dan jugak, itu sinonim dengan sebuah hadis yang menjelaskan betapa wanita dikatakan ahli neraka, walaupun banyak solatnya di malam hari, dan banyak puasanya di siang hari kerana lidahnya selalu menyakiti hati jirannya."... "Pelik jugakkan, walaupun bulan puasa ni ramai orang sembahyang tarawih dan baca al-Quran, tapi perpaduan antara kita tak bertambah kukuh pun." dia menyambung lagi dengan biacara seolah-olah menukar hala perbincangan.

"Apa pulak kaitannya antara tarawih dengan perpaduan, baca Quran dengan persaudaraan.?" Tanya saya pula. Saya faham benar sikap sahabat saya itu yang suka mengubah 'rencah' tanpa mengubah kuah.

"Bersolat, baca Quran, meningkatkan iman. Bila iman meningkat, ukhuwah secara automatik meningkat jugak. Iman dan ukhuwah terhubung secara berkadar terus. Kalau ukhuwah ada masalah, maksudnya iman jugak ada masalah"...

Saya angguk tanda faham... "Tapi kenapa solat tarawih dan baca Quran bulan puasa tak tingkatkan iman?"

"Sebab kita lupa perkara 'jangan'. Banyak perkara 'jangan' yang kita buat walaupun pada masa yang sama banyak perkara 'suruh' yang kita laksanakan."

"Maksudnya...??"

"Banyak baca Quran, tapi mengumpat kita buat juga. Banyak sembahyang, tapi hasad dengki terus kita layan. Banyak yang sunat-sunat kita buat, tapi terus jugak berprasangka, pemarah, rasa malas terus kita ikut..."

"Hmmm, kalau gitu, kau rasa elok sahaja kita tinggalkan 'jangan' walaupun tidak buat apa yang disuruh?"

"Jangan gitu pulak. Kita bercakap pasal usaha nak tingkatkan puasa. kita nak tingkatkan puasa tahun ni dengan tinggalkan perkara 'Jangan' lepas tu buat perkara yang 'suruh!'.....

****************************

Perbualan kami yang kemudiannya berkisar pula tentang kehidupan dan tugas-tugas harian agak terganggu bila seorang pakcik dengan wajah yang agak ketat dan tidak senang duduk bersila berhampiran kami. Ada krisis antara dia dengan ahli jemaah masjid - Berebut giliran buat kenduri majlis berbuka puasa...

"Tak patut, dia ambik malam Jumaat, padahal saya dah tempah dulu. Mentang-mentanglah dia ada pangkat, ada duit, senang-senang je kebas giliran orang. Entah-entah AJK masjid pun terlibat sama." Nada suaranya walaupun tidaklah terlalu keras jelas menunjukkan rasa tidak puas hati.

Saya dan sahabat saya, saling berpandangan.

"Sabarlah Pak Haji, Niat dengan usaha Pak Haji dah pun Allah nilai. Bagi makan orang buka puasa pun dah besar sangat ganjarannya di sisi Allah." Perlahan sahabat saya cuba redakan rasa tidak puasa hati Pak cik tersebut. Saya hanya mendengar dan setuju.

"Sebab tu lah saya nak malam Jumaat. Lebih berkat. Jumaat lebih ramai orang datang. Ni dia bagi malam selasa. Orang kurang. Kalau dapat malam minggu pun ok jugak."

"Sabarlah Pak Haji. Kami faham apa Pak Haji nak tu. Lagi pun tak pasti jugak lagi malam selasa tu tak ramai orang kan. Kadang-kadang mengejut je musafir-musafir dengan pekerja-pekerja asing yang buat ladang tu datang berbuka kat sini. Tak pasti jugak malam Jumaat tu ramai orang. Mana tahu kalau hujan. Orang memang tak keluar rumah punya." Saya pula cuba tenangkan pak cik tersebut.

"Saya tak nak musafir. Saya tak nak pekerja-pekerja Bangla dengan Indon yang ramai. Saya nak orang tempatan yang makan." Nada sauaranya masih agak keras.

"Eh! Pak Haji, yang utama sekali kita bagi bukan ke pada orang yang memang perlukan? Musafir tu orang tengah penat. Berhenti rehat nak solat. Kadang-kadang tak cukup belanja, tak sempat beli makan. Lagi elok kalau dia makan kenduri kita kan? Pekerja asing tu, kadang-kadang lebih susah. Bagus kalau kita tolong orang susah..." Sahabat saya pula memberi pendapat. Lembut intonasi suaranya seakan memujuk agar tidak terus mengganggu rasa hati pak cik tersebut.

"Dia orang tu mana kenal saya. Saya nak orang Qariah ni. Itu lebih utama. Musafir dengan pekerja asing tu sape? Saya tak kenal dia orang. Dia orang tak kenal saya."

"Hmmm, yang pentingnya dia orang pun saudara kita kan. Allah kenal kita semuanya, Pak Haji. Puasa ajar kita jadi Ikhlas. Puasa ibadah yang paling sembunyi. Kalau kita curi-curi makan atau sembunyi-sembunyi minum pun oarang tak tahu. Kita tak puasa pun tapi nampak penat orang kata kita puasa. Allah je yang tahu. Tak macam solat, haji, zakat... orang nampak apa kita buat. Tak payahlah susah hati nak buat benda baik, Pak Haji... Sepanjang bulan puasa ni sedekah lah hari apa-apa pun, ganjaran pahalanya tetap berganda-ganda."

Mendengar pandangan dari sahabat saya itu, pak cik tersebut tidak bersuara lagi. Mudah-mudahan ada kesedaran di hatinya untuk berbuat baik kerana Allah. Kerana di situlah baru ganjaran akan diberi.

Ini kisah biasa. Tahun lalu kita telah alaminya. Tahun ini berlaku lagi. Tahun depan (andai masih berkesmpatan) kita akan dengar lagi cerita yang serupa walaupun dalam versi yang berbeza pula. Betapa agama menjadi 'ritual' yang kosong makna. Masih ramai menyembah 'diri, dalam sangka menyembah 'ilahi'....

Ikhlaslah kerana Allah dalam berbuat baik sesama manusia...

Ampun maaf - Selamat berpuasa untuk hari keseterusnya...